1.0 Definasi
Institusi Keluarga.
Mengikut Kamus Dewan Edisi
Keempat, keluarga adalah hubungan seseorang ahli dengan keluarga tersebut yang
terhasil daripada perkahwinan. Ianya juga berdasarkan atau mengikut sistem atau
pola perkahwinan masyarakat yang menetapkan bahawa ahli keluarga untuk tinggal
bersama ahli keluarga yang lain. Pada kebiasaanya, institusi keluarga ini
mempunyai ahli keluarga yang dikenali sebagai ayah, ibu dan anak. Sistem institusi
keluarga ini mempunyai peranan dan fungsi yang tersendiri. Sebagai contoh, bapa
akan mencari nafkah atau rezeki untuk keluarga. Manakala ibu akan menjaga
anak-anak di rumah. Sistem yang berbentuk konvensional ini, masih lagi di
amalkan di negara kita. Anak pula sering dianggap sebagai penyambung zuriat
kepada hasil perkahwinan. Di dalam agama Islam, peranan seorang bapa lebih
berbentuk kepada sifat seorang pemimpin. Tetapi di dalam artikel ini, saya
tidak akan menyentuh institusi keluarga dari sudut pandang keagamaan. Artikel
ini akan lebih tertumpu kepada elemen sosiologi.
Bila kita menyebut
perkataan keluarga, ianya adalah terhasil dari proses perkahwinan. Sudah menjadi norma masyarakat bahawa
perkahwinan atau keluarga akan menghasilkan anak dan zuriat. Namun demikian,
terdapat juga perkahwinan yang tidak menghasilkan zuriat. Tetapi institusi
keluarga masih tetap wujud.
2.0 Peranan
dan Tanggungjawab
Bagi memastikan
kejayaan dan kelancaran sesebuah institusi kekeluargaan, kedua-dua pihak, iaitu
ibu dan bapa perlu memainkan peranan yang sama pentingnya. Bapa perlu bertindak
dan berperanan sebagai pemimpin, peneraju dan penggerak segala urusan keluarga.
Sebagai seorang suami dan bapa juga, tanggungjawab asasnya ialah menyediakan
keperluan asas buat keluarganya seperti makanan tempat tinggal dan pakaian.
Bukan itu sahaja, sebagai seorang bapa yang bertanggungjawab, beliau juga harus
memberikan pendidikan akademik yang penting untuk perkembangan minda dan juga
pendidikan agama untuk kesejahteraan rohani dan fizikal supaya tidak tersimpang
daripada ajaran Islam yang sebenar. Pendidikan yang formal mahupun tidak formal
juga kadang kala berjaya bertindak sebagai sistem kawalan sosial yang berkesan.
Bagi seorang ibu dan
isteri pula, tanggungjawab utamanya ialah memastikan keharmonian dan kelancaran
dalam sistem rumah tangga. Secara ringkasnya, suami isteri atau ibu bapa, mereka perlu memastikan institusi
kekeluargaan yang dibina disulami dengan perasaan kasih sayang dan hormat
menghormati. Elemen ini juga menjadi begitu penting di tengah-tengah kerancakan
dunia dengan arus sains dan teknologi .
Dalam menyentuh mengenai
hubungan kekeluarga ini, kita memang tidak dapat lari dari memperkatakan
pengaruh luar yang mampu untuk merubah pola institusi keluarga ini.
Keluarga dan rakan-rakan
kumpulan dua ejen
penting dalam sosialisasi. Remaja yang cenderung untuk menghabiskan lebih banyak masa dengan
rakan-rakan daripada ahli
keluarga. Dengan perubahan ini, mereka lebih mudah terdedah kepada pengaruh rakan sebaya
daripada cadangan dan pengaruh ibu bapa mereka (Berndt,1979) Memang tidak
dapat dinafikan anak-anak terutamanya remaja, meluangkan masa yang banyak
bersama rakan sebaya mereka berbanding dengan ahli keluarga yang lain. Ini
adalah sifat semulajadi para remaja. Mereka juga membuat interaksi sosial yang
lebih akrab dengan rakan sebaya. Berkomunikasi menerusi laman sosial sudah
menjadi begitu sinonim dengan remaja. Berbanding dengan remaja zaman tahun
70-an dan 80-an. Kalau dahulu, remaja banyak menghabiskan masa terluang di rumah
bersama ahli keluarga. Mereka akan bermain dan berkomunikasi sesama ahli
keluarga yang lain. Tapi kini jauh berbeza. Kini mereka terdedah dengan
“serangan” yang terhasil dari kemajuan sains dan teknologi. Penggunaan ruang “facebook” contohnya, dikatakan bahawa
remaja lebih tertumpu kepada aktiviti seharian yang kadang-kadang menjurus
mereka kepada perbuatan yang di luar norma-norma masyarakat. Mereka sanggup
menghabiskan masa berjam-jam untuk berkomunikasi menerusi laman sosial
ini.
Pengaruh rakan-rakan sebaya telah dibuktikan antara salah satu pengaruh
yang berkesan untuk menjadikan seseorang remaja itu untuk melakukan sati
tindakan sosial yang tidak mengikut norma masyarakat. (Elliot, Huisinga &
Ageton 1985) Para sarjana dalam bidang psikologi dan
isu kekeluargaan telah membuat kajian mengenai isu fungsi keluarga. Namun
demikian, antara penyumbang utama dalam kegagalan institusi keluarga ialah
pengaruh rakan sebaya anak-anak terutamanya anak remaja. Ini begitu
membimbangkan. Remaja dikatakan begitu terdedah dengan sikap dan tingkah laku
rakan sebaya. Perasaan ingin mencuba sesuatu yang baharu begitu tinggi di
kalangan mereka. Jika remaja tidak mempunyai asas jati diri yang kukuh, mereka
mudah terjebak ke pentas gejala kurang sihat. Ini merupakan tugas ahli keluarga
dalam memastikan proses ini berjalan lancar. Sifat ambil tahu dan nasihat
menasihati secara berhemah perlu dilaksanakan.
Teori sistem keluarga, ahli keluarga sebagai subsistem interaktif memberi
kesan kepada sikap, emosi dan tingkah laku satu sama lain dan memberi kesan
sepanjang kehidupan berkeluarga (Hayden,MDickson, 1998) Dalam waktu yang sama juga, faktor “role
model” juga jangan kita pinggirkan
sahaja. Institusi keluarga perlu menjadi contoh terbaik kepada ahli keluarga.
Seorang bapa perlu menunjukan sikap dan tingkah laku yang baik sewaktu
berkomunikasi dengan anak-anak. Sifat kasih sayang perlu ditunjukan kepada
anak-anak. Timbul persoalan, sejauh mana keberkesanan pengaruh ahli keluarga
yang melakukan devian terhadap ahli keluarga yang lain? Banyak faktor yang
turut menyumbang peningkatan kes-kes devian yang dilakukan oleh ahli keluarga.
3.0 Kawalan Sosial
Secara ringkasnya,
kawalan sosial ialah satu aspek di dalam masyarakat yang bertujuan untuk
melindungi aturan normal. Ini penting untuk kita melihat norma-norma masyarakat
tidak di langgar dengan sewenang-wenangnya. Set peraturan yang ingin
diperkenalkan mestilah selari dengan aturan agama dan norma masyarakat. Sebagai contoh, remaja perempuan dikehendaki
untuk berada di rumah ketika waktu malam. Sudah menjadi kebiasaan masyarakat
melayu tradisional, remaja perempuan sentiasa berada di rumah ketika waktu malam.
Namun demikian, sekatan seperti itu sudah menjadi longgar apabila ibu bapa
sendiri tiada di rumah ketika waktu malam. Ini mungkin sebabkan beban tugas
atau kerja, perniagaan dan sebagainya.
Perlu diingatkan
bahawa semua gejala yang berlaku ketika ini adalah disebabkan oleh
perubahan-perubahan yang berlaku dalam masyarakat. Sosialisasi berlaku tanpa
disedari oleh masyarakat. Sekali lagi kita melihat peranan ibu bapa begitu
penting dalam soal ini.
Ibu bapa perlu bijak dalam menentukan cara mana untuk mengetahui kegiatan anak-anak mereka.
Ibu bapa perlu bijak dalam menentukan cara mana untuk mengetahui kegiatan anak-anak mereka.
Namun demikian pendidikan
anak-anak dan pembentukan asas-asas perkembangan diri seseorang anak perlulah
dilakukan dengan serius. Ibu bapalah yang dapat membantu anak-anak memperolehi
pendidikan yang cemerlang dan bermutu. Oleh itu, mereka bertanggungjawab
membentuk sikap yang positif di dalam diri anak-anak seperti ingin belajar,
rajin membaca, ingin tahu, suka bergaul dengan orang lain, sentiasa aktif dan
mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti sekolah. Ibu bapa juga harus
menunjukkan contoh dan sikap ini kepada anak-anak dan membimbing kelakuan
mereka. Ibu bapa juga bertanggungjawab meletakkan asas-asas nilai murni dan
pembentukan konsep diri yang positif di kalangan anak-anak (Zaleha Sulaiman
1995).
Ramai yang berpendapat
bahawa melalui pendididikan dapat mengawal dan membantu untuk menyediakan satu
set aturan kehidupan yang lengkap kepada anak-anak. Adakah semua anak-anak yang
pandai dalam pelajaran tidak melakukan devian? Itulah persoalannya sekarang.
Menurut Mohamad Ali
Hassan (2004), ibu bapa memainkan peranan yang cukup penting dalam pendidikan
anak-anak dengan cara menghayati fitrah anak yang suci, mendisiplinkan
anak-anak sejak peringkat awal. Memang kita tidak dapat nafikan proses
pembelajaran dan mendisiplinkan anak-anak adalah menjadi tugas dan
tanggungjawab ibu bapa. Dalam masa yang sama juga, terdapat banyak
faktor-faktor lain yang juga turut menyumbang.
Antaranya ialah peranan rakan sebaya, media massa, faktor urbanisasi dan
sebagainya.
4.0 Tujuan Kawalan Sosial
Menurut (Amla
Salleh,Zahara Aziz,Zuria Mahmud, 2010 ) suami dan bapa dianggap sebagai ketua
keluarga yang diletakkan tanggunggungjawab memberi nafkah, menjamin keselamatan
dan kesejahteraan ahli keluarganya serta membimbing keluarga, iaitu isteri dan
anak-anak supaya menjalani kehidupan berlandaskan prinsip Islam. Dalam konteks ini, Islam menjadi tembok untuk
membendung arus kemodenan. Ia juga bertindak sebagai alat untuk mendisiplinkan
ahli keluarga. Semua sudah mengetahui, bahawa hampir semua agama mempunyai
kepercayaan atau peraturan yang menyuruh kita berbuat kebaikan. Larangan berjudi dan berbuat baik kepada
manusia lain adalah contoh ajaran bagi agama Islam, Buddha dan agama lain.
Romera Monivas (2007)
telah membuat kajian mengenai teori Emile Durkheim mengenai kaitan agama dan
sains sosial. Beliau mendapati bahawa agama juga penting dalam kegiatan sosial
manusia. Kawalan sosial dalam waktu yang sama dapat menyemai elemen pendidikan.
Atas dasar ini jugalah, Kementerian Pelajaran Malaysia mula memperkenalkan mata
pelajaran Moral untuk pelajar sekolah rendah bermula pada tahun 2000. Antara
subjek atau pengisian yang terpenting ialah nilai-nilai agama dan keluarga
dijadikan topic utama. Hormat menghormati sesama ahli keluarga juga turut
diperkenalkan. Para sekolah ini diharap
dapat mengusai Moral untuk melahirkan generasi yang seimbang dari sudut emosi,
sahsiah dan sosial.
5.0 Cadangan
Kawalan Sosial
Institusi keluarga
seperti yang telah dibincangkan mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar
ke arah mewujudkan persekitaran sosial yang sihat. Usaha dan niat ini begitu mencabar apabila
kita melihat perubahan ketara yang berlaku dalam masyarakat moden kini. Kalau
dahulunya, keluarga begitu mudah untuk berjumpa ahli keluarga yang lain tetapi
kini, ianya mungkin sukar kerana sibuk dengan tugas masing-masing. Bagi
anak-anak pula, mereka mungkin akan “hilang” untuk pergi mengikuti kelas tambahan, kelas muzik atau
kelas bahasa. Bagi para remaja pula,
mereka lebih suka menyendiri di dalam bilik sambil bermain video game ,
komputer ataupun “facebook”.
Perubahan ini adalah cabaran kepada semua ibu bapa. Proses sosialisasi ini terjadi dengan pantas
tanpa kita sedari. Ianya juga turut merubah norma-norma masyarakat itu
sendiri. Sebagai contoh, sebuah masjid
akan menuar-uarkan aktiviti dan kegiatan dengan menggunakan “facebook”. Ianya tidak pernah kita
fikirkan mengenainya sebelum ini. Cara membuat pengumuman untuk sebarang
aktiviti dengan menggunakan pembesar suara sudah tentu dianggap ketinggalan dan
kuno. Ia perubahan besar yang berlaku.
Namun demikian, kita
tidak boleh mendiamkan diri dan hanya berpeluk tubuh sahaja memerhatikan
perubahan ini. Sebagai ahli keluarga kita mempunyai tugas dan tanggungjawab
yang perlu dibereskan.
Memahami watak dan
kerenah anak-anak merupakan tanggungjawab pendidikan yang sangat mustahak bagi
kedua ibu bapa. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, berminat atau tidak berminat,
ibu bapa tidak dapat
mengelak dari terlibat dengan tanggungjawab ini. Oleh yang demikian, ibu bapa
hendaklah mempunyai panduan dan pengetahuan pendidikan yang sewajarnya, supaya
kanak-kanak di bawah asuhan dan jagaan mereka mendapat bimbingan dan pendidikan
yang selayaknya (Mahyuddin Shaari 2009)
i. “Role Model”
Kaedah ini perlu dijadikan amalan
kepada semua ahli keluarga. Mereka perlu bertindak sebagai contoh kepada ahli
keluarga yang lain. Sebagai contoh, seorang bapa perlu menjadi ikon kepada
anak-anak mereka sendiri. Bapa perlu menunjukkan contoh yang baik kepada
anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Jika ini dapat dilakukan secara tak
langsung akan turut juga merubah masyarakat sekeliling. Proses ini mungkin
mengambil masa yang agak lama tetapi impak yang diterima juga berkesan. Aktiviti solat berjemaah dirumah adalah salah
satu contoh. Di samping kita menunaikan solat yang menjadi tuntutan agama,
ianya juga adalah salah satu cara hubungan interaksi yang berkesan di antara
ahli keluarga. Walaupun
sekolah merupakan satu lagi ejen sosialisasi yang kuat mempengaruhi kanak-kanak
tetapi pengaruh ibu bapa mungkin lebih kuat kerana jumlah jam kanak-kanak
berada di rumah adalah lebih panjang dari jumlah jam kanak-kanak berada di
sekolah (Johari Talib 2007).
ii. Komunikasi
Komunikasi di kalangan ahli keluarga adalah penting dalam usaha untuk
mewujudkan suasana rumah yang aman,tenteram dan seronok untuk didiami. Memang tidak dapat dinafikan komunikasi juga
mempunyai halangan-halangan yang tersendiri. Antara halangan terbesar ialah kekangan
waktu dan masa. Perubahan atau sosialisasi yang terbentuk di dalam masyarakat
moden menjadi perhubungan menjadi begitu penting. Perlu diingatkan juga,
penggunaan alat komunikasi yang serba canggih adalah hasil dari arus kemodenan
dunia juga mempunyai “pro and kons ”yang
tersendiri. Ibu bapa perlu bijak menggunakan sebarang “gadget” ini untuk berkomunikasi antara ahli keluarga. Namun
demikian, komunikasi ketika makan adalah sesuatu yang tidak boleh di pandang
remeh. Banyak masyarakat telah mengamalkan aktiviti makan bersama ini sebagai
sesuatu yang terpenting. Contohnya, bagi masyarakat Eropah yang beragama
Kristian mengganggap makan di malam Hari Krismas adalah penting. Begitu juga
bagi masyarakat Cina, makan malam sempena Tahun Baru Cina adalah suatu kemestian.
Semua aktiviti ini bertujuan untuk mengeratkan ikatan persaudaraan di antara
keluarga. Sambil menikmati makanan, mereka akan berkomunikasi di antara mereka.
iii. Kualiti Masa Bersama
Bagi ibu bapa yang
bekerja mereka perlu mengambil kesempatan untuk mencari masa di mana mereka
dapat bersama ahli keluarga yang lain. Cuti bersama ahli keluarga adalah contoh
kualiti masa bersama ahli keluarga.
Mereka juga boleh merancang mereka sendiri dengan menetapkan setiap
hujung tahun adalah waktu yang sesuai untuk menziarahi keluarga di kampung atau
sanak saudara yang lain. Perancangan sebegini akan membuatkan setiap ahli
keluarga yang terlibat akan merasai diri mereka dihargai oleh keluarga. Bagi
mereka yang terlalu sibuk dan mempunyai masa lapang yang agak terhad, mereka
juga boleh memperuntukkan cuti hujung minggu untuk bersama anak-anak mereka.
iv. Undang-undang di rumah
Sebagai langkah untuk mendisiplinkan
semua ahli keluarga, undang-undang kecil dirumah mestilah diperkenalkan. Ini
bagi memastikan rumah atau kediaman sentiasa dipantau. Undang-undang seperti
tidak boleh keluarga rumah selepas waktu magrib adalah satu contoh
undang-undang kecil di rumah. Perkara ini nampak kecil, tetapi impak dan
kesannya begitu mendalam sekali. Bagi masyarakat melayu tradisional, amalan ini
sudah lama diamalkan. Ianya menjadi undang-undang kecil yang wajib dipatuhi.
Namun demikan sekali lagi, sosialisasi dan urbanisasi menjadi penyumbang kepada
luputnya undang-undang tersebut.
v Sokongan Emosi
Setiap ahli keluarga mestilah
mempunyai sikap ingin membantu satu sama lain. Bantuan yang dihulurkan tidaklah
terbatas kepada wang ringgit dan harta benda sahaja. Sokongan berbentuk moral
dan emosi juga adalah penting. Contoh, jika ada antara ahli keluarga kita di
landa kesedihan, jika hendaklah turut simpati dengannya. Sememangnya bagi anak-anak remaja, teman untuk
meluahkan perasaan adalah suatu kemestian. Mereka tercari-cari “pendengar” yang
setia untuk berkongsi masalah.
6.0 Kesimpulan
Perubahan sosial yang
berlaku kini telah mengakibatkan norma-norma masyarakat juga turut berubah.
Institusi keluarga menjadi elemen terpenting dalam isu pembentukkan rumah
tangga yang harmoni, aman dan tenteram. Suasana ini penting supaya semua ahli
keluarga dapat merasakan keselamatan dan keperluan mereka terjamin. Peranan
keluarga juga begitu besar dalam usaha untuk mewejudkan sebuah negara yang
maju. Tidak guna kita melaungkan atau bercita-cita untuk menjadikan Malaysia
sebuah negara maju, tetap dalam waktu yang sama keluarga kita pinggirkan.
7.0 Bibliografi
Amla Salleh, Z. A.
(2010). Perana Bapa dalam Pembangunan Sahsiah remaja dan Implikasinya terhadap
nilai kekeluargaan. Jurnal Pendidikan Malaysia , 9-17.
Hassan, M. A. (2004).
Masalah disiplin & janayah di kalangan pelajar-pelajar sekolah di Malaysia.
Forum Seminar Kebangsaan Pencegahan Jenayah Juvana Mengikut Perspektif Islam
(pp. 10-11). Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM): Jabatan Kebajikan
Masyarakat malaysia.
Monivas, R. (2007).
Science and Religion in the Sociology of Emile Durkheim .
S.S, E. D. (1985). Explaining
delinquency and drug use. Beverly Hills: Sage Publictions.
Schiller.MDickson, H.
L. (1998). Levels of Family assesment: Family marital and parent child
interaction. Jaournal of Family , 7-22.
Shaari, M. (2009).
Memahami IlmuPerkembangan & Pertumbuhan Kanak-kanak bagi Pendidikan
berkesan. Jurnal Pendidikan Islam .
Sulaiman, Z. (1995). Pengurusan
Pencapaian Akademik Pelajar Sekolah.
Talib, J. (2007).
Pengaruh gaya keibubapaan terhadap pencapaian kanak-kanak . Wacana Pengajian
Umum (pp. 77-94). Bangi : UKM.
TJ, B. (1979).
Development changes inconformity to peers and parents.Development Psychology 15
606-616 doi 10.37/0012-1649 15.6.608.
Yunjiao Gao, Y. Y.
(2013). A Study on the Moderating Effect of Family Functioning on the
Relationship between Deviant Peer Affiliation and Delinquency among Chinese
Adolescents , 178-185.
No comments:
Post a Comment