Perusahaan bijih timah merupakan perusahaan yang tertua dan bahan eksport utama di Tanah Melayu. Sebelum tahun 1820, perlombongan bijih timah diusahakan oleh orang Melayu secara tradisional dengan menggunakan kaedah mendulang dan melampan. Seiring dengan peredaran zaman dan perubahan teknologi, aktiviti perlombongan bijih timah telah berkembang dengan pesat dan ini didorong pelbagai faktor dalaman dan luaran. Hasilnya, pengeluaran bahan galian ini terus meningkat dari tahun ke tahun.
Kemasukan orang Cina merupakan antara faktor yang mendorong perkembangan perusahaan bijih timah. Lombong-lombong bijih timah telah dibuka dengan banyaknya di daerah Larut, Perak di bawah pembesar Long Jaafar sejak tahun 1848. Akibatnya, berlaku kedatangan orang Cina secara beramai-ramai ke Tanah Melayu atas jemputan para pembesar Melayu. Pada peringkat awal, kemasukan orang Cina yang digalakkan oleh Long Jaafar dari Negeri-negeri Selat adalah sebagai buruh dan pelabur dalam perusahaan bijih timah. Mereka ini telah menggunakan modal sendiri untuk membuka lombong seperti di Larut, Lembah Kinta, Lembah Klang, dan Sungai Ujong. Masalah kekurangan buruh di 19 buah lombong bijih timah di Kemunting pula telah diatasi dengan mengimport buruh dari China melalui Sistem Tiket Kredit dari wilayah Fukien dan Kwangtung. Kehadiran buruh Cina ini juga membawa bersama kaedah-kaedah perlombongan yang lebih baik, iaitu secara lombong dedah dan lombong pam. Kaedah lombong dedah misalnya, telah meningkatan hasil pengeluaran bijih timah dan kaedah ini juga lebih selamat. Kaedah roda air bagi mengatasi masalah banjir dan penggunaan enjin wap juga merupakan antara teknologi baru yang diaplikasi oleh orang Cina untuk meningkatkan produktiviti perlombongan bijih timah. Buktinya, pengeluaran bijih timah telah meningkat dari 6,500 tan pada tahun 1850 kepada 19,600 tan pada tahun 1881 dan 50,000 tan pada 1904. Justeru, kedatangan orang Cina dan penglibatan mereka dalam perlombongan bijih timah telah memperkembangkan perusahaan ini hingga Tanah Melayu menjadi pengeluar dan pengeksport bijih timah terbesar di dunia pada waktu itu.
Di samping itu, perkembangan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu juga didorong oleh dasar pemerintahan Inggeris terutamanya di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada awalnya, aktiviti perlombongan bijih timah agak terjejas akibat masalah anarki di negeri-negeri Melayu seperti perebutan takhta kerajaan, persengkataan pembesar-pembesar Melayu, pergaduhan kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San, serta masalah perlanunan hingga merugikan para saudagar di Negeri-negeri Selat. Namun perubahan dasar Inggeris kepada campur tangan di negeri-negeri Melayu telah mengatasi masalah-masalah ini dan sekali gus memulihkan semula perlombongan bijih timah. Pemerintahan Inggeris yang memperkenalkan Sistem Residen telah memesatkan lagi kemajuan perusahaan bijih timah. Pembinaan jalan kereta api dan jalan raya telah memudahkan kerja-kerja mengangkut bijih timah ke pelabuhan untuk dieksport. Pada tahun 1885, jalan kereta api yang pertama telah dibina menghubungkan Taiping dan Port Weld. Kemajuan pengangkutan ini telah membawa kepada pembukaan lebih banyak lombong baru dan seterusnya meningkatkan pengeluaran bijih timah. Sementara itu, masalh kekurangan buruh pula telah diatasi oleh Inggeris dengan menjalankan dasar yang liberal terhadap penghijrahan buruh dari negar China. Bagi melancarkan urusan perlombongan, pentadbiran telah dikemas kini dengan memperkenalkan kerja ukur tanah lombong bagi menentukan sempadan dengan tepat dan mengelakkan pergaduhan antara pelombong. Usaha-usaha yang dijalankan pihak Inggeris ini terbukti telah menggalakkan perkembangan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu dan meningkatkan produktiviti perlombongannya.
Kepesatan perkembangan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu juga dikaitkan dengan permintaan tinggi di pasaran dunia. Hal ini terjadi ekoran Revolusi Perindustrian yang berlaku di Eropah khususnya di Britain. Bijih timah sangat diperlukan dalam perusahaan mengetin makanan iaitu perusahaan ayan (tin-plate) sebagai penyadur tin bagi mengelakkan tin daripada berkarat dan menjamin makanan selamat digunakan. Keadaan ini telah menyebabkan harga bijih timah melambung naik iaitu mencapai £140 setan. Hal ini turut menggalakkan pembukaan lebih banyak lombong baru di Tanah Melayu terutamanya di Larut, Rasah, dan Kuala Lumpur. Tegasnya, permintaan yang tinggi terhadap bahan galian ini telah menuntut lebih banyak pengeluaran daripada pelombong pengusaha sehingga menyumbangkan kepada kemajuan perkembangan perusahaan bijih timah.
Lain daripada itu, pengenalan kapal korek turut menjadi penyumbang kepada perkembangan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu. Jentera ini deiperkenalkan pada tahun 1912 oleh syarikat Malayan Tin Dredging di Batu Gajah, Perak. Penggunaan teknologi yang lebih moden ini membolehkan penghasilan bijih timah dengan kuantiti yang lebih banyak dan menguntungkan. Tambahan pula, kapal korek boleh digunakan dengan selamat di kawasan berpaya atau tanah lembap serta mampu memisahkan bijih timah dari tanah dengan cepat. Menjelang tahun 1929, dua per tiga daripada jumlah pengeluara bijih timah adalah dihasilkan oleh pengusaha Eropah yang menggunakan kapal korek dalam perlombongan. Pengeluarannya meningkat dari 51,000 tan pada tahun 1913 kepada 77,000 tan pada tahun 1937. Penggunaan kapal korek pula semakin meluas di Tanah Melayu apabila 105 buah kapal korek beroperasi di lombong pada tahun 1929 berbanding hanya 20 buah pada 1920. Situasi ini sejajar dengan permintaan tinggi di pasaran Eropah dan Amerika hingga menjadikan kapal korek sebagai penyumbang kepada perkembangan perusahaan bijihi timah di Tanah Melayu.
Walau bagaimana pun, zaman kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1929 hingga 1932 menyaksikan kemerosotan teruk industri ini. Keadaan ini memberi kesan kepada harga bijih timah yang jatuh dengan mendadak kerana kurangnya permintaan dari pasaran Eropah. Harga bijih timah merudum dari $2414 setan pada 1926 kepada $1020 setan pada 1931.
Selain itu, situasi kemerosotan bijih timah menyebabkan penutupan banyak lombong. Hal ini terjadi kerana pengusahaan lombong tidak lagi menggalakkan. Akibatnya, berlaku pengangguran dalam kalangan pekerja lombong. Rentetan daripada ini, beribu-ribu pekerja Cina telah dihantar pulang ke negara asal mereka bahkan ada yang pulang secara sukarela. Pada tahun 1931 contohnya, kira-kira 10,000 orang pelombong di Perak telah dihantar balik ke China.
Kesimpulannya, perkembangan pesat perusahaan bijih timah di Tanah Melayu terbukti didorong faktor kemasukan orang Cina, dasar pemerintahan British, permintaan tinggi di pasaran dunia, dan penggunaan kapal korek dalam perlombongan. Malangnya, perusahaan ini menemui kejatuhan yang amat teruk ketika zaman kemelesetan ekonomi dunia 1929-1932 hingga menjadikan industri tidak lagi diminati oleh sebilangan pengusaha dan syarikat. Rentetan kejatuhan ini, kerajaan Inggeris di Tanah Melayu telah menjalankan pelbagai langkah bagi memulihkan harga bijih timah seperti mengurangkan pengeluaran, tidak meluluskan sebarang permohonan bagi membuka lombong-lombong baru, dan terlibat dalam Perjanjian Bijih Timah Antarabangsa.
Kesan hasil aktiviti perlombongan ini masih terdapat di Malim Nawar, Kuala Dipang dan Kampar. Aktiviti ekonomi ini jugalah telah menyumbang kepada pembangunan Bandar Kampar suatu ketika dahulu. Sehinggalah kini, Lembah Kinta ini masih mempunyai sejarah tersendiri yang masih menjadi tanda tanya.
Kesan hasil aktiviti perlombongan ini masih terdapat di Malim Nawar, Kuala Dipang dan Kampar. Aktiviti ekonomi ini jugalah telah menyumbang kepada pembangunan Bandar Kampar suatu ketika dahulu. Sehinggalah kini, Lembah Kinta ini masih mempunyai sejarah tersendiri yang masih menjadi tanda tanya.
Nota:
Penulis merasa terharu tatkala menulis mengenai perlombongan bijih ini, penulis terus teringat akan ayah di Kampung Sungai Lesung,Simpang Empat, Kampar. Ayah penulis adalah bekas pelombong bijih timah di Perak. Pernah bekerja di Malim Nawar (Kongsi 80 : Tempat kelahiran penulis), SKC (Southern Kinta Consolidated) Slim River. Kemudian berpindah ke SMTD (Southern Malayan Tin Dreging) Kampar. Kini kesemua tempat itu jadi sejarah. Sesekali penulis membawa Ayah ke SMTD Kampar untuk melihat tempat kerja Ayah. Masih kelihatan. Tapi perubahan pasti berlaku. Boleh dikatakan penulis dibesarkan dalam suasana "lombong bijih timah".
Zamri Sarji
Kuantan, Pahang
Zamri Sarji
Kuantan, Pahang
15 comments:
assalammualaikum penulis... saya masih duduk di SMTD, dan pernah juga duduk di SKC slim river :-)
At last...we know about SMTD stand for...thanks alot..
Good info..thanks
Bad info. Useless info for my sejarah work
Yoko
Same, I was looking for pengeluaran bijih timah di Negeri Sembilan, Perak & Selangor...😤😩
Terimakasih bang urk share pasal ini sebenarnya saya minat sungguh pasal sejarah ni
yoko
bocah
assalamualaikum
tempat lahir sg lesung
membesar skc
hehehehehe
Tarik sis
Semongkok
:-D
Post a Comment