Tuesday, October 09, 2018

2.1.1984 Cerita Aku ( Siri 1)

2.1.1984 (Siri 1)

Hari ini adalah hari pertama persekolahan untuk sessi tahun 1984. Bermakna, hari ini juga adalah hari pertama aku memasuki Alam Persekolahan Menengah. Rasa gementar tetap ada. Rasa macam pelik juga, kerana terdapat murid dari Kaum Cina yang bersekolah di sini. Satu kejutan buat aku. Semasa aku bersekolah di Sekolah Rendah, memang tiada seorang pun murid berbangsa Cina. Hari ini juga aku mendaftar sebagai murid Tingkatan Satu. Di sekolah ini, murid Tingkatan Satu akan bersekolah di sessi petang.

Semua Murid Tingkatan Satu dikehendaki berkumpul di Tapak Perhimpunan. Selepas ucapan oleh Guru Bertugas, semua murid dikehendaki mendaftar di kelas masing-masing. Keadaan ketika itu, memang gamat dan riuh rendah. Macam keadaan di pasar. Aku masih berdiri seorang diri. Aku tak tahu nak daftar di kelas mana satu? Aku hanya memerhati gelagat rakan-rakanku yang lain. Ada yang gembira, kerana mendapat kelas bersama rakan sekampung. Ada yang sedih, kerana terpaksa berpisah dengan rakan. Tetapi yang sebenarnya, kedudukan kelas telah ditentukan oleh pihak sekolah.
Masa begitu pantas berlalu. Lebih dari separuh murid telah pergi ke kelas masing-masing. Aku masih termangu-mangu di sudut kantin sekolah. Kemudian aku pergi ke meja pendaftaran kelas 1A3. Seorang Cikgu Perempuan (Cikgu Salamiah) di kelas itu bertanya kepada aku.
“Hah awak kelas 1A3 ke?” Tanya cikgu dengan suara yang agak nyaring.
“Sayaaa…tak tahu kelas mana”. Jawap saya dengan nada cemas.
“Heh, macam mana boleh tak tahu..siapa nama awak?” Tanya cikgu tu lagi.
“Nama saya Zamri” Jawap aku ringkas.
Kemudian Cikgu Perempuan itu menyemak senarai nama Kelas 1A3.
“Nama awak tiada dalam senarai..pergi semak ke kelas lain” Jawap cikgu tu dengan nada tegas.
Aku menggangguk kepala tanda setuju. Nasib baik dia bukan cikgu kelas aku, bisik hati aku. Jumlah murid Tingkatan Satu yang tinggal di situ semakin berkurangan. Aku pun pergi ke meja pendaftaran kelas 1B2 (Cikgu Rosli). Cikgu yang bertugas pun membuat semakkan.
“Nama awak tiada dalam senarai kelas ini, pergi cari nama awak ke kelas lain?” Cikgu Lelaki itu berkata kepada aku. Aku tertunduk diam. Kemudian aku pergi ke meja pendaftaran ke kelas lain.

Kelas 1A2..tiada juga nama aku. Kelas 1B1…pun tiada nama aku.
Peluh mula membasahi baju aku. Perasaan cemas mula menghantui aku. Ketika itu, hanya  3 orang murid sahaja yang tinggal. 2 orang perempuan dan aku seorang lelaki. Kedua-dua murid perempuan itu berbangsa Cina. Mereka senasib dengan aku. Tiada kedudukan kelas dan tiada nama dalam senarai kelas. Penyelia Petang (Cikgu Karim) dan beberapa orang guru sedang berbincang sesuatu. Kemudian Penyelia Petang telah memanggil kedua-dua murid Cina tersebut dan memberikan kepada mereka sehelai kertas.
“Awak pergi ke kelas yang ada tertulis di kertas itu dan berikan pada Cikgu Kelas awak” Kata Cikgu Karim dengan nada yang tegas.
Kedua-dua murid Cina itu pun beredar ke kelas seperti yang diarahkan. Tidaklah pulak aku mengetahui mereka pergi ke kelas mana. Itu bukan urusan aku, bisik hati aku.
“Hah, tinggal awak seorang sahaja lagi” Kata Cikgu Karim.
Aku tersentak bila mendengar suara Penyelia Petang  yang agak menggerunkan aku. Tetapi aku beranikan diri dengan berdiri tegak seperti seorang askar sedang berkawad. Menunggu sebarang arahan.
“ Dulu sekolah mana?” Tanya Cikgu Karim dengan  ayat yang mudah.
“Sekolah Kebangsaan Sungai Lesong” Aku menjawab ringkas.
“Kenapa nama awak tiada dalam senarai murid ini, saya dah semak dalam senarai nama” Cikgu Karim berkata kepada aku.
Hati aku risau. Degup jantung aku bertambah laju. Pandangan aku seperti diselubungi kabus.
Adakah Cikgu Karim akan suruh aku balik rumah?

Disebabkan nama tiada dalam senarai, mungkinkah aku akan dipindahkan ke sekolah lain?


Wednesday, October 03, 2018

Pemasaran Politik: “Realiti vs Ilusi”
Beberapa hari sahaja lagi negara kita akan menghadapi Pilihan Raya Umum yang kali ke-14 (PRU 14). Proses ini adalah untuk memilih di kalangan calon-calon parti politik yang bertanding, 
dan seterusnya adalah untuk membentuk sebuah kerajaan yang sah. Pilihan Raya juga adalah salah satu elemen terpenting dalam sesebuah Negara Demokrasi Raja Berperlembagaan seperti Negara kita.
Bila kita bercakap mengenai pemasaran politik, kita memang tidak dapat lari bercakap 
mengenai perniagaan,pelanggan, barangan dan penyelidikan pasaran. 
Seorang sarjana barat pernah berkata "Pemasaran adalah jangkaan dan pengenalan keperluan dan
keperluan pengguna untuk memenuhi keperluan ini, dan untuk membuat keuntungan."
 (David Needham, 1996)
Pemasaran Politik  adalah bahagian terpenting dalam menentukan kesinambungan daya politik sesuatu
 kumpulan. Ahli politik yang matang akan menggunakan kelebihan kuasa pemasaran politik untuk
 mencapai visi dan misi politik mereka. Dalam konteks pilihan raya, memenangi kerusi yang ditandingi 
adalah matlamat utama ke semua calon bertanding. 
Penyelidikan pasaran digunakan, apabila membuat keputusan mengenai dasar  dan reka bentuk
 manifesto,untuk menepati kehendak masyarakat terbanyak. Dengan kata mudah, untuk  “mencuri”  
undi daripada pengundi. Latar belakang pengundi mesti di ambil kira. Profil pekerjaan, gender
dan faktor umur menjadi asas penyelidikan pemasaran politik. Begitu juga juga taraf pendidikan, 
pekerjaan dan lain-lain berkaitan dengan pengundi. Profil pengundi akan dapat membantu  untuk 
memahami dan mencipta segmen baru atau strategi dalam setiap tindakan.
Pada peringkat seterusnya adalah strategi penjenamaan dan pengurusan untuk menyediakan 
“kertas cadangan” untuk memenuhi kehendak masyarakat setempat. Ianya mestilah diyakini, 
dipercayai dan bersifat komprehensif. Susun atur program dan penumpuan golongan sasar 
 adalah antara yang perlu di beri perhatian khusus. Bagi golongan suri rumah, mereka lebih senang 
untuk bercerita mengenai tugas harian di rumah berbanding isu ekonomi atau isu antarabangsa.
Sebagai contoh, keperluan masyarakat di Tanjung Lumpur di Kuantan, adalah amat 
berbeza dengan keperluan masyarakat di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
 Ilmu pemasaran politik menjadi isu utama dalam usaha untuk mendapatkan undi terbanyak. 
Setiap parti politik akan membariskan calon-calon mereka untuk di pilih oleh pengundi. 
Faktor pemilihan calon seperti anak tempatan, keturunan , pengalaman calon sebelum ini turut
 menjadi perhatian pengundi. Masyarakat di kawasan pendalaman, pastinya akan memilih 
calon yang mereka selalu lihat atau  sering bertemu. Kelebihan kepada calon juga seandainya mereka
 boleh bertutur atau berbahasa dialek setempat. 
Bagi masyarakat moden, pengundi akan lebih tertumpu kepada nilai akademik calon, gaya berpidato, 
idea calon dan sumbangan calon kepada masyarakat setempat dan global. 
Golongan yang celik kepada media sosial dan mahir berkomunikasi secara moden mempunyai peluang cerah untuk menembusi ruang udara pengundi. Namun demikian, pertempuran sengit pasti berlaku, 
seandainya kedua-dua belah pihak membuat strategi dan percaturan yang serupa.
Perlu di ingatkan juga, manifesto atau kertas cadangan parti-parti yang bertanding juga
 adalah salah satu “marketing tools” yang terpenting juga. Idea seperti penambahbaikan atau idea baru, perlu disebarkan kepada masyarakat terbanyak. Masyarakat biasanya ingin tahu status
 atau jalan penyelesaian kepada sesuatu isu. Isu ini mungkin merangkumi  isu setempat atau  nasional. 
Bagi pihak parti yang bertanding manifesto yang menyeluruh mestilah di hidangkan untuk 
dinikmati oleh semua golongan. Jangan ada golongan yang tercicir.
Akhirnya, penyertaan politik dengan berkempen secara sihat dan matang akan
 memperlihatkan kematangan dan kualiti calon bertanding. Isu setempat menjadi agenda utama
 untuk diselesaikan. Kaedah penyelesaian dan cara mengatasi sesuatu masalah mestilah di tampilkan dengan cermat. Pada peringkat dasar juga, isu nasional dan global akan menjadi nilai tambah untuk
 membentuk arus atau gelombang  kemenanangan kepada seseorang calon
Namun demikian, pola perubahan bila-bila masa boleh berlaku bila tingkah laku individu 
terbabit dipengaruhi oleh elemen-elemen asas dan utama seperti faktor agama, gender, ekonomi, 
budaya, sosial dan lain-lain. Ini yang amat sering dirisaukan oleh semua calon bertanding.
 Perubahan yang di luar kawalan menjadi titik tolak kejayaan mereka.

“Kita Raikan Pesta Demokrasi..Jom Turun Mengudi”
Zamri Prk
Kuantan, Pahang

*telah disiarkan di akhbar Sinar Harian bertarikh 6.5.2018

Tuesday, October 02, 2018



24.12.2017
Program Lepak Santai
SPM 1988
SM Sri Kampar

Memang susah nak kumpulkan member-member sekolah. Ini jer yang berjaya dikumpulkan. Maklumlah masing-masing sudah ada tanggungjawab dan tugas masing-masing.

Malam
Saat meniti malamku
 Begitu sarat di ratah kesunyian
Bulan sembunyi malu
Tanpa cahaya yang datang membantu
Tompokan bintang berselerak
Kerdipannya  jauh di angkasa
Kerdipannya semakin layu

Saat menikmati malamku
Kesejukan datang bertamu
Datang membawa seribu kenangan
Cerita kita dalam perjalanan
Kisah  cinta terselit kerinduan
Hilang terkandas di bawa arus deras

 Di sungai  sebuah kehidupan…

Zamri Prk
Kuantan
Kursus ini bertujuan memberi pendedahan tentang psikologi kanak-kanak kepada sesiapa sahaja yang berminat dengan dunia kanak-kanak. Penerangan akan diberikan mengenai keseluruhan psikologi kanak-kanak yang meliputi proses dan prinsip pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak yang berumur 0 hingga 6 tahun. Teori-teori berkaitan juga akan dibincangkan bagi memahami implikasinya ke atas proses pembelajaran kanak-kanak.

Wednesday, February 15, 2017

21/11/98

21.11.98
(Ulangtahun Perkahwinan ke-18)

Musim itu kita menjadi satu
Menganyam  harapan membuai  impian
Berkocak sukma jiwa asmara
Kita bertemu di taman cinta
Kita bernyanyi di pohon cemara
Terlena bersama di bantal gelora

Masa pantas berlari
Kita pun turut mendaki
Menjulang sejahtera dalam doa
Ceria bersama pelangi senja
Mengira kedukaan sendu bersama
Jatuh bangun kita berdua
Membina istana  membelah belantara
Meneroka pintu gerbang kebahagiaan ...

Zamri Prk

Kuantan,Pahang
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...