Thursday, July 25, 2013

Cahaya Ramadhan


Cahaya Ramadhan

Suasana di Bazar Ramadhan ketika itu agak sibuk. Para pengunjung sibuk membeli juadah masing-masing. Cuaca hari itu redup, tapi bukan bererti hendak hujan . Bagi para penjual, Bulan ramadhan adalah peluang bagi mereka untuk menambah pendapatan.

Seperti biasa Mak Limah akan berjalan seorang diri. Semenjak kehilangan suaminya 10 tahun lalu, begitulah rutin Mak Limah. Berjalan keseorangan. Baik ke pasar mahupun ke masjid, Mak Limah akan berjalan keseorangan. Anak Mak Limah hanya seorang. Telah berkahwin dan bekerja di bandar. Anak Mak LImah kerap kali mengajaknya untuk tinggal bersama mereka. Tetapi bermacam alasan Mak Limah berikan untuk menolak pelawaan anaknya. Sebenarnya, Mak Limah sayang nak tinggal rumah peninggalan arwah suaminya. Banyak kenangan suka dan duka tersimpan di rumah itu. Yang paling manisnya, di situlah tempat Mak Limah berjumpa arwah suaminya untuk pertama kalinya pada 30 tahun yang lalu. Ketika itu Pak Akob berkerja sebagai seorang buruh ladang getah. Pertemuan yang pertama itu telah membuahkan bibit-bibit kasih sayang yang sungguh erat. Senyum seketika bila mengenangkan saat-saat indah bersama Pak Akob. Pernah sekali, Mak Limah dikejutkan oleh orang kampung yang mengatakan Pak Akob telah meninggal dunia kerana dibaham oleh seekor harimau. Tetapi Mak Limah hanya tenang sahaja bila mendengar berita tersebut. Pada petang itu selepas solat Asar, Pak Akob balik ke rumah sengan keadaan sihat walafiat.

Mak Limah bertanya kepada Pak Akob “ Kenapa lambat balik, orang kampung cakap yang awak tu telah di makan harimau”.

“Kan saya dah cakap semalam, selepas kerja saya nak masuk hutan nak cari buluh lemang. Lupa ler tu” Kata Pak Akob ringkas. Begitu lah Pak Akob, tak banyak cakap. Cakap berdasarkan keperluan sahaja. Mak Limah arif sangat mengenai perangai arwah suaminya itu.

“Mak Limah nak beli karipap berapa ringgit hari ini?”. Kata Wan Teh mengejutkan Mak Limah. Mak Limah tersentak sekejap.

“Hari ini bagi Lima Ringgit Karipap dan Lima Ringgit Kuih Seri Muka. Malam tadi ramai budak-budak kat masjid tu tak dapat makan kuih. “ Jawab Mak Limah. Sudah menjadi kebiasaan Mak Limah akan memperuntukkan sejumlah wang untuk Mak LImah membeli juadah untuk disedekahkan di masjid. Begitu rutin kehidupan Mak Limah sepanjang bulan Ramadhan. Bagi Mak Limah , Bulan Ramadhan adalah peluang baginya untuk menambah pahalanya. Dia sedar masa hidup inilah kita perlu buat amal kebaikan. Esok bila dah mati, baru menyesal. Bisik hati kecil Mak Limah. Kehidupan Mak Limah bukan senang sangat pun. Perbelanjaan cukup untuk dia seorang sahaja. Hasil Pendapatan penjualan besi buruk, kertas dan kotak-kotak cukup untuk Mak Limah seorang. Mak Limah bekerja mengutip kotak-kotak di pasar raya. Dia berbasikal ke sana sini mencari kotak-kotak untuk dijual. Tetapi kini Mak Limah tidak segagah seperti dahulu. Dia tidak mampu lagi untuk mengayuh basikal.

Selepas menunaikan solat maghrib, semua jemaah turun ke dewan makan. Makanan telah terhidang. Menu hari itu adalah nasi tomato dan ayam masak merah menjadi hidangan utama.

“Alhamdulilah, dah empat belas hari kita berpuasa. Cepat masa berlalu” Kata Lebai Man sambil menyenduk nasi.

“Lebai Man, sudah 2 hari tak nampak Mak Limah. Kuih karipap dia pun saya tak nampak” kata Usop memecah suasana.

“ Saya pun terlintas juga nak bertanya soalan yang sama. Kalau begitu selepas terawikh nanti kita pergi ziarah dia”. Lebai Man memberi cadangan.

Lebai Man bertugas sebagai imam di kampung Seberang Paya. Dia adalah salah seorang penduduk terawal di kampong itu. Beliau bersama-sama beberapa orang pemuda termasuk Pak Akop membuka kampong tersebut. Beliau juga adalah salah seorang amil yang bertugas bagi pihak Majlis Agama Negeri. Seingat Lebai Man, Mak Limah belum pernah sekali pun menerima bantuan zakat sungguhpun nama Mak Limah ada dalam senarai.

“Berilah kepada mereka yang lebih memerlukan”. Jawab Mak Limah ringkas.

Selepas terawikh Lebai Man, Usop dan beberapa orang wakil muslimat telah pergi ke rumah Mak Limah.

“Asslamualaikum” Sahut Lebai Man.

Selepas dua tiga kali salam tidak berjawab, Lebai Man mengambil keputusan untuk terus masuk ke rumah Mak Limah. Tingkap dia bahagian depan rumah terbuka luas. Pintu rumah dalam keadaan tidak berkunci.

Setelah pintu dibuka , Lebai Man memasang lampu di ruang tamu rumah. Alangkah terkejutnya mereka, apabila kelihatan Mak Limah terbaring di atas sejadah. Telekung masih lagi di pakai Mak Limah. Alangkah terkejutnya mereka, Mak Limah telah meninggal dunia. Suasana sayu seketika. Kaum wanita memperbetulkan kedudukan Mak Limah.

“Usop, awak pergi ke balai polis dan buat laporan. Esah, awak panggil beberapa orang perempuan untuk bantu urusan jenazah”. Arahan Lebai Man kepada semua yang hadir.

“Saya nak pergi jumpa Haji Deris untuk urusan di tanah perkuburan”. Kata Lebai Man dalam keadaan sayu.

Ketika Lebai Man berjalan ke muka pintu, Lebai Man sempat menoleh kearah wajah Mak Limah yang kelihatan sedang “tersenyum”.

“Mak LImah engkau telah terima balasan dari Allah”. Bisik hati kecil Lebai Man.

Nota: Kisah benar ini berlaku 2 tahun lepas. Ketika itu umat islam baru 14 hari berpuasa. Moga Mak Limah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman.

Zamri Sarji

Kuantan, Pahang DM



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...