Thursday, July 25, 2013

Cahaya Ramadhan


Cahaya Ramadhan

Suasana di Bazar Ramadhan ketika itu agak sibuk. Para pengunjung sibuk membeli juadah masing-masing. Cuaca hari itu redup, tapi bukan bererti hendak hujan . Bagi para penjual, Bulan ramadhan adalah peluang bagi mereka untuk menambah pendapatan.

Seperti biasa Mak Limah akan berjalan seorang diri. Semenjak kehilangan suaminya 10 tahun lalu, begitulah rutin Mak Limah. Berjalan keseorangan. Baik ke pasar mahupun ke masjid, Mak Limah akan berjalan keseorangan. Anak Mak Limah hanya seorang. Telah berkahwin dan bekerja di bandar. Anak Mak LImah kerap kali mengajaknya untuk tinggal bersama mereka. Tetapi bermacam alasan Mak Limah berikan untuk menolak pelawaan anaknya. Sebenarnya, Mak Limah sayang nak tinggal rumah peninggalan arwah suaminya. Banyak kenangan suka dan duka tersimpan di rumah itu. Yang paling manisnya, di situlah tempat Mak Limah berjumpa arwah suaminya untuk pertama kalinya pada 30 tahun yang lalu. Ketika itu Pak Akob berkerja sebagai seorang buruh ladang getah. Pertemuan yang pertama itu telah membuahkan bibit-bibit kasih sayang yang sungguh erat. Senyum seketika bila mengenangkan saat-saat indah bersama Pak Akob. Pernah sekali, Mak Limah dikejutkan oleh orang kampung yang mengatakan Pak Akob telah meninggal dunia kerana dibaham oleh seekor harimau. Tetapi Mak Limah hanya tenang sahaja bila mendengar berita tersebut. Pada petang itu selepas solat Asar, Pak Akob balik ke rumah sengan keadaan sihat walafiat.

Mak Limah bertanya kepada Pak Akob “ Kenapa lambat balik, orang kampung cakap yang awak tu telah di makan harimau”.

“Kan saya dah cakap semalam, selepas kerja saya nak masuk hutan nak cari buluh lemang. Lupa ler tu” Kata Pak Akob ringkas. Begitu lah Pak Akob, tak banyak cakap. Cakap berdasarkan keperluan sahaja. Mak Limah arif sangat mengenai perangai arwah suaminya itu.

“Mak Limah nak beli karipap berapa ringgit hari ini?”. Kata Wan Teh mengejutkan Mak Limah. Mak Limah tersentak sekejap.

“Hari ini bagi Lima Ringgit Karipap dan Lima Ringgit Kuih Seri Muka. Malam tadi ramai budak-budak kat masjid tu tak dapat makan kuih. “ Jawab Mak Limah. Sudah menjadi kebiasaan Mak Limah akan memperuntukkan sejumlah wang untuk Mak LImah membeli juadah untuk disedekahkan di masjid. Begitu rutin kehidupan Mak Limah sepanjang bulan Ramadhan. Bagi Mak Limah , Bulan Ramadhan adalah peluang baginya untuk menambah pahalanya. Dia sedar masa hidup inilah kita perlu buat amal kebaikan. Esok bila dah mati, baru menyesal. Bisik hati kecil Mak Limah. Kehidupan Mak Limah bukan senang sangat pun. Perbelanjaan cukup untuk dia seorang sahaja. Hasil Pendapatan penjualan besi buruk, kertas dan kotak-kotak cukup untuk Mak Limah seorang. Mak Limah bekerja mengutip kotak-kotak di pasar raya. Dia berbasikal ke sana sini mencari kotak-kotak untuk dijual. Tetapi kini Mak Limah tidak segagah seperti dahulu. Dia tidak mampu lagi untuk mengayuh basikal.

Selepas menunaikan solat maghrib, semua jemaah turun ke dewan makan. Makanan telah terhidang. Menu hari itu adalah nasi tomato dan ayam masak merah menjadi hidangan utama.

“Alhamdulilah, dah empat belas hari kita berpuasa. Cepat masa berlalu” Kata Lebai Man sambil menyenduk nasi.

“Lebai Man, sudah 2 hari tak nampak Mak Limah. Kuih karipap dia pun saya tak nampak” kata Usop memecah suasana.

“ Saya pun terlintas juga nak bertanya soalan yang sama. Kalau begitu selepas terawikh nanti kita pergi ziarah dia”. Lebai Man memberi cadangan.

Lebai Man bertugas sebagai imam di kampung Seberang Paya. Dia adalah salah seorang penduduk terawal di kampong itu. Beliau bersama-sama beberapa orang pemuda termasuk Pak Akop membuka kampong tersebut. Beliau juga adalah salah seorang amil yang bertugas bagi pihak Majlis Agama Negeri. Seingat Lebai Man, Mak Limah belum pernah sekali pun menerima bantuan zakat sungguhpun nama Mak Limah ada dalam senarai.

“Berilah kepada mereka yang lebih memerlukan”. Jawab Mak Limah ringkas.

Selepas terawikh Lebai Man, Usop dan beberapa orang wakil muslimat telah pergi ke rumah Mak Limah.

“Asslamualaikum” Sahut Lebai Man.

Selepas dua tiga kali salam tidak berjawab, Lebai Man mengambil keputusan untuk terus masuk ke rumah Mak Limah. Tingkap dia bahagian depan rumah terbuka luas. Pintu rumah dalam keadaan tidak berkunci.

Setelah pintu dibuka , Lebai Man memasang lampu di ruang tamu rumah. Alangkah terkejutnya mereka, apabila kelihatan Mak Limah terbaring di atas sejadah. Telekung masih lagi di pakai Mak Limah. Alangkah terkejutnya mereka, Mak Limah telah meninggal dunia. Suasana sayu seketika. Kaum wanita memperbetulkan kedudukan Mak Limah.

“Usop, awak pergi ke balai polis dan buat laporan. Esah, awak panggil beberapa orang perempuan untuk bantu urusan jenazah”. Arahan Lebai Man kepada semua yang hadir.

“Saya nak pergi jumpa Haji Deris untuk urusan di tanah perkuburan”. Kata Lebai Man dalam keadaan sayu.

Ketika Lebai Man berjalan ke muka pintu, Lebai Man sempat menoleh kearah wajah Mak Limah yang kelihatan sedang “tersenyum”.

“Mak LImah engkau telah terima balasan dari Allah”. Bisik hati kecil Lebai Man.

Nota: Kisah benar ini berlaku 2 tahun lepas. Ketika itu umat islam baru 14 hari berpuasa. Moga Mak Limah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman.

Zamri Sarji

Kuantan, Pahang DM



Friday, July 05, 2013

Tazkirah Jumaat


Dari Abu Hurairah RA, Rasullullah bersabda:
"Barangsiapa yang menghadiri jenazah sampai disolatkan maka ia mendapat pahala satu qirath, dan barangsiapa yang menghadirinya sampai jenazah itu dikebumikan(dikuburkan) maka ia mendapat pahala dua qirath" Ada seorang bertanya:"Apakah dua qirath itu?" Baginda menjawab: "Sebesar dua gunung yang besar"
 (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Thursday, July 04, 2013

Tips Pemakanan Sihat di bulan Ramadhan

 
 
Berpuasa biasanya akan mengubah diet harian kita. Seseorang biasanya akan merasa ketidakselesaan perut sepanjang berpuasa. Walau bagai manapun, kesihatan kita masih dapat dikekalkan dengan pengambilan diet yang seimbang dan mencukupi semasa sahur dan berbuka. Pastikan kelima-lima kumpulan makanan iaitu kumpulan nasi, mi, roti, bijirin dan ubi-ubian, kumpulan sayur-sayuran dan buah-buahan, kumpulan ikan, ayam, daging, dan kekacang, kumpulan susu dan produk tenusu serta kumpulan lemak, minyak, gula dan garam diambil mengikut keperluan walau pun semasa dalam bulan ramadhan.
Beberapa tips pemakanan sihat semasa berpuasa adalah seperti :
  1. Elakkan mengambil makanan berlebihan ketika berbuka. Ini akan membuat perut anda akan mengalami ketidakselesaan. Jika ini berlaku fokus anda untuk beribadat tentunya akan berkurangan. 
  2. Mengutamakan makanan yang tinggi serat dengan meningkatkan pengambilan bijirin seperti beras perang, roti mil penuh dan kekacang. Selain itu, sayur-sayuran dan buah-buahan juga merupakan sumber makanan yang sangat kaya dengan serat. Pengambilan serat yang tinggi semasa sahur dapat mengekalkan rasa kenyang yang lebih lama di siang hari dan memberi tenaga agar aktiviti harian dapat dilakukan seperti biasa berbanding bulan-bulan yang lain. Manakala pengambilan serat yang mencukupi semasa berbuka dapat memberi tenaga segera, meneutralkan rembesan asid berlebihan di dalam perut sekaligus dapat mengawal glukosa darah khususnya kepada penghidap diabetes.
  3. Minum air dengan banyak sekitar 8 hingga 12 gelas di antara waktu berbuka hingga waktu sahur terutamanya air kosong. Ini bagi memastikan tubuh mendapat cukup air untuk berfungsi di siang hari. Tetapi perlu diingatkan juga jangan penuh air terlalu banyak ketika berbuka.
  4. Amalan sunnah dengan pengambilan 3 biji kurma beserta segelas air/jus setiap kali waktu berbuka dapat memberi keseimbangan kandungan gula dalam darah (mengelak kejadian hipoglisemia) serta memberi tenaga segera kepada tubuh untuk menjalankan ibadah wajib dan sunat khususnya solat sunat tarawih.
  5. Pilih kaedah masakan yang lebih sihat seperti memanggang, stim dan sup berbanding menggoreng, menyediakan menu berasaskan santan atau terlalu berempah / terlalu pedas. Kurangkan penggunaan minyak atau santan ketika memasak dan buang lemak/kulit pada ayam dan daging sebelum memasak.
  6. Makan dan kunyah dengan perlahan-lahan ketika berbuka kerana kita cenderung untuk makan berlebihan ketika perut lapar. Otak kita mengambil masa selama 20 minit untuk mengesan bahawa perut kita telah pun kenyang.
  7. Teruskan aktiviti fizikal atau senaman ringan di sebelah malam bagi mengekalkan kecergasan tubuh dan minda kita. Selain solat tarawih, anda juga boleh menjalankan aktiviti senaman lain sperti berjalan kaki ke masjid dan sebagainya. Bagi individu yang makan banyak semasa berbuka, biasanya perlu mengambil masa yang lebih lama untuk memulakan aktiviti kerana jantung mengepam darah lebih banyak ke sistem pencernaan berbanding ke otot.
 

Wednesday, July 03, 2013

Nota Kuliah: Sistem Pemerintahan Britain




Negara Britain  sebagai “Mother of Parliaments” telah banyak memberikan sumbangan kepada peradaban dunia, khususnya sumbangan terhadap pembangunan demokrasi. Namun demikian, bentuk pemerintahannya kurang jelas didefinisikan dan agak sulit untuk dimengerti.
 Perlu diingatkan.Perlembagaan negara Britain tidak bertulis. Ianya diwarisi zaman berzaman.

Beberapa ciri penting dari Pemerintahan Britain adalah sebagai berikut.

1.Negara Kesatuan biasanya dengan sebutan United Kingdom.

2.Konstitusinya adalah hukum dasar yang memberikan dan membatasi kekuasaan untuk memerintah dan tidak tertulis.

3.Kekuasaan tidak dipisahkan, tetapi bercampur.

4.Parlimen adalah terdiri dari House of Commons atau Majlis Rendah dan House of Lords atau Majlis Tinggi. Parliament Sovereingnity, merupakan salah satu prinsip fundamental dari konstitusi.

5.Kabinet, adalah kelompok yang mengandungi menteri-menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri.

6.Her Majesty’s Opposition, adalah prinsip fundamental kedua dari konstitusi yang tak tertulis.

7. Pemerintah (Ratu)  bukanlah kekuasaan politik. Ia merupakan simbol keagungan, kedaulatan, dan kesatuan nasional, sama seperti bendera dengan lambang Union Jack; tetapi menteri-menterilah yang sebenarnya memerintah.

Tuesday, July 02, 2013

Nota Bisnes


 Kebiasaannya sesuatu perniagaan mendapat keuntungan yang lumayan pada tahun ketiga.
Sebelum anda memulakan perniagaan, fikirkan perubahan musim perniagaan ini. Adakah anda sanggup membangunkan perniagaan anda sehingga 3 tahun yang akan datang? Atau anda hanya melihat keuntungan jangka pendek? Bolehkah anda mendapatkan modal pusingan untuk menampung perniagaan anda selama 3 tahun yang akan datang? Sanggupkah anda dedikasi diri anda kepada perniagaan anda untuk jangka waktu panjang?
Lebih dari 90% perniagaan gagal dalam tahun pertama. Mana tidaknya… tahun pertama adalah tahun belajar! Jadi untuk kita berdaya saing dengan pesaing, tingkatkan  kualiti produk atau perkhidmatan. Kita juga mesti atau WAJIB memiliki disiplin yang tinggi dalam pengurusan kewangan. Anda boleh berjaya jika ada kemahuan...

Persiapan Ramadhan


Persiapan Ramadhan

Ramadhan akan datang sedikit masa lagi. Apakah persiapan yang perlu diutamakan? Adakah jenis menu berbuka? Adakah “supplement” yang sesuai?Mungkin juga kita sibuk memikirkan apakah warna tema baju kita untuk tahun ini? Mari kita tengok apakah persiapan yang dimaksudkan?

Di antara persiapan untuk menyambut bulan Ramadhan adalah :

1. Bertaubat

Taubat pada dasarnya wajib setiap saat dan oleh kerana kita akan menyambut kedatangan bulan yang agung dan penuh keberkatan ini, maka lebih tepat lagi jika seseorang segera bertaubat dari dosa-dosanya yang diperbuat kepada Allah serta dosa-dosa karena hak-hak orang lain agar ketika memasuki bulan yang penuh keberkatan ini, kita hanya perlu menyibukkan diri melakukan ketaatan dan ibadah dengan dada lapang dan hati tenang.

Allah ta’ala berfirman:



( وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعاً أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ) سورة النور: 31

“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (QS. An-Nur: 31).

Dan dari Al-Aghar bin Yasar radhiallahu ’anhu dari Nabi shallallahu ’alaihi wa sallam, beliau bersabda: “Wahai manusia! Bertaubatlah kepada Allah, sesungguhnya aku bertaubat (kepada Allah) dalam sehari seratus kali” (HR. Muslim, no. 2702)

2. Berdoa.

Diriwayatkan dari sebagian (ulama) salaf, bahwa mereka berdoa kepada Allah selama enam bulan agar dapat berjumpa dengan bulan Ramadan, kemudian mereka berdoa lagi lima bulan setelahnya semoga amalnya diterima. Seorang muslim hendaknya berdoa kepada Tuhannya agar mendapatkan bulan Ramadan dalam keadaan baik, dari sisi agama maupun zahirnya, juga hendaknya dia berdoa semoga dibantu dalam mentaati-Nya serta berdoa semoga amalnya diterima.

3. Gembira dengan sebab semakin dekatnya kedatangan bulan yang agung ini.

Sesungguhnya sempat dengan bulan Ramadan termasuk dalam nikmat Allah yang agung bagi seorang hamba yang muslim kerana bulan Ramadan termasuk dalam musim kebaikan, pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup. Ia adalah bulan Al-Qur’an serta bulan terjadinya peperangan-peperangan dalam sejarah Islam.

Allah berfirman, artinya: “Katakanlah, 'Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Karunia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan." (QS. Yunus: 58)

4. Menyelesaikan tanggungan (qadha) kewajiban puasa.

Dari Abu Salamah, dia berkata, saya mendengar ‘Aisyah radhiallahu ’anha berkata: “Aku memiliki kewajiban berpuasa dari bulan Ramadan lalu, dan aku baru dapat mengqadanya pada bulan Sya’ban.” (HR. Bukhari, no. 1849, dan Muslim, no. 1146)

Al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata: “Dari keseriusan beliau (mengqadha) pada bulan Sya’ban disimpulkan bahwa hal itu menunjukkan tidak diperkenankan mengakhirkan qadha sampai memasuki bulan Ramadan berikutnya.” (Fathul Bari, 4/191)

5. Membekali diri dengan ilmu agar dapat mengenal hukum-hukum puasa dan mengetahui keutamaan Ramadan.

6. Segera menyelesaikan pekerjaan yang mungkin (jika tidak segera diselesaikan) dapat mengganggu kesibukan ibadah seorang muslim di bulan Ramadan.

7. Berkumpul bersama anggota keluarga, dengan isteri dan anak-anak untuk menjelaskan hukum-hukum puasa dan mendorong si kecil untuk berpuasa

8. Mempersiapkan sejumlah buku yang layak untuk dibaca di rumah atau menghadiahkannya kepada imam masjid agar di baca (di depan) jama`ahnya pada bulan Ramadan.

Kursus Sijil Pengendali Makanan

Nota Kuliah: Pemerintahan Kerajaan Malaysia


1. Pengenalan

Negara adalah suatu wilayah di permukaan bumi yang kekuasaannya sama ada politik, ketenteraan, ekonomi, sosial ataupun budayanya diatur oleh kerajaan yang berada di wilayah/negara tersebut. Kerajaan tersebut adalah bebas dan tidak terletak di bawah pemerintahan kerajaan lain. Kini terdapat 193 buah negara yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kerajaan adalah organisasi yang mempunyai kuasa untuk membuat dan melaksanakan undang-undang dalam sesuatu kawasan tertentu. Sistem politik yang diamalkan di setiap negara dan kerajaan adalah berbeza berdasarkan ideologi politik yang digunakan di antaranya seperti berikut.

2.0 Pemerintahan Demokrasi

Demokrasi ialah suatu bentuk kerajaan dimana kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan adalah ditentukan oleh rakyat. Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal samada oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat. Sebuah negara atau kerajaan yang mengamalkan sistem demokrasi adalah dipanggil negara atau kerajaaan yang demokratik.

Demokrasi juga sering digambarkan bahawa satu corak pemerintahan yang membolehkan rakyat bersuara dan mengemukakan kehendak merekatanpa sebarang sekatan. Namun demikian bentuk demokrasi pilihan rakyat juga menjadi bebanan kepada pemerintah untuk mengurus segala permintaan dan kehendak rakyat. Sudah menjadi kebiasaan rakyat mempunyai pilihan ke atas persaingan antara pertubuhan dan pemimpin politik. Rakyat boleh mengawal dan memantau perjalanan sesebuah kerajaan tetapi mereka tidak dibenarkan untuk membuat aktiviti pemerintahan secara bersendirian.

3.0 Demokrasi Berparlimen

Dalam sistem demokrasi berparlimen, badan perundangan yang tertinggi kuasanya ialah parlimen. Negara-negara yang mengamalkan sistem ini ialah Britain, Jepun, Malaysia, dan India. Parlimen terdiri daripada ahli-ahli yang dipilih dalam pilihanraya umum, yang selalunya diadakan sekurang-kurangnya lima tahun sekali. Parlimen ialah badan yang mewakili rakyat untuk membuat undang-undang negara. Tugasnya ialah menggubal undang-undang dan dasar-dasar melalui kuasa yang diberi kepadanya oleh undi rakyat. Jika rakyat tidak berpuashati dengan sebarang tindakan atau dasar kerajaan, rakyat boleh menafikan pengusaan pemerintahan dengan tidak memilih mereka(pemerintah) ketika pilihanraya.

Di dalam teori pengasingan kuasa aliran sistem Westminster dewan perundangan – yang dikenali sebagai Parlimen – tidak terpisah dari pihak eksekutif. Ini kerana ketuanya, yakni Perdana Menteri, dilantik dari kalangan ahli.ahli Parlimen. Begitu juga dengan anggota-anggota kabinetnya. Bagaimanpun sekiranya ada dua dewan- contohnya Dewan Rakyat dan Dewan Negara – Perdana Menteri mesti dilantik dari kalangan ahli-ahli dewan yang dipilih sementara anggota-anggota kabinet yang lain boleh dilantik dari kalangan senator yang tidak dipilih oleh rakyat.

Mengikut Perlembagaan Malaysia, Parlimen di wakili oleh Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Setiap institusi ini mempunyai peranan dan tugas masing-masing

3.1 Yang di-Pertuan Agong

Baginda adalah merupakan ketua negara Malaysia. Mengikut Perlembagaan Malaysia, Yang di-Pertuan Agong mempunyai tugas-tugas yang khusus. Antara tugas utama baginda ialah:

i. Melantik Perdana Menteri

Seseorang Perdana Menteri sebelum dilantik mestilah mendapat perkenan Baginda. Kebiasaannya Perdana Menteri yang dilantik adalah terdiri daripada parti yang telah memenangi pilihanraya peringkat kebangsaan.

ii. Tidak mempersetujui pembubaran Parlimen

Baginda mempunyai kuasa untuk tidak mempersetujui Pembubaran Parlimen. Pembubaran Parlimen pada kebiasaannya adalah dengan nasihat Perdana Menteri. Baginda juga tidak dibenarkan untuk menjalankan atau bergiat aktif dalam perniagaan. Baginda juga tidak boleh menerima emolumen sebagai raja di bawah perlembagaan atau undang-undang negeri baginda.


4.0 Dewan Negara

Tugas utama Dewan Negara ialah membahaskan sesuatu rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan juga bagi membincangkan perkara-perkara yang menjadi kepentingan umum. Menurut Perkara 68 Perlembagaan Persekutuan, Dewan Negara tidak mempunyai kuasa menolak undang-undang tetapi mempunyai kuasa menangguh sesuatu rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat sebelum dikemukakan kepada Yang Di Pertuan Agong untuk diperkenankan, contohnya Rang Undang-Undang Kewangan. Tempoh penangguhan oleh Dewan Negara ialah 30 hari, bagi rang undang-undang yang lain tempohnya ialah setahun.

Dewan Negara adalah juga dikenali Majlis tertinggi atau di sebut dengan nama "Senate". Dewan Negara akan membahaskan suatu rang undang-undang dengan lebih terperinci berbanding dengan Dewan Rakyat dan untuk membincangkan mengenai perkara-perkara kepentingan umum, Dewan Negara mempunyai 70 ahli dimana 40 adalah dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong dan 30 lagi dari ahli Dewan Undangan Negeri. 40 orang yang dilantik adalah dari kalangan orang yang membuat jasa cemerlang dalam perkhidmatan awam dan atau mencapai kepujian dalam lapangan profesion perdagangan, perusahaan, pertanian, kebudayaan, perkhidmatan masyarakat atau wakil kaum asli. Sementera 30 orang daripada ahli Dewan Undangan Negeri terdiri dari dua orang wakil bagi setiap negeri, dua dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang dari Wilayah Persekutuan Labuan yang dilantik Yang Di Pertuan Agong. Tempoh jawatan ahli Dewan Negara adalah 3 tahun dan jawatan tidak terhenti sekiranya berlaku pembubaran Parlimen. Dewan Negara tidak mempunyai kuasa menolak tetapi mempunyai kuasa menangguh sesuatu rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat daripada dikemukakan kepada Yang Di Pertuan Agong untuk diperkenakan. Dewan Negara tidak berkuasa membuat pindaan jika pindaan itu tidak diterima oleh Dewan Rakyat.

Menurut Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan, Dewan Negara mempunyai 70 orang anggota yang dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong daripada kalangan rakyat yang berjaya di dalam ikhtisas dan juga wakil kaum minoriti seperti wakil orang asli.

Yang Di Pertuan Agong sebagai Ketua Utama negara mengetuai tiga badan kerajaan. Pemerintahan kuasa kerajaan kepada tiga badan utama dilakukan supaya penumpuan kuasa tidak berlaku kepada mana-mana pihak. nilah yang dimaksudkan "Doktrin Pemisahan Kuasa" Idea ini dicetuskan oleh Motesquieu,ahli falsafah politik dan undang-undang Perancis dalam abad 18. Doktrin Pemisahan Kuasa ini berujuan supaya kuasa negara tidak dimiliki secara mutlak oleh sesuatu pihak dan mudah pula diselewengkan.

5.0 Dewan Rakyat

Dewan Rakyat merupakan satu Majlis untuk membolehkan rakyat menyampaikan hasrat dan mendapatkan pembelaan melalui Wakil Rakyat mereka. Kesemua ahli Dewan Rakyat dipilih melalui pilihanraya yang mewakili kawasan pilihanraya di seluruh Malaysia. Seseorang ahli hanya mewakili sebuah kawasan pilihanraya tetapi ada juga beberapa orang mewakili dua kawasan pilihanraya iaitu kawasan pilihanraya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri. Tempoh jawatan ahli Dewan Rakyat akan tamat apabila Parlimen telah dibubarkan. Ahli Dewan Rakyat boleh berhenti menjadi ahli Dewan dengan menulis surat kepada Yang Di Pertua Dewan Rakyat. Dia juga dianggap berhenti jika :-

a) hilang kelayakan mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan

b) tidak hadir dala mesyuarat Dewan selama enam bulan berterusan tanpa mendapat izin Dewan (Perkara 52 Perlembagaan Persekutuan) atau

c) jika tidak menghadiri mesyuarat dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh Dewan mula bersidang selepas pilihanraya

Tiap-tiap ahli Dewan Rakyat akan mengangkat sumpah setia kepada Malaysia dan Perlembagaan sebelum mengambil tempatnya. Yang Di Pertua Dewan boleh dipilih daripada ahli Dewan ataupun orang lain yang difikirkan layak untuk dipilih. Jika orang lain yang dipilih maka dia dianggap sebagai ahli Dewan tambahan. Beliau tidak boleh dilantik menjadi Perdana Menteri, Menteri, Timbalan menteri atau Setiausaha Parlimen dan tidak boleh mengundi dalam sebarang perbahasan. Seorang Yang di Pertua Dewan juga dipilih dan mestilah dipilih daripada ahli Dewan Rakyat. Dewan Rakyat juga mempunyai seorang Setiausaha yang dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong.

6.0 Badan Perundangan (Legislative)

Badan Perundangan hanya membuat undang-undang dan tidak boleh menyerahkan kuasa ini kepada sesiapa pun dan tidak boleh mempunyai kuasa yang lain. Badan ini dikenali sebagai Parlimen Malaysia dan mengandungi tiga elemen utama iaitu Yang Di Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Segala undang-undang yang dibawa ke Parlimen hendaklah dan mestilah diluluskan oleh ketiga-tiga elemen tersebut. Di Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memanggil, memberhentikan ataupun membubarkan Parlimen diatas nasihat Jemaah Menteri. Namun begitu, Yang Di Pertuan Agong tidak perlu menghadiri sidang Parlimen kecuali bertitah semasa pembukaan rasmi penggal Parlimen.

Perundangan adalah merujuk kepada undang-undang yang digubal oleh badan khas yang bertanggungjwab dari segi perlembagaan. Fungsi utama perundangan adalah untuk menggubal, meminda atau membatalkan undang-undang. Kuasa perundangan ini telah ditetapkan oleh Perelmbagaan Persekutuan Malaysia. Penggubalan undang-undang dalam bentuk perundangan dijalankan oleh Parlimen Malaysia bagi peringkat persekutuan dan Dewan Undangan Negeri bagi peringkat negeri. Badan perundangan Persekutuan dan Negeri mempunyai bidang tugas yang tersendiri. Bagi Peringkat Negeri, mereka hanya menggubal undang-undang dalam sempadan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri, yang membuat undang-undang adalah Parlimen Malaysia

6.1 Badan Kehakiman

Badan Kehakiman adalah badan yang menjalankan kuasa kehakiman di negara ini. Mengikut Perkara 121 (1) Perlembagaan Persekutuan, kuasa kehakiman bagi Persekutuan adalah terletak di Mahkamah Tinggi di Malaya dan Mahkamah Tinggi di Borneo dan juga mana-mana Mahkamah bawahan yang telag diperuntukkan undang-undang Persekutuan. Kuasa-kuasa kehakiman dinegara ini terletak di Mahkamah Agong, Mahkamah Rayuan, Mahkamah-Mahkamah Tinggi dan mahkamah-Mahkamah Bawahan. Bagi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Hakim, ianya mestilah tidak terpengaruh atau menyebelahi mana-mana pihak, kebebasan untuk menjalankan tugas-tugas hendaklah terjamin.Pihak kehakiman memstilah mempunyai kebebasan untuk bertindak sebagai pembuat keputusan. Keputusan yang dibuat juga wajar mengikut perlembagaan dan undang-undang yang telah termaktub. Keputusan juga mestilah tidak mengikut kehendak pasti pemerintah ataupun lain-lain pertubuhan dan pihak.

Badan Perundangan dan ekskutif adalah dua cabang terpenting dalam sistem pemerintahan demokrasi berparlimen. Menteri-menteri kabinet memainkan peranan utama dalam kedua-dua badan ini. Itulah sebabnya apa yang berlaku dalam sistem demokrasi berparlimen ini selalu digelar sebagai satu “percantuman kuasa”. Ada ahli teori yang mengatakan bahawa sistem demokrasi berparlimen adalah bertentangan dengan semanagat konsep pengasingan kuasa dalam teori demokrasi liberal.

Kebebasan kehakiman adalah salah satu daripada kekuatan sistem demokrasi. Kebebasan ini memastikan bahawa keadilan dapat dilaksanakan dengan berkecuali dan hakim-hakim dapat menjalankan tugas mereka tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Hakim-hakim bebas untuk mentafsirkan undang-undang yang diluluskan oleh parlimen mengikut fahaman mereka tentang keadilan pelaksanaanya. Kebebasan kehakiman ini merupakan ukuran terpenting dalam menentukan sifat demokratik sesuatu sistem politik.

7.0 Keadilan Perundangan dan kebaikan pengasingan kuasa

Demokrasi berparlimen juga mempunyai institusi yang bertanggungjawab memastikan bahawa undang-undang dijalankan dengan adil. Ini ialah badan kehakiman (judiciary). Satu perbezaan yang menarik tentang badan ini di antara demokrasi berparlimen dan demokrasi berpresiden ialah kehakiman dalam sistem yang pertama itu kurang kuasanya jika dibandingkan sistem berpresiden. Mengikut teori demokrasi, badan kehakiman adalah bebas daripada kawalan politik. Hakim-hakim dilantik oleh ketua negara dan bukannya oleh kabinet walaupun perlantikan oleh ketua negara itu adalah di atas nasihat perdana menteri, iaitu ketua parti memerintah dan seorang ahli politik. Hakim-hakim tidak boleh disingkirkan oleh kabinet atau parti yang memerintah. Jawatan hakim dibezakan daripada jawatan-jawatan kerajaan yang lain. Gaji, kenaikan pangkat dan syarat-syarat perkhidmatan mereka adalah di bawah jagaan atau Suruhanjaya Kehakiman yang tersendiri. Suruhanjaya Kehakiman ini juga akan memantau dan mengawal selia skim perkhidmatan bagi para hakim dan dibawahnya.

8.0 Isu Pengasingan Kuasa

Namun demikian, perlu diingatkan bahawa pengasingan kuasa yang diamalkan ialah berteraskan sistem pembahagian kuasa-kuasa tertinggi dalam sesebuah negara. Ini akan mengelakkan raja atau pemerintah bertindah zalim dan tidak berperikemanuasian. Pengasingan kuasa juga mestilah wujud untuk menstabilkan sistem demokrasi dan menghadkan kerajaan demokrasi kearah sistem kawalan perseimbangan dari sudut ekonomi dan sosial. Demokrasi juga sering disebutkan sebagai pemerintahan dari rakyat,untuk rakyat dan oleh rakyat. Rakyat berhak untuk menentukan untuk melantik wakil mereka sendiri untuk ke Parlimen menerusi pilihan raya.

Apabila perundangan dan badan eksekutif diasingkan, mudah bagi rakyat untuk melihat kelemahan setiap badan. Ini penting untuk meningkatkan kualiti kehidupan berdasarkan kecemerlangan perkhidmatan yang telah diberikan. Namun demikian, kelemahan pasti ada disana sini. Oleh itu, rakyat boleh mengunakan kuasa yang ada pada mereka untuk mendesak pihak atau kuasa-kuasa lainya untuk mengambil tindakan atau langkah yang dirasakan perlu. Proses perseimbangan ini akan mewujudkan “check and balance” di dalam sistem pentadbiran sesebuah negara.

Pada suatu ketika Mahkamah kelihatan tidak dapat dikritik. Mereka masih boleh menjatuhkan hokum. Tetapi sekarang mereka juga diserang. Perbicaraan semula dan pindaan penghakiman menjadi lumrah.

Proses pengasingan kuasa antara perundangan dan eksekutif ini juga dilihat sebagai cerminan wajah sesebuah sistem pentadbiran negara. Pemerintahan ditentukan oleh rakyat sendiri dan membolehkan mereka untuk memilih wakil mereka sendiri. Kepentingan dan hak rakyat sentiasa terpelihara dengan tertib. Sebagai contoh, apabila tiada pengasingan kuasa berlaku, pihak pemerintah akan melakukan tindakan dengan sewenang-wenangnya. Inilah yang perlu dielakkan.

Proses pengasingan ini juga akan membentuk situasi saling kawal-mengawal antara satu sama lain. Perimbangan kuasa di antara mereka menjadi penting untuk mewujudkan suasana yang harmoni di dalam negara. Malaysia, sebagai contoh telah mempraktikkan budaya ini bila mana perpaduan dan keharmonian kaum sering dititik-beratkan. Namun demikian, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat beberapa peristiwa yang boleh menjejaskan hasrat kerajaan seperti “Peristiwa 13 Mei 1969”.

Disebalik pengasingan kuasa yang berbentuk organisasi juga, rakyat juga perlu mengetahui pengasingan kuasa yang berbentuk simbolik semata-mata. Sebagai contoh Yang di-Pertuan Agong ialah ketua negara “non executive”. Perdana Menteri adalah adalah ketua negara atau eksekutif yang memegang jawatan Perdana Menteri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...