Monday, June 18, 2012

Nota Kuliah: Hubungan Antarabangsa - Hak Asasi Manusia

1. Pengenalan

Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa sejak manusia memulakan hidup secara berkumpulan atau bermasyarakat, konsep dan pandangan manusia mengenai hak asasi dan kewajipan meraka kepada ahli masyarakat menjadi penting. Sebaik sahaja manusia mempunyai kuasa dan kedudukan yang agak tinggi, mereka akan mula memikirkan beberapa nilai-nilai kehidupan yang boleh dijadikan amalan masyarakat terbabit. Oleh itu, sewajarnyalah nilai dan hak kemanusian berbeza mengikut kehendak masyarakat dan golongan tertentu.
Bagi umat islam, al-Quran dan Sunnah Rasullullah menjadi tonggak kepada lahirnya hak asasi manusia. Bagitu juga bagi masyarakat Kristian, Bible menjadi rujukan utama dalam menerangi kaedah hak asasi manusia. Penganut Confucian pula banyak dipengaruhi oleh tatacara yang ditunjukkan dalam Prinsip Li. Semua di atas adalah boleh digambarkan sebagai punca ilmu pertama.
Bagi punca ilmu kedua, banyak berlandaskan kepada teori logic dan mengikut kewarasan dan penekanan pembentukan sesuatu ilmu hak asasi manusia. Ini terbukti seperti hak untuk hidup, hak untuk bebas dan hak untuk keadilan. Semuanya berbeza mengikut zaman dan turun temurun. Berbeza pula dengan hak untuk hidup, hak untuk bebas dan hak untuk keadilan adalah disebabkan timbulnya perasaan untuk membentuk suatu nilai atau norma untuk kepentingan bersama.

2. Kemunculan Hak Asasi Manusia

Secara amnya, ianya dipercayai berasal dari tamadun Greek. Pemikir-pemikir terkenal seperti Aristotle dan Plato telah mencetuskan idea hak kebebasan, hak kesamarataan dan hak keadilan. Aristotle banyak menyentuh mengenai hak kesamarataan di dalam kerja-kerja berpolitik. Beliau berpendapat hak kepentingsn bersama, keadilan setisap individu menjaga dan mengamalkan tanggungjawab masing-masing didalam komuniti, maka akan lahirlah sebuah bangsa yang maju dan bertamadun. Peluang bagi pendidikan yang sama tanpa mengira jantina juga uturut diperkenalkan.

Namun begitu, pada tahun 1215 , sebuah Magna Carta dicipta. Ianya demi menjaga hak dan golongan bangsawan daripada dicabuli. Ianya bertujuan supaya harta benda golongan ini tidak dirampas atau dikenakan cukai. Kemunculan pemikir seperti Hobbes, Spinoza dan Locke telah merancakkan lagi kewujudan hak asasi manusia. Ianya lebih bersifat moden dan kajian mereka telah diguna pakai sehingga ke hari ini.

3. Teori Hobbes, Locke dan Rousseau.

Mereka berpendapat bahawa kewujudan pemikiran Hak Asasi Manusia adalah disebabkan oleh:

a. Kekejaman Pemerintah

Pemerintah ketika itu sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan kuasa dan harta benda yang mereka miliki. Mereka sanggup untuk merampas dan dan kadangkala sehingga membunuh untuk mempertahan imej dan kekuasaan mereka. Perasaan ini tidak disenangani oleh banyak. Rata-rata rakyat menentang keras akan sistem kekuasaan yang amat zalim ini. Ini member pendorong kepada Locke menulis Two Treatises of Government

b. Faktor ekonomi

Pengenalan Stamp Act telah menyebabkan ekonomi Eropah ketika itu didalam kacau bilau. Cukai yang diperkenalkan telah mendapat tentangan yang hebat. Kenaikan bolehlah dikatakan tanpa persetujuan kedua-dua belah pihak. Rakyat menjadi terbeban dengan angka percukaian yang merunsingkan mereka. Pada peringkat ini Rousseau telah melahirkan perasaan ketidakpuasan terhadap sistem keadilan yang membebankan ini. Pemerintah sanggup melakukan apa sahaja demi kelansungan ekonomi masyarakat bangsawan. Inilah yang membimbangkan beliau.

c. Pemikiran masyarakat moden

Pada peringkat ini, masyarakat telah terdedah kepada penerangan yang lebih saintifik dan logika. Mereka sedar bahawa kehidupan dan pembelajaran seharian telah berubah dan akan terus berubah. Arus perubahan ini telah menyebabkan gelombang pemikiran yang berbeza dikalangan masyarakat. Hobbes, Locke dan Rousseau banyak menggunakan kaedah saintifik dan nilai intelek dalam menangani beberapa isu semasa.

Tahap pemikiran yang moden dan terkini telah menyebabkan ketiga-tiga pemikir terbabit berusaha untuk melahirkan konsep hak asasi manusia yang moden dan terkini.

Kontrak sosial

Kontrak sosial terbentuk daripada konsep hak asasi manusia. Hobbes berpendapat naluri manusia lebih cenderung kepada kebebasan untuk memiliki kehidupan yang sempurna dengan kemewahan menjadi matlamat utama.

Hedonisme dan kelakuan tidak bermoral secara mutlak menjadi norma kebebasan mutlak untuk individu dan untuk semua. Tanpa landasan yang betul, manusia akan terus terjerumus ke lembah yang hina. Sifat tamak pada harta dan yang kuat pasti akan menindas kaum yang lemah, telah menjadi asam garam manusia ketika itu. Untuk itu, Hobbes telah bersura dengan lantang akan kepentingan keamanan, kontrak sosial yang matang serta politik yang berdaulat. Tiga factor tersebut menjadi intipati perjuangan dan pemikiran Hobbes.

Bagi Locke, keperluan ekonomi dan pembentukan undang-undang perlu diberi perhatian. Beliau berpendapat, kontrak sosial dapat memperbaiki hubungan rakyat dengan pemerintah, dengan syarat pemerintah melindungan dan mendokong hak asasi rakyat terbanyak. Locke lebih cenderung kepada pemerintah demokrasi berpelembagaan berbanding Hobbes yang lebih cenderung kepada sistem pemerintahan monarki.

Bagi Rousseau pemerintahan sesebuah negara adalah seperti sistem semulajadi badan manusia. Beliau lebih menekankan kepada konsep kesederhanaan dalam segenap aspek. Beliau juga turut berpendapat agar masyarakat membentuk nilai-nilai masyarakat yang tersendiri dan bergerak secara kolektif.

4. Asas Hak Asasi Manusia

a. Hak Melindungi Diri

Pendapat mengenai hak untuk melindungi nyawa atau keselamatan manusia merupakan pokok yang mesti dipertahankan. Namun begitu, ketidaksamaan status dan kedudukan dalam masyarakat sering menjadi penyebab utama kepincangan masyarakat. Si kaya akan cuba menindas si miskin dalam konteks perebutan harta dan tanah. Begitu juga kecenderungan si miskin untuk membuat apa sahaja sehingga sanggup membunuh, telah menjadi isu perdebatan yang hangat di kalangan para pemikir.

Maka timbullah satu penemuan baru yang lebih rasional dan moden. Kontrak sosial diiringi dengan kaedah pelaksanaan yang mantap beserta teori pemantau yang jitu diharap dapat menjamin hak melindungi diri semua golongan.

b. Hak kebebasan

Bermaksud manusia berhak melakukan sebarang aksi atau pergerakkan supaya kehidupan terpelihara. Ianya juga tidak bergantung kepada mana-mana pihak atau individu.

c. Hak Kebebasan Berpolitik

Hobbes dan Locke berpendapat bahawa urusan pentadbiran kerajaan perlu berasaskan kepada tiga perkara utama iaitu eksekutif, kehakiman dan legislative yang bertindak mengggubal dan membuat undang-undang. Ketiga-tiga elemen tersebut perlu bergerak dengan matlamat yang sama untuk kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat. Ketelusan dalam urusan pentadbiran menjadi asas kepada kejayaan sistem tersebut.

d. Hak kebebasan beragama

Individu berhak untuk memilih agama untuk dianuti selagi pengaruh agama hanya berlaku dalam ruang pemikiran manusia. Ianya juga berkait rapat mengenai kepercayaan dan keyakinan terhadap agama pilihan meraka. Aspek keugamaan dan kepercayan banyak berkisar mengenai unsure kerohanian manusia sejagat.

e. Hak kebebasan daripada perhambaan

Aristotle berpendapat bahawa manusia pada asalnya dilahirkan sebagai hamba dan adakalanya pula lahir dengan diiringi dengan kuasa. Tuan punya hamba mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keperluan hambanya. Keperluan ini mungkin bersifat keperluan asas seperti makanan dan tempat tinggal. Adakalanya tuan punya hamba ini mempunyai kuasa yang melebihi dari segalanya sehingga ke kepada soal hidup mati hambanya.

f. Hak memiliki harta benda

Menurut Locke, harta merangkumi nyawa, kebebasan dan estet. Hak milik tanah dan harta benda mesti dilindungi. Ini penting untuk kesejahteraan masyarakat setempat. Ini bagi mengelakkan segala urusan rampasan harta yang boleh membawa beberapa siri kekecohan lain.

Bagi Rousseau kehidupan yang bersederhana penting untuk menjamin kesejahteraan yang hakiki. Segala urusan percukaian dan penjagaan mestilah dikawal oleh undang-undang. Perlatan mewah yang digunakan oleh orang yang kaya, perlulah dikenakan cukai yang tinggi.

5. Pengaruh Hak Asasi Manusia

Pengaruh ini menyebabkan bermulanya pemisahan pentadbiran gareja dengan pemerintahan kerajaan. Agama disisihkan dan Perhimpunan Nasional Peranchis mengamalkan suara majoriti dan membentuk kuasa tertinggi. Perubahan berlaku juga di Amerika Syarikat dimana doktrin hak asasi manusia dititikberatkan manakala hak perhambaan tidak dipandang serius sehinggalah berlakunya perang saudara.

6. Konsep Universalisme

Universalisme adalah kenyataan yang menggambarkan bahawa hak asasi manusia antarabangsa seperti perlindungan sama rata, kebebasan bersuara, kebebasan beragama dan kebebasan berpersatuan mestilah sama di mana-mana sahaja. Ianya boleh diterima pakai di ke semua negara.

Persamaan yang dimaksudkan ialah persamaan dari segi warna kulit,agama, bangsa dan adat resam.

Tiga elemen terpenting didalam factor universalisme ialah:

a. Hak asasi manusia bagi setiap individu dimuka bumi serupa

b. hak asasi manusia serupa kerana setiap manusia mempunyai sifat yang sama

c. hak asasi manusia serupa kerana manusia adalah suci.

Secara amnya, konsep universalisme adalah berkait rapat dengan factor ugama. Meraka berpendapat bahawa mereka boleh mengubah nasib mereka dan mereka berhak untuk menentukan masa depan mereka sendiri. Tetapi manusia juga harus sedar dan insaf, jika kegagalan yang mereka temui adalah titik penamat yang mengatakan bahawa keperluan untuk menerima ketentuan tuhan dalam percaturan hidup. Ini lah yang menjadi kunci kata dalam memperkatakan factor yang terlibat dalam pembentukkan nilai universalisma sejagat.

7. Perpekstif Konfucianisme

Mereka melihat bahawa semua manusia adalah universal kerana semua manusia mempunya tugas dan peranan masing-masing. SIfat dan tanggungjawag seorang ayah dan ahli keluarga yang lain dapat mencerminkan nilai yang suci ke arah pembentukkan masyarakat yang berjaya. Begitu juga yang muda menunjukkan rasa hormat kepada yang tua.

8. Perspektif Taoisme

Kesucian sehingga ketahap nirwana menjadi cita-cita mereka. Untuk itu. Mereka perlu mengikut ajaran Tao. Mengikut ajaran Tao, manusia mempunyai persamaan dari sudut universal kalau dibandingkan dengan hhaiwan dan persekitaran yang lainnya. Ini daapt dicapai jika kesucian sudah samapai ke puncak nirwana

9. Perspektif Kristian

Konsep ini pada dasarnya adalah gabungan konsep ketuhanan dan percampuran dengan falsafah Greek. Mengikut pandangan Kristian, semua manusia akan dikumpulkan di taman syurga dan bersatu dengan tuhan.

10. Perspektif Islam

Kemunculan Muhammad s.a.w menjadi perubah kepada sosio budaya masyarakat arab ketika itu. Manusia ketika itu, sedang mengalami zaman Jahillyah di mana islam tidak diletakkan ditempat yang sepatutnya.

Tugas Muhammad s.a.w adalah untuk memperbaiki nilai dan sistem manusia setempat khasnya dan seluruh manusia amnya. Tugas sebagai Nabi dan Rasul telah dijalankan dengan penuh komited dan istiqomah. Lantas perubahan telah berlaku di benua arab. Kesamaan taraf dan kedudukan tidak menjadi soalan yang penting, yang paling utama adalah menjalin hubungan sesama umat.

Diceritakan bahawa Bilal bin Rabah adalah terdiri daripada golongan bukan arab. Beliau berasal dari benua Afrika dan mempunyai kulit yang agak gelap kalau, tetapi keimanan beliau kepada tuhan telah membezakan beliau dengan manusia yang lain. Keimanan dan keyakinan beliau menjadi contoh tauladan sehingga ke hari ini.

Secara dasarnya, semua ajaran seperti Taoisme, Kunfucianisme, Kristianit dan Islam menyebut perkataan hak asasi manusia secara khusus. Namun semua ajaran menunt penganut untuk melakukan kebaikan dan menjalin hubungan yang baik sesame manusia.

Konsep Universalisme Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)

Terdapat percanggahan dan kerja-kerja penolakkan nilai-nilai keagamaan sejagat. Ini membuatkan universalisme yang dipekenalkan oleh PBB menjadi dominan dan diikuti oleh ramai pengikut. Fahaman berbentuk universalieme ini adalah berbentuk moden dan kontemporari.

11. Isu Semasa di PBB

PBB masih jauh tersasar dan terpisah dari aspirasi sebagai sebuah pertubuhan yang sepatutnya bertindak sebagai pembantu dan pelindung. Tragedi Bosnia-Herzegovina telah berlalu dan kesannya boleh dilihat sehingga kini. Palestin yang berjuang untuk mempertahankan tanah air mereka telah di rentap hak penjagaan dan mempertahan negara meraka. Perjuangan Palestin seringkali menemui kegagalan apabila Israel sering dibantu oleh beberapa kuasa besar. Banyak tidak tanduk Israel yang bukan sahaja merosakkan pelan damai, malah meruntuhkan lagi negara Palestin. Api kemarahan umat Islam semakin memuncak diseluruh dunia apabila Masjid Al Aqsa dicemari. Begitu juga keadaannya di Somalia, Rwanda dan Liberia. Meraka masing-masing hidup dalam keadaan yang amat genting. Afghanistan pula menjadi mangsa Perang Dingin oleh dua kuasa besar. Mereka amat memerlukan bantuan dan kepakaran untuk berdiri seperti negara lain.

Keadaan PBB sekarang ini masih tercari-cari arah dan tujuan untuk bertindak. Apa yang berlaku di Iraq contohnya, adalah bukti kegagalan PBB untuk menangani beberapa isu semasa. Melalui Majlis Keselamatan, mereka juga gagal bertindak apabila mereka menjadi penonton apabila pengeboman berlaku di kota Iraq. Penduduk dikepung dan dinafikan hak mereka untuk hidup dan bersuara. Dimanakah pembela yang bermegah-megah dengan slogan hak asasi manusia?

Sebenarnya isu pencabulan hak asasi manusia, persengketaan dan peperangan, pencemaran alam sekitar dan keruntuhan moral institusi kekeluargaan telah menjadi isu membosankan diperdebatkan. Ianya selalu diulang-ulang tayangannya di PBB tanpa sebarang tindakan susulan. Proses mengambil keputusan sebulat suara menjadi amat rumit dan mendukacitakan.

Seperti kata Tun Dr Mahathir:

“Sikap hipokrit Barat yang paling keji adalah yang berhubung dengan kebebasan daripada penindasan dan kekejaman. Kerajaan Barat, media dan NGO mereka tidak pernah mengenal lesu dalam mengutuk negara bukan barat kerana rekod hak asasi mereka”(*)

(*) Ucapan ‘Pemikiran Semula tentang Hak Asasi Manusia di Persidangan Antarabangsa JUST berhubung “Hak Asasi Manusia di Kuala Lumpur ,Malaysia pada 6 Disember 1994.

12. Kesimpulan

Isu kepentingan hak asasi manusia sekarang sering dilaun-laung oleh rata-rata rakyat diseluruh dunia. Hak untuk hidup dan hak untuk kebebasan bersuara menjadi tunjang kepada pohonan rimbun hak asasi manusia. Namun perlu ditegaskan bahawa, hak asasi manusia perlu dipulihara dan diberi nafas baru untuk kelangsungan hidup sejahtera untuk generasi “Y”yang semakin banyak tuntutan mereka

Nota Kuliah: Falsafah Politik - Kesamaan,Kebebasan dan Keadilan

Kesamaan

Semasa Revolusi-revolusi 1848 tercetus. Buku Karl Marx yang berjudul “The Communist Manifesto” telah diterbitkan. Banyak idea dan cadangan Karl Marx disebarkan melalui media cetak iaitu buku-buku antaranya “The German Ideology” dan “Das Kapital”.
Karl Marx percaya bahawa teori yang dicipta adalah suatu hukuman yang tidak boleh disangkal. Karl Marx pernah mempersendakan perjuangan para revolusioner yang ingin mewujudkan masyarakat sosialis pada tahun 1848.
Menurut Karl Marx, golongan kapitalis hanya mementingkan keuntungan dan tidak menghiraukan kebajikan pekerja. Justeru , beliau menyokong penentangan secara habis-habisan oleh golongan pekerja terhadap majikan. Menurut Karl Marx, konflik antara majikan dan pekerja akan berakhir sekiranya kapitalisme digantikan dengan komunisme. Beliau juga menyokong proses pemilikan negarakan tanah dan perindustrian oleh kerajaan. Oleh yang demikian, kejayaan ideologi Marxisme dan Komunisme bergantung kepada penghapusan sistem kapatalis dan sistem memiliknegarakan tanah dan perindustrian oleh masyarakat komunis.
Karl Marx menekankan konsep masyarakat yang tidak berkelas. Beliau juga menyarankan supaya memberikan peluang dan gaji yang sama rata kepada semua lapisan masyarakat. Karl Marx juga menekankan kepada masyarakat dalam perkongsian harta dan kekayaan dalam masyarakat.
Kelas adalah satu konsep yang mengukur kedudukan sosial manusia dari segi kebendaan dan merupakan satu pembentukan sosial yang tidak dapat dipisahkan daripada institusi ekonomi yang menguruskan hal-hal seperti harta, pendapatan, kewangan, pelaburan, agihan kekayaan, tenaga kerja dan pembahagian buruh dalam masyarakat. Perjuangan kelas merupakan sesuatu yang terjadi sepanjang masa yang didasarkan semata-mata karena penindasan si kaya terhadap si miskin.

Kebebasan
Marxisme adalah fahaman yang tidak percayakan tuhan. Ia menolak undang-undang yang mempunyai unsur-unsur ketuhanan dan keagamaan. Beliau juga mengasingkan kebebasan beragama daripada kehidupan rakyat.
Karl Marx secara dasarnya menolak unsur-unsur individualism dalam pemerintahan, khususnya yang berkait rapat dengan hak-hak asasi individu. Beliau menolak sebarang usaha untuk menuntut kebebasan berautonomi. Beliau juga menyokong proses memilinegarakan tanah dan perindustrian oleh kerajaan. Ini secara tidak langsung menafikan hak-hak individu untuk memiliki harta secara persendirian secara bebas.
Dari segi ekonomi, Karl Marx berpendapat syarat-syarat persamaan ekonomi sahaja sudah cukup untuk membolehkan kebebasan dicapai. Persamaan ekonomi hanya boleh dicapai melalui revolusi yang tersusun.

Keadilan

Teori Karl Max tentang keadilan adalah berdasarkan tentang keperluan memikirkan masalah-masalah pekerjaan bagi kaum buruh. Beliau berpendapat perkara yang berkaitan dengan ekonomi adalah berkait rapat dengan perihal keadilan. Karl Marx berpendapat bahawa keduanya berasal dari sumber yang sama. Sumber itu adalah masalah yang perlu mereka atasi.. Ekonomi timbul kerana batasan sumber yang ada. Barang atau keperluan yang tersedia ada perlu dibahagikan dengan cara yang paling baik. Sama rata tanpa mengira kelas atau darjat.

Hak Rakyat

Karl Marx berpendapat bahawa golongan tertentu melakukan kerja dan mengeluarkan barangan akan menjadi kaya dan bertambah kaya. Akibatnya, golongan ini akan mempunyai harta peresndirian yang banyak dan bertambah kaya. Jika ini berlaku akan mewujudkan jurang antara dua golongan iaitu golongan kaya dan golongan miskin. Beliau juga menambah, perhambaan akan berlaku ketika ini. Dan seterusnya, golongan yang mempunyai tanah akan mengakibatkan fasa feudal.
Jika ini berlaku, rakyat kehilangan kuasa untuk bersuara . Rakyat hanya bergantung hidup kepada kerajaan dan pembesar-pembesar bangsawan. Maka wujudlah dua golongan iaitu golongan kapitalis dan golongan bawahan yang tidak dapat berbuat apa-apa.

Nota Kuliah: Perbandingan Politik - Pemerintahan Beraja

1.0 Pengenalan


Untuk memperkatakan sistem kerajaan sesebuah negara, corak pemerintahan yang diamalkan menjadi perkara pokok untuk dibincangkan. Perbezaan ideologi antara Kapatalis, Sosialis Komunis dan Demokrasi mendapat tempat untuk menentukan corak pemerintahan sesebuah negara. Dalam banyak negara, sesuatu ideologi itu banyak bergantung kepada sistem pemerintahan sesebuah kerajaan.

Pemikir Politik seperti Plato dan Aristotle telah membahagikan pemerintahan berdasarkan cirri sama ada peraturan yang diperkenalkan oleh pemerintah dipatuhi oleh rakyat atau tidak. Bagi Plato, pemerintahan yang ideal ialah pemerintahan yang diuruskan oleh raja. Aristotle pula berpendapat bahwa pemerintahan terbahagi kepada tiga iaitu, monarki(raja), aristokrasi (bangsawan) dan Kerajaan campuran.

Menurut D.G.A Van Poeljie(1953:1) Pemerintahan adalah bagaimana sesebuah negara itu disusun dan dipimpin dengan sebaik-baiknya. Bermaksud, pemerintahan perlulah bertindak dengan apa cara sekalipun untuk memajukan negara atau kawasan di bawah naungannya.

Dalam hubungan pemerintahan beraja ini, Raja atau Maharaja disebut sebagai ketua negara. Beliau akam meminpin sebahagian besar tugas-tugas kerajaan. Hal ini dapat di dilihat di beberapa buah negara yang mengamalkan pemerintahan beraja ini, contohnya Britain, Jepun dan China. Namun perlu diperjelaskan di sini bahawa, tugas dan tanggungjawab sesebuah Raja atau Queens(Britain) mungkin berbeza mengikut acuan negara masing-masing

2.0 Definasi Kerajaan

Harold Laski menjelaskan bahawa kerajaan merupakan satu institusi yang terdapat dalam sesebuah negara yang mengamalkan pemerintahan secara. Beliau juga berpendapat bahawa negara juga mempunyai kuasa untuk menggunakan paksaan supaya arahan-arahannya di patuhi
Bagi R.M. Maclver pula mendefinasikan kerajaan sebagai suatu pertubuhan pusat yang mengekalkan satu sistem peraturan ke atas masyarakat (2003:326) Bagi A Appadorai pula mendefinasikan kerajaan sebagai sebagai satu agensi atau jentera yang merumus, mengenal dan melaksanakan kehendak-kehendak negara Menurut beliau semua badan yang terlibat dalam urusan tersebut seperti Dewan Perundangan , eksekutif dan badan kehakiman adalah ditakrifkan sebagai kerajaan (2003:326)
Peranan utama kerajaan ialah cuba memperbaiki dan meninggikan lagi taraf hidup rakyat. Perbezaan jurang ekonomi dikalangan masyarakat menjadi intipati sesebuah kerajaan. Kerajaan juga perlu bertindak sebagai perubah kepada berbagai bidang seperti perindustrian, ekonomi, sosial dan politik.

Kerajaan dengan kuasa ada juga perlu melaksanakan undang-undang yang telah sedia ada. Pengawalan dan menjaga aktiviti rakyat dapat dipantau dengan perlaksanaan dan pengukusaan undang-undang tersebut.

3.0 Sistem Pemerintahan Beraja (Monarki)
Kerajaan berbentuk monarki merupakan kerajaan yang diketuai oleh seorang Raja. Sistem pemerintahan beraja ini telah bertapak dan telah lama diperkenalkan. Namun, akibat perubahan senerio politik yang melanda dunia, bilangan negara yang mengamalkan sistem juga turut berkurangan.

Di zaman dahulu dimana ianya mula diperkenalkan, Raja mempunyai kuasa penuh di atas segala hal ehwal negara. Pembentukan kerja pegawai istana, perlantikan pegawai tentera dan hulubalang negara, pemegang amanah negara sehinggakan Raja disebut sebagai anak tuhan. Raja juga selalu bertindak sebagai pemudah cara dalam apa jua acara atau permasalahan rakyat. Dengan kuasa yang ada pada Raja ketika itu, penyelesaian negara dapat dicapai dengan cepat dan berkesan.

Namun demikian, kini telah berubah. Raja dilihat sebagai pemegang peranan utama di dalam upacara majlis rasmi tertentu sahaja. Keadaan ini telah mengakibatkan sekatan yang bukan sedikit kepada Raja. Perubahan ini dilihat sebagi penambahbaikkan kepada sistem yang sedia ada. Sebagai contoh, Britain, Belanda Norway , Sepanyol dan lain-lain. Arus perubahan berlaku dalam sistem pemerintahan beraja di negara tersebut. Malaysia, Jepun dan Thai juga mengalami perubahan yang sama. Had dan Kuasa yang ada telah di ubah suai mengikut peredaran zaman.

Secara asasnya, raja di yang dilantik adalah mengikut pewarisan keturunan . Raja yang berdaulat diberi tingkat dan penghormatan yang tinggi. Raja seringkali dilihat sebagai lambang perpaduan, keadilan dan kedaulatan. Raja berdaulat rakyat hormat. Di Malaysia slogan “Daulat Tuanku” sering digunakan di dalam majlis-majlis rasmi yang melibatkan kehadiran Yang Di Pertuan Agong atau Sultan. Pada dasarnya, pentadbiran negara akan dibantu oleh Perdana Menteri. Dalam konteks ini, Perdana Menteri adalah ketua kerajaan dalam pentadbiran negara.

3.1 Ciri-ciri Pemerintahan Beraja

3.1.1 Kedaulatan
Kedaulatan sistem raja ini membuatkan mereka tergolong didalam tahap yang tertinggi. Kedaulatan dan kuasa yang ada pada mereka telah tertulis di dalam perlembagaan negara yan mereka. Bagi Britain, sungguhpun tiada perlembagaan bertulis tetapi kedaultan dan institusi raja mereka tetap terpelihara. Raja secara amnya,boleh dikatakan bertindak sebagai pengurus dalam hal ehwal negara. Penggubalan dan perlaksaan beberapa agenda negara sentiasa mendapat perhatian mereka.
Kedaultan yang tersedia ada juga membutkan Raja berkuasa penuh dalam hal ehwal kewangan dan ekonomi juga. Segala sumber yang mendatangkan keuntungan dikuasai oleh baginda seperti pungutan cukai, hasil, pertanian, perniagaan dan semua perkhidmatan. Raja dianggap sebagai tuan punya tanah di mana segala penggunaan terhadap tanah hendaklah dalam pengetahuan raja.

Dengan adanya kedaulatan yang diperolehi Rajajuga mempunyai kuasa dalam hal ehwal undang-undang negara. Raja boleh mengampun kesalahan walaupun yang melakukan kesalahan itu dirinya sendiri. Hal ini bermakna raja kekal daripada sebarang hukuman. Rakyat tidak boleh mempersoalkan tindakan atau peraturan yang digubal oleh raja. Rakyat mesti menurut apa sahaja perintah raja.

3.1.2 Faktor Keagamaan
Dalam bidang keagamaan, raja sering bertindak sebagai ketua agama. Sebagai ketua agama, raja akan dibantu oleh beberapa orang pegawai agama. Sebagai contoh di Britain, Queens Elezebeth II adalah ketua agama Katholik bagi negara. Begitu juga dengan Brunei, Sultan Hassanol Bolkiah bertindak sebagai ketua agama islam di Brunei.

3.1.3 Secara Warisan
Institusi raja adalah berterusan secara warisan. Sistem ini telah diamalkan beratus ratus tahun dahulu. Kalau dahulu, Raja yang memerintah adalah raja yang berjaya menakluk sesebuah negeri atau wilayah. Tetapi dengan adanya sistem ini, pewarisan takhta dan tampuk pemerintahan akan diwarisi oleh keterunan mereka. Mengikut sejarah, ada jugara a yang berjaya menjadi raja setelah berjaya menggulingkan raja yang sedia ada. Mereka menggunakan kekuatan ketenteraan dan pengaruh yang dimiliki untuk menggulingkannya.

Namun demikian, semua ciri yang disebutkan diatas tadi banyak bergantung kepada pemerintahan sesebuah negara. Sebagai contoh, Malaysia mengamalkan Sistem Beraja Berpelembagaan. Malaysia mengamalkan sistem penggiliran dalam perlantikkan Duli Yang Maha Yang Di-Pertuan Agong. Tempoh yang dinyatakan di dalam perlembagaan adalah bagi tempoh 5 tahun sahaja.

4.0 Sistem Pemerintahan Britain
4.1 Perlembagaan Britain

Kebanyakkan negara di dunia ini menpunyai perlembagaan negara yang bertulis. Ini bagi memudahkan sesuatu rujukan atau pindaan terhadap sesuatu isu berbangkit. Namun demikian, Britain tidak mempunyai perlembagaan bertulis. Prinsip perlembagaan Britain berasaskan pelbagai sumber.

Menurut Ahmad Atory, adalah dipercayai perlembagaan Britain berasal dari Rom. Mengikut sejarah lama. Britain pernah dijajah oleh Rom, tetapi peristiwa tersebut tidak begitu jelas kerana sejarah ini terlalu lama.(1996:1)

4.2 Konsep Pengasingan Kuasa

Konsep pengasingan kuasa adalah konsep asas bagi menegakkan negara demmokrasi. Konsep ini juga merupakan satu doktrin yang mengesyorkan kerajaan supaya menjamin hak kebesaan rakyat. Ini bagi mengelakkan kejadian penindasan oleh mana-mana pihak.

Konsep ini telah dipelopori oleh Montesquieu, seorang ahli falsafah Perancis. Beliau mengemukakan teorinya yang berpandukan dasar perlembagaan England pada tahun ke-18. Secara permulaan, Montesquiueu telah cuba untuk membandingkan negara Perancis dan England ketika itu. Dalam kajian yang dilakukan oleh beliau, terhadap hakim-hakim yang yang di kawal oleh House of Lords. Tingkah laku raja dikawal dengan sebaik mungkin. Undang-undang inilah yang menyekat kebebasan raja Britain.

Menurut konsep ini, kuasa pemerintah berdasarkan tiga fungsi kerajaan iaitu pengekuatkuasaan undang-undang, fungsi perundangan dan fungsi kehakiman.

Fungsi ketiga-tiga ini adalah seperti berikut:

Fungsi Perundangan: bertindak sebagai penggubal undang-undang dan meminda undang-undang yang sedia ada agar tidak ketinggalan zaman. Ianya juga , sering bertindak mengemukakan undang-undang kepada hakim

Fungsi Pentadbiran pula menjalankan dan menguatkuasakan undang-undang dan keputusan badan kehakiman.

Fungsi Kehakiman: Bertanggungjawab menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan dan member keputusan yang muktamad.

Seperti yang dinyatakan, Britain juga mengamalkan sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia. Ratu Elezebeth memegang tampuk pemerintahan dan bertindak sebagai ketua negara. Namun demikian sedikit perbezaan jika dibandingkan dengan Malaysia kerana, Britain hanya mempunyai kerajaan pusat dan kerajaan tempatan

4.3 Dewan Perundangan

Bagi Britain, dewan ini mengandungi 900 oran ahli. Mereka terdiri dari golongan bangsawan. Jumlah ahli adalah tidak tetap dan ianya pula sentiasa berubah-ubah. Namun demikian jumlah ini sentiasa berubah-ubah. Ini mungkin adalah disebabkan oleh kematian dan kewujudan golongan bangsawan yang baru.

Di dalam dewan Perundangan terdapat dua jabatan yang penting iaitu Jabatan Kehakiman dan Jabatan Perundangan. Kedua-dua jabatan akan membincangkan semua yang berkaitan dengan undang-undang secara terperinci. Dalam bbbidaaang kehakiman, badan ini merupakan Mahkamah Rayuan Tertinggi yang mengadili kes negara Britain dan Ireland Utara.

4.4 Dewan Rakyat

Kesemua ahli dewan ini dipilih melalui pilahan raya. Ahlinya berjumlah 635 orang, iaitu 516 orang dari England dan 36 orang dari Wales , 71 orang dari Scotland , dan 12 orang dari Ireland Utara.

Kuasa dewan Rakyat boleh dibahagikan kepada lima iaitu perundangan , pengawalan terhadap eksekutif, kuasa kewangan , bertanggungjawab mengemukakan bantahan rakyat dan fungsi pemilihan dan pengujian.

4.5 Badan Kehakiman

Sebelum tahun 1873 . tidak ada badan perundangan yang jelas di England. Badan yang wujud ialah Three Great Commons Law yang disebut Court of King’s Bench, Court of Commonwealth. Mahkamah tidak boleh mengetepikan tindakan perundangan.



4.6 Perdana Menteri

Mula diperkenal di England pada tahun 1905 apabila pemegang jawatan tersebut dimasukkan dalam senarai tugas penting , dan hanya dimasukkan dalam undang-undang statut sehingga tahun 1917 (Ahmad Atory 1996:9)

Jawatan Perdana Menteri ini dilantik berdasarkan kuasa intimewa raja. Ketua parti yang telah memenangi pilahan raya kan dipanggil untuk diberikan tugas itu. Calon-calon mestilah mempunyai sokongan dari para ahli parti. Setelah dipekenankan oleh Raja.maka proses lantikan akan bermula. Perdana Menteri biasanya akan menjalankan tugasnya selama lima tahununtuk satu penggal ( Richard 1978:93) Kemudian Perdana Menteri dengan kuasa yang ada padanya akan melantik jawatankuasa cabinet. Beliau juga mempunyai kuasa untuk memecat menteri jika dianggap perlu untuk berbuat demikian. Justeru itu, kualiti barisan kabinet adalah menjadi tanggungjawab beliau. Perdana Menteri juga akan berurusan terus kepada Institusi Raja.

Bagi menteri pula, mereka mempunyai dua tanggungjawab yang utama iaitu tanggungjawab bersama tanggungjawab individu. Tanggungjawab bersama wujud bila ada sesuatu dasar yang perlu dilakukan bersama ahli kabinet lain. Jika berlaku kesilapan dasar, semua barisan barisan kabinet akan dipertanggungjawabkan. Manakala tanggungjawab individu pula, mereka adalah berkuasa penuh ke atas kabinet atau kementerian yang mereka wakili. Menteri tersebut perlulah menjalankan kementeriannya dengan sebaik mungkin kerana ini akan menjadi titik tolak kepada penandarasan kualiti kementerian.

4.7 Kabinet

Barisan kabinet adalah sebahagian daripada badan eksekutif yang dilantik dari kalangan ahli Dewan Rakyat. Pada masa dahulu, kabenet Britain dipilih daripada ahli majlis Privy. Pada masa itu, Majlis Privy merupakan badan yang mempunyai tugas yang hampir sama dengan kabinet pada zaman moden. ( Ahmad Atory 1996:11)

Kabinet juga mempunyai tugas terhadap perjalanan sistem parti dan kuasa kabinet juga mempunyai tugas dan kuasa kabinet dalam membuat tugas. Ahli-ahli kabinet biasanya berada dalam kumpulan parti mereka semasa mengundi.

5.0 Jepun

Politik kepimpinan pemerintahan Jepun tidak perlu diperkenalkan lagi. Bangsa Jepun sangat terkenal akan kesanggupan bernati mati “kamikaze” di kalangan tentera-tentera mereka. Begitu cintanya bangsa Jepun kepada negara mereka sendiri, maka itulah sebabnya mereka barangan dari keluaran mereka.

Setelah Perang Dunia Kedua, Jepun mengalami krisis ekonomi serta banyak bencana alam berlaku. Bagi dunia politik mereka juga, sebahagian besar tetntera mereka berciti-cita tinggi

Penekanan yang diberikan Jepun ke atas kerjasama antarabangsa selepas Perang Dunia Kedua yelah menyembunyikan sikap cauvinisnya yang masih kuat terhadap hal ehwal asing. Di Jepun sendiri, yang ditegaskan oleh Chie Nakane, konflik sosial perlu dibataskan didalam “rangka masyarakat”.(Richard Rosecrane 2008:128)

5.1 Sistem Pemerintahan Jepun

Jepun mengamalkan sistem negara corak pemerinatahan berasakan sistem raja sama seperti Britain. Jepun juga mempunyai Maharaja yang sentiasa dihormati dan disayangi rakyat Jepun.

Kabinet Jepun dianggotai Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. Perdana Menteri merupakan salah seorang anggota Kokkai yang dilantik oleh rakan-rakan sejawatnya. Perdana Menteri berkuasa melantik menteri-menteri yang lain.

Mengikut perkembangan semasa, Parti Liberal demokratik( LDP) telah memerintah sejak 1955 (kecuali 1993) dan ditubuhkan sebagai gabungan dua parti konservatif. Didalam perkembangan ini terdapat dua parti lain iaitu Parti Liberal dan Parti Demokratik. Kini mereka memerintah secara bersama. Kedua-dua parti ini juga menganuti atau berfahaman Budhha.

Perdana Menteri adalah ketua pentadbiran dan juga peminpin kepada parti yang mendapat undi terbanyak. Jepun mempunyai Majlis Rendah(Parlimen). Secara kolektifnya bertanggungjawab kepada Kokkai (Diet). Dalam undang-undang dan perlembagaan Jepun, Perdana Menteri dan Barisan Kabinet perlu meletakkan jawatan masing-masing jika mereka tidak memperolehi kepercayaan dari Majlis Rendah.

Majlis Rendah(Shugin) dan Majlis Tertinggi (Sangiin) adalah dua badan yang terdapat di dalam Kokkai. Majlis Tertinggi pula terdiri daripada rakyat yang mewakili seluruh tanahair Jepun.

Para ahli Majlis Rendah dan Majlis tertinggi Jepun akan dipilih setiap empat tahun sekali., kecuali apabila pembubaran dilakukan lebih awal.

5.2 Undang-undang Negara.Jepun

Kuasa dan hal ehwal undang-undang diserahkan kepada Mahkamah Agung yang dibawahnya mempunyai badan-badan kehakiman yang berdasarkan undang-undang yang berbeza. Apa menarik mengenai Sistem Kehakiman di Jepun, didapati bahawa Sisitem Pemerintahan Jepun tidak pernah sesekali mengganggu dalam urus tadbir pentadbiran sistem kehakiman.

6.0 Malaysia

Malaysia merupakan sebuah negara persekutuan yang berlandaskan perlembagaan bertulis sebagai undang-undang tertinggi. Ia mengamalkan sistem kerajaan persekutuan dan mengandungi 13 buah kerajaan negeri serta Wilayah Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan yang wujud pada hari ini adalah berasaskan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan dipinda pada tahun 1963 untuk membolehkan penyertaan Singapura, Sabah dan Sarawak. Perlembagaan ini mengandungi 181 Perkara yang dibahagikan kepada 14 bahagian. Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan seperti kebebasan asasi rakyat, kewarganegaraan, badan perundangan, dan kewangan.

6.1 Sistem Pemerintahan

Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan berparlimen dan mengandungi dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan dewan Negara. Bagi Dewan Negara ianya mengandungi seramai 70 orang yang terpilih selama 3 tahun. Pemilihan ahlinya boleh dibahagikan kepada dua iaitu 26 ahli dipilih oleh Dewan Undangan Negeri sebagai mewakili 13 negeri manakala 44 ahli lagi dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Perlantikan ini adalah atas nasihat dan pandangan Perdana Menteri, termasuk dua ahli dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan satu ahli masing-masing dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.

Dewan Rakyat pula mempunyai seramai 222 ahli. Kesemua mereka mewakili kawasan pilihanraya yang dijalankan setiap 5 tahun sekali. Ahli-ahli Dewan Rakyat yang adalah mereka yang telah terpilih. Dengan kata lain, mereka adalah wakil rakyat untuk perdebatan dan perbincangan di Parlimen.

6.2 Perlembagaan

Pada asasnya, perlembagaan ditakrifkan sebagai prinsip asas yang mengasaskan sesebuah negara dan memperkenalkan sistem pemerintahan seperti yang termaktub sama ada dalam undang-undang atau adat perundanga (Ramanathan 2003:240). Perlembagaan adalah sejenis undang-undang yang mengandungi peraturan-peraturan yang boleh dikuatkuasakan. Beberapa konsep penting yang berkaitan dengan perlembagaan adalah:

• Perlembagaan merupakan undang-undang yang mengandungi peraturan serta prinsip sebagai asas kepada pembentukan kerajaan dan juga panduan kepada kerajaan untuk melaksanakan kuasa dan mentadbir negara

• Perlembagaan sesebuah negara boleh wujud dalam bentuk bertulis dan juga tidak bertulis. Perlembagaan Malaysia adalah contoh perlembagaan bertulis. Contoh perlembagaan tidak bertulis ialah perlembagaan United Kingdom.

• Perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin kesinambungan pentadbiran dan kestabilan politik. Ia menjamin pentadbiran yang cekap, jujur, ikhlas, telus dan adil serta menjamin taat setia rakyat yang tidak berbelah bagi kepada negara.




Kerja Pertama

Ini adalah gambar sewaktu aku bertugas di KFC Bentong. Banyak pengalaman berharga sewaktu aku bertugas di sini. Ada yang manis dan ada pula yang pahit.KFC Bentong tidak sesibuk seperti KFC di bandar-bandar besar yang lain. Namun sebagai langkah pertama, iaitu store yang pertama, ianya cukup untuk dijadikan permulaan. Ketika itu aku mempunyai seramai 13 orang kakitangan. 7 orang daripadanya terdiri dari warga Bangladesh. Fuughhh memang memenatkan jika terpaksa bekerja "split shift" . Masuk kerja pukul 9 pagi dan habis kerja pukul 12 tgh malam. Tapi kekadang tu seronok juga. Alhamdulilah kerana semua staff kat sini mahu bekerjasama.
Di sini aku pernah bekerja sebagai cashier, sebagai cook (tukang goreng ayam), buat burger dan mop lantai. Banyak kenangan sewaktu bekerja di sini.
Tapi itu adalah peristiwa yang telah berlaku 17 tahun yang lalu. Setiap kali aku berkunjung ke kedai KFC, peristiwa silam berputar kembali.....namun inya tetap menjadi kenangan yang abadi.

Peristiwa 17/6/1987...

Setiap kali munculnya  tarikh 17/6 pada setiap tahun, hati aku menjadi berdebar-debar. Bagai ada peristiwa buruk yang akan singgah dilaman hidupku. Aku cuba melupakan tarikh tersebut. Tapi aku gagal. Kedinginan malam yang pekat ini, seolah-olah bagai tahu akan perasaan dan gelora jiwa aku ini. Berkocak dan bergetar. Kalau mungkin manusia lain dapat mendengarnya, pasti mereka akan turut serta dalam situasi begini.

17/6/1987
Jam menunjukkan pukul 430 pagi. Aku, Abang Mizi dan Kak Rehan telah terjaga dari awal. Yong kakakku yang sulong, macam biasa selalu bergerak pantas dan agresif. Kami telah bersiap sedia untuk pergi ke Hospital Besar Ipoh. Emak sudah 3 malam berada disana. Dia ditemani dengan Emak Saudaraku, Makcik Ramlah. Kami panggil dia Wan Dak. Wan Daklah yang telah menjaga emak dari emak masuk wad hinggalah ke hari ini. Wan Dak ialah kakak emak yang tinggal di Tapah. Wan Dak jugalah yang menawarkan diri untuk menjaga emak siang dan malam tanpa jemu.

Sebelum emak terlantar di hospital, emak adalah seorang yang cergas dan suka membantu ketika kenduri kendara di kampung. Emak akan keluar seawal pagi dengan membawa sebilah pisau dan sebungkus gula dan susu. Gula dan susu itu akan digunakan oleh tuan rumah kenduri untuk kegunaan seharian. Pada tengahari emak tak balik ke rumah. Sehinggalah lewat petang barulah emak balik ke rumah setelah semua kerja-kerja dirumah kenduri selesai. Baik kenduri kahwin, majlis pertunangan mahupun majlis kesyukuran emak akan datang membantu. Emak juga tidak pandai memilih orang. Dia akan pergi dengan rela hati untuk membantu sedaya yang mungkin. Tapi, semenjak emak sakit, emak hanya duduk dirumah. Pada mulanya emak hanya demam biasa. Makan ubat, lepas tu sembuhlah. Tanpa di ketahui ketumbuhan di bahagian dada emak semakin membesar. Bisul katanya lagi. Aku sering diam sahaja bila emak berkata demikian. Masa tu, kami sekeluarga bimbang dan susah hati. Emak tidak mampu bangun dan 'bisul' semakin merebak. Ayahku menghantar emak ke Hospital Tapah.

Jam menunjukkan pukul 6:45 pagi. Mentari muncul lagi menghadiahkan sinar yang kekuningan. Yong mengarahkan kami semua agar bersiap sedia. Semua sarapan telah disiapkan oleh Yong. Macam biasa Yong memang cekap dan tangkas sewaktu di dapur. Cakaplah apa sahaja, dia akan buat untuk kami. Abang Mizi yang biasanya lambat bangun tidur, kini dia berubah.Mandi dan terus berpakaian lengkap. Kami menunggu arahan seterusnya dari Yong.

Jam menghampiri pukul 7:00 pagi. Sejuk diluar masih terasa. Tiba-tiba terdengar bunyi motorsikal. Pak Uda rupanya. Pak Uda adalah abang kepada emak. Dia juga tinggal di Tapah. Pak Uda adalah seorang pesara polis. Pak Uda sering menceritakan kepada aku mengenai komunis dan kisah sewaktu dia bertugas sebagai mata-mata.Pernah dia menceritakan kepada aku, dia pernah bersama ayahku bertugas sebagai SC sewaktu perang Jepun. Dia juga menceritakan kepada aku, bahawa ayahku berminat untuk menjadi polis, tapi telah di halang oleh Opah. Bahaya katanya.

"Assalamuaikum", Jawab Pak Uda sambil menanggalkan topi kaledarnya.

"Waalaimusalam", Jawab Ayah dengan lembut. Ayah memerhatikan gerak geri Pak Uda yang serba tak kena.
"Pak Uda harap awak kena banayak bersabar. Ingat dari Dia kita datang, pada dia jugalah kita akan pergi. Pagi tadi tepat jam 430 pagi, di hadapan Wan Dak, dia telah meninggal dunia. Wan Dak seorang sahaja yang berada di situ ketika itu." Jawabnya sayu. Air mata Pak Uda tumpah di halaman rumahku. Kami terdiam seketika. Tanpa aku sedari, air mata ku juga mengalir deras tanpa dapat ditahan lagi. Yong memeluk kami adik beradik. Pak Uda memegang bahu Ayah.
"Sabar, tuhan lebih sayangkan dia dari kita. Jangan bersedih." Kata Pak Uda sambil mengeluakan sapu tangan dan mengelap mukanya.
Suasana dirumah ketika itu, sungguh memilukan.  Deraian airmata dan tangisan yang berpanjangan memecah suassana pagi itu. Aku dengan pakaian lengkap pergi ke Surau di hujung kampung untuk memukul "gendang"(Kerantong).Memukul "Gendang' adalah bertujuan untuk memberi isyarat kepada orang kampung, bahawa ada kematian ketika itu. Kayuhan basikal aku begitu laju tidak seperti selalu.

Sebelum sampai ke Surau, aku singgah sebentar ke rumah Mak Cik Kiah, untuk memberitahu akan berita yang sedih itu. Mak Cik pun turut serta menangisi dan berpesan kepada aku " Zam jangan bersedih, jangan lupakan emak kamu walau pun dia telah meninggal dunia". Aku hanya menganggukkan kepala sahaja. Tiada daya aku untuk berkata apa-apa.

Setelah pulang dari Surau, suasana di rumah telah berubah. Ramai orang kampung yang datang untuk menziarahi arwah emak. Kami sekeluarga tidak dapat menyimpan perasaan sedih masing-masing. Hanya tangisan dan deraian air mata menghiasi hari tersebut.

Kini, 17/6/2012 genaplah 25 tahun pemergian emak. Sudah 25 tahun jugalah kami tidak dapat merasai kasih-sayang seorang emak. Kami juga tidak dapat lagi merasai masakkan emak. Semuanya masih tersemat dalam sanubari. Emak semasa hidupnya seorang yang tegas. Kami adik beradik memang takut akan emak berbanding Ayah. Pernah aku dikurung di dalam bilik kerana gagal untuk mendapat tempat yang baik dalam peperiksaan. Dia tidak membenarkan aku keluar rumah. Kini aku tahu, kenapa emak begitu tegas dalam menjaga kami. Dia begitu sayang kepada kami. Seringkali dia berkata , "dengan ilmu sahaja yang dapat mengubah kehidupan kami adik beradik". Betul cakap emak.

Kalau emak masih ada, mungkin dia akan seronok melihat kami adik beradik. Bagi aku, kini aku sudah mempunyai 3 orang anak. Memang sukar dan mencabar dalam memenuhi kehendak anak-anak. Pernah juga aku terfikir, macam mana emak dan ayah memeliahara dan mengasuh kami walaupun dengan keadaan yang serba kekurangan. Aku sering juga menceritakan kepada anak-anakku perihal emak. Emak tegas tapi baik. Sungguhpun mereka tidak sempat melihat wajah Emak, tapi aku tetap menceritakan kepada mereka. Bagaimana kami adik beradik menjual kuih di kedai. Pukul 530 pagi Aku, Kak Rehan dan Yong akan menghantar kuih ke kedai. Begitu juga dengan Yong, pernah menjual kuih sewaktu di sekolah. Abang Mizi pernah menoreh getah sebelum pergi ke sekolah. Semua peristiwa masih tersemat didalam kotak kenangan. Kami sama-sama mencari rezeki untuk membantu Ayah.

Putaran roda masa bergerak dengan pantas. Pada tahun 2006 ,Yong telah meninggalkan kami adik beradik. Arwah Yong meninggalkan kami adik beradik. Keluarga aku semakin "mengecil". Kalau dulu sewaktu balik ke kampung, di rumah Yong tempat persinggahan pertama aku. Tapi kini tidak lagi.
Al-Fatihah untuk Arwah Emak, Arwah Yong, Pak Uda dan Wan Andak......moga ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh.










Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...