Thursday, July 04, 2013

Tips Pemakanan Sihat di bulan Ramadhan

 
 
Berpuasa biasanya akan mengubah diet harian kita. Seseorang biasanya akan merasa ketidakselesaan perut sepanjang berpuasa. Walau bagai manapun, kesihatan kita masih dapat dikekalkan dengan pengambilan diet yang seimbang dan mencukupi semasa sahur dan berbuka. Pastikan kelima-lima kumpulan makanan iaitu kumpulan nasi, mi, roti, bijirin dan ubi-ubian, kumpulan sayur-sayuran dan buah-buahan, kumpulan ikan, ayam, daging, dan kekacang, kumpulan susu dan produk tenusu serta kumpulan lemak, minyak, gula dan garam diambil mengikut keperluan walau pun semasa dalam bulan ramadhan.
Beberapa tips pemakanan sihat semasa berpuasa adalah seperti :
  1. Elakkan mengambil makanan berlebihan ketika berbuka. Ini akan membuat perut anda akan mengalami ketidakselesaan. Jika ini berlaku fokus anda untuk beribadat tentunya akan berkurangan. 
  2. Mengutamakan makanan yang tinggi serat dengan meningkatkan pengambilan bijirin seperti beras perang, roti mil penuh dan kekacang. Selain itu, sayur-sayuran dan buah-buahan juga merupakan sumber makanan yang sangat kaya dengan serat. Pengambilan serat yang tinggi semasa sahur dapat mengekalkan rasa kenyang yang lebih lama di siang hari dan memberi tenaga agar aktiviti harian dapat dilakukan seperti biasa berbanding bulan-bulan yang lain. Manakala pengambilan serat yang mencukupi semasa berbuka dapat memberi tenaga segera, meneutralkan rembesan asid berlebihan di dalam perut sekaligus dapat mengawal glukosa darah khususnya kepada penghidap diabetes.
  3. Minum air dengan banyak sekitar 8 hingga 12 gelas di antara waktu berbuka hingga waktu sahur terutamanya air kosong. Ini bagi memastikan tubuh mendapat cukup air untuk berfungsi di siang hari. Tetapi perlu diingatkan juga jangan penuh air terlalu banyak ketika berbuka.
  4. Amalan sunnah dengan pengambilan 3 biji kurma beserta segelas air/jus setiap kali waktu berbuka dapat memberi keseimbangan kandungan gula dalam darah (mengelak kejadian hipoglisemia) serta memberi tenaga segera kepada tubuh untuk menjalankan ibadah wajib dan sunat khususnya solat sunat tarawih.
  5. Pilih kaedah masakan yang lebih sihat seperti memanggang, stim dan sup berbanding menggoreng, menyediakan menu berasaskan santan atau terlalu berempah / terlalu pedas. Kurangkan penggunaan minyak atau santan ketika memasak dan buang lemak/kulit pada ayam dan daging sebelum memasak.
  6. Makan dan kunyah dengan perlahan-lahan ketika berbuka kerana kita cenderung untuk makan berlebihan ketika perut lapar. Otak kita mengambil masa selama 20 minit untuk mengesan bahawa perut kita telah pun kenyang.
  7. Teruskan aktiviti fizikal atau senaman ringan di sebelah malam bagi mengekalkan kecergasan tubuh dan minda kita. Selain solat tarawih, anda juga boleh menjalankan aktiviti senaman lain sperti berjalan kaki ke masjid dan sebagainya. Bagi individu yang makan banyak semasa berbuka, biasanya perlu mengambil masa yang lebih lama untuk memulakan aktiviti kerana jantung mengepam darah lebih banyak ke sistem pencernaan berbanding ke otot.
 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...