Monday, June 18, 2012

Kerja Pertama

Ini adalah gambar sewaktu aku bertugas di KFC Bentong. Banyak pengalaman berharga sewaktu aku bertugas di sini. Ada yang manis dan ada pula yang pahit.KFC Bentong tidak sesibuk seperti KFC di bandar-bandar besar yang lain. Namun sebagai langkah pertama, iaitu store yang pertama, ianya cukup untuk dijadikan permulaan. Ketika itu aku mempunyai seramai 13 orang kakitangan. 7 orang daripadanya terdiri dari warga Bangladesh. Fuughhh memang memenatkan jika terpaksa bekerja "split shift" . Masuk kerja pukul 9 pagi dan habis kerja pukul 12 tgh malam. Tapi kekadang tu seronok juga. Alhamdulilah kerana semua staff kat sini mahu bekerjasama.
Di sini aku pernah bekerja sebagai cashier, sebagai cook (tukang goreng ayam), buat burger dan mop lantai. Banyak kenangan sewaktu bekerja di sini.
Tapi itu adalah peristiwa yang telah berlaku 17 tahun yang lalu. Setiap kali aku berkunjung ke kedai KFC, peristiwa silam berputar kembali.....namun inya tetap menjadi kenangan yang abadi.

Peristiwa 17/6/1987...

Setiap kali munculnya  tarikh 17/6 pada setiap tahun, hati aku menjadi berdebar-debar. Bagai ada peristiwa buruk yang akan singgah dilaman hidupku. Aku cuba melupakan tarikh tersebut. Tapi aku gagal. Kedinginan malam yang pekat ini, seolah-olah bagai tahu akan perasaan dan gelora jiwa aku ini. Berkocak dan bergetar. Kalau mungkin manusia lain dapat mendengarnya, pasti mereka akan turut serta dalam situasi begini.

17/6/1987
Jam menunjukkan pukul 430 pagi. Aku, Abang Mizi dan Kak Rehan telah terjaga dari awal. Yong kakakku yang sulong, macam biasa selalu bergerak pantas dan agresif. Kami telah bersiap sedia untuk pergi ke Hospital Besar Ipoh. Emak sudah 3 malam berada disana. Dia ditemani dengan Emak Saudaraku, Makcik Ramlah. Kami panggil dia Wan Dak. Wan Daklah yang telah menjaga emak dari emak masuk wad hinggalah ke hari ini. Wan Dak ialah kakak emak yang tinggal di Tapah. Wan Dak jugalah yang menawarkan diri untuk menjaga emak siang dan malam tanpa jemu.

Sebelum emak terlantar di hospital, emak adalah seorang yang cergas dan suka membantu ketika kenduri kendara di kampung. Emak akan keluar seawal pagi dengan membawa sebilah pisau dan sebungkus gula dan susu. Gula dan susu itu akan digunakan oleh tuan rumah kenduri untuk kegunaan seharian. Pada tengahari emak tak balik ke rumah. Sehinggalah lewat petang barulah emak balik ke rumah setelah semua kerja-kerja dirumah kenduri selesai. Baik kenduri kahwin, majlis pertunangan mahupun majlis kesyukuran emak akan datang membantu. Emak juga tidak pandai memilih orang. Dia akan pergi dengan rela hati untuk membantu sedaya yang mungkin. Tapi, semenjak emak sakit, emak hanya duduk dirumah. Pada mulanya emak hanya demam biasa. Makan ubat, lepas tu sembuhlah. Tanpa di ketahui ketumbuhan di bahagian dada emak semakin membesar. Bisul katanya lagi. Aku sering diam sahaja bila emak berkata demikian. Masa tu, kami sekeluarga bimbang dan susah hati. Emak tidak mampu bangun dan 'bisul' semakin merebak. Ayahku menghantar emak ke Hospital Tapah.

Jam menunjukkan pukul 6:45 pagi. Mentari muncul lagi menghadiahkan sinar yang kekuningan. Yong mengarahkan kami semua agar bersiap sedia. Semua sarapan telah disiapkan oleh Yong. Macam biasa Yong memang cekap dan tangkas sewaktu di dapur. Cakaplah apa sahaja, dia akan buat untuk kami. Abang Mizi yang biasanya lambat bangun tidur, kini dia berubah.Mandi dan terus berpakaian lengkap. Kami menunggu arahan seterusnya dari Yong.

Jam menghampiri pukul 7:00 pagi. Sejuk diluar masih terasa. Tiba-tiba terdengar bunyi motorsikal. Pak Uda rupanya. Pak Uda adalah abang kepada emak. Dia juga tinggal di Tapah. Pak Uda adalah seorang pesara polis. Pak Uda sering menceritakan kepada aku mengenai komunis dan kisah sewaktu dia bertugas sebagai mata-mata.Pernah dia menceritakan kepada aku, dia pernah bersama ayahku bertugas sebagai SC sewaktu perang Jepun. Dia juga menceritakan kepada aku, bahawa ayahku berminat untuk menjadi polis, tapi telah di halang oleh Opah. Bahaya katanya.

"Assalamuaikum", Jawab Pak Uda sambil menanggalkan topi kaledarnya.

"Waalaimusalam", Jawab Ayah dengan lembut. Ayah memerhatikan gerak geri Pak Uda yang serba tak kena.
"Pak Uda harap awak kena banayak bersabar. Ingat dari Dia kita datang, pada dia jugalah kita akan pergi. Pagi tadi tepat jam 430 pagi, di hadapan Wan Dak, dia telah meninggal dunia. Wan Dak seorang sahaja yang berada di situ ketika itu." Jawabnya sayu. Air mata Pak Uda tumpah di halaman rumahku. Kami terdiam seketika. Tanpa aku sedari, air mata ku juga mengalir deras tanpa dapat ditahan lagi. Yong memeluk kami adik beradik. Pak Uda memegang bahu Ayah.
"Sabar, tuhan lebih sayangkan dia dari kita. Jangan bersedih." Kata Pak Uda sambil mengeluakan sapu tangan dan mengelap mukanya.
Suasana dirumah ketika itu, sungguh memilukan.  Deraian airmata dan tangisan yang berpanjangan memecah suassana pagi itu. Aku dengan pakaian lengkap pergi ke Surau di hujung kampung untuk memukul "gendang"(Kerantong).Memukul "Gendang' adalah bertujuan untuk memberi isyarat kepada orang kampung, bahawa ada kematian ketika itu. Kayuhan basikal aku begitu laju tidak seperti selalu.

Sebelum sampai ke Surau, aku singgah sebentar ke rumah Mak Cik Kiah, untuk memberitahu akan berita yang sedih itu. Mak Cik pun turut serta menangisi dan berpesan kepada aku " Zam jangan bersedih, jangan lupakan emak kamu walau pun dia telah meninggal dunia". Aku hanya menganggukkan kepala sahaja. Tiada daya aku untuk berkata apa-apa.

Setelah pulang dari Surau, suasana di rumah telah berubah. Ramai orang kampung yang datang untuk menziarahi arwah emak. Kami sekeluarga tidak dapat menyimpan perasaan sedih masing-masing. Hanya tangisan dan deraian air mata menghiasi hari tersebut.

Kini, 17/6/2012 genaplah 25 tahun pemergian emak. Sudah 25 tahun jugalah kami tidak dapat merasai kasih-sayang seorang emak. Kami juga tidak dapat lagi merasai masakkan emak. Semuanya masih tersemat dalam sanubari. Emak semasa hidupnya seorang yang tegas. Kami adik beradik memang takut akan emak berbanding Ayah. Pernah aku dikurung di dalam bilik kerana gagal untuk mendapat tempat yang baik dalam peperiksaan. Dia tidak membenarkan aku keluar rumah. Kini aku tahu, kenapa emak begitu tegas dalam menjaga kami. Dia begitu sayang kepada kami. Seringkali dia berkata , "dengan ilmu sahaja yang dapat mengubah kehidupan kami adik beradik". Betul cakap emak.

Kalau emak masih ada, mungkin dia akan seronok melihat kami adik beradik. Bagi aku, kini aku sudah mempunyai 3 orang anak. Memang sukar dan mencabar dalam memenuhi kehendak anak-anak. Pernah juga aku terfikir, macam mana emak dan ayah memeliahara dan mengasuh kami walaupun dengan keadaan yang serba kekurangan. Aku sering juga menceritakan kepada anak-anakku perihal emak. Emak tegas tapi baik. Sungguhpun mereka tidak sempat melihat wajah Emak, tapi aku tetap menceritakan kepada mereka. Bagaimana kami adik beradik menjual kuih di kedai. Pukul 530 pagi Aku, Kak Rehan dan Yong akan menghantar kuih ke kedai. Begitu juga dengan Yong, pernah menjual kuih sewaktu di sekolah. Abang Mizi pernah menoreh getah sebelum pergi ke sekolah. Semua peristiwa masih tersemat didalam kotak kenangan. Kami sama-sama mencari rezeki untuk membantu Ayah.

Putaran roda masa bergerak dengan pantas. Pada tahun 2006 ,Yong telah meninggalkan kami adik beradik. Arwah Yong meninggalkan kami adik beradik. Keluarga aku semakin "mengecil". Kalau dulu sewaktu balik ke kampung, di rumah Yong tempat persinggahan pertama aku. Tapi kini tidak lagi.
Al-Fatihah untuk Arwah Emak, Arwah Yong, Pak Uda dan Wan Andak......moga ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh.










Wednesday, April 18, 2012

Tazkirah

Dari Abi Usaid Malik bin Rabi’ah berkata bahwa ketika kami sedang duduk-duduk bersama Rasulullah, tiba-tiba datanglah seorang lelaki dari kabilah Bani Salamah berkata : “ Ya Rasulullah, adakah kebaikan yang dapat saya lakukan kepada kedua ibu bapa saya yang telah meninggal dunia ? Rasul menjawab : Ada, engkau berdoalah untuk keduanya, dan meminta diampunkan dosa-dosanya, dan tunaikan wasiat dan janji-janjinya, dan hubungkan silatiurahim dengan saudara dan keluarganya, dan hormati serta muliakan kawan-kawannya.“ (HR Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban)




Tuesday, April 17, 2012

Renungan

Buat Para Isteri...
Pernikahan atau perkahwinan membuka tabir cinta
Kasih dipadu cinta dicipta
Rahsia suami didalam genggamanmu
Lelaki yang kau nikahi adalah seorang lelaki
Suami yang menikahi kamu tidaklah semulia Muhammad s.a.w.
Tidaklah setaqwa Ibrahim
Tidak setabah Ayyub
Tidak segagah Musa
Apalagi setampan Yusuf
Justeru Suamimu hanyalah lelaki akhir zaman
yang punya cita-cita membangun keturunan yang soleh
Pernikahan atau perkahwinan mengajar kita kewajiban bersama
Suami menjadi pelindung, kamu penghuninya
Suami nakhoda kapal, kamu pengemudinya
Saat suami menjadi raja kamu nikmati anggur di singgahsananya
Seketika suami menjadi bisa, kamulah penawar ubatnya
Seandainya suami bengis lagi lancang, sabarlah memperingatkannya
Peringatan dan pedoman jadikan amalan
Kerana sesungguhnya
Perkahwinan mengajarkan kita perlunya iman dan taqwa
Untuk belajar meniti sabar dan redho ALLAH s.w.t.
Tugas dan peranan akan disoal disana
keringat tumpah ketika sujud bersama
harum syurga indah dirasa


Wahai isteri
Kamu bukanlah Khadijah yang begitu sempurna di dalam menjaga
Bukanlah jua Hajar yang begitu setia dalam sengsara
Kongsilah derita sengsara dengan suami
Nikmatilah benih syurga disamping suami
kita bersama mengutip pahala
sebelum kita berdua menutup mata....




Thursday, April 12, 2012

Tazkirah Jumaat

Rasullulah Shallahu'alaihi wassallam bersabda:
"Doa seseorang dari kalian akan dimakbulkan selama ia tidak bersikap tergesa-gesa, yakni dia berkata "Aku telah berdoa, tetapi doa aku belum juga dimakbulkan" (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Cerpen: Cinta Burung Kertas

Seperti biasa petang itu, Amin tergesa-gesa sewaktu pulang dari sekolah. Ibunya Mak Besah dah tahu sangat akan perangai anaknya itu. Amin terus ke biliknya. Beberapa minit kemudian dia keluar semula. Pakaian dah berubah. Seluar pendek dan baju t-shirt jersi bola. Di tengah-tengah baju tersebut tertulis “Manchester United”. Itulah pasukan pilihan Amin semenjak dari dulu lagi. Mak Besah hanya memerhatikan tingkah laku anaknya itu.

“Tak makan dulu ke Min”. Tanya Mak Besah lembut.
“Tak sempat la mak. Balik nanti Amin makan”.Itu jawapan dari Amin.

“Amin jangan main jauh-jauh ya Min. Balik sebelum Maghrib”. Itu ayat yang biasa Mak Besah pesan kat anak kesayangan dia itu. Mak Besah memang sayang sangat dengan Si Amin. Sungguhpun perangai dia macam itu, tapi Aminlah orang harapan dia nanti. Pernah sewaktu melahirkan Amin dulu, Mak Bidan Leha pernah berkata anak lelaki baru awak ini, akan jaga awak nanti. Kata-kata Mak Bidan Leha menghantui fikiran Mak Besah. Kini Amin telah dewasa. Itu cerita 15 tahun yang lampau.

“Amin nak pergi tepi sungai itu ajer”. Jawab Amin . Mak Besah faham. Di situlah tempat Amin bermain. Dia akan berkumpul dengan rakan-rakannya di situ. Pernah satu ketika ada beberapa orang budak yang mandi di sungai tersebut, hampir kehilangan nyawa. Mujurlah ada Amin yang pandai berenang. Orang kampung semua memuji akan keberanian Amin. Semenjak itu Mak Besah amat berbangga akan keberanian anaknya itu.

Amin mempunyai 5 adik beradik .Dia yang bongsu. Abang dan kakaknya semua telah berkahwin dan tinggal di bandar. Tinggal Amin dan emaknya sahaja yang tinggal di rumah itu. Orang-orang kampong selalu menceritakan kepada Mak Besah perihal kenakalan Amin. Mak Besah hanya mendiamkan diri sahaja.Tapi memang tak dinafikan. Mak Besah tahu Amin seorang yang nakal. Dia suka mengusik budak-budak perempuan. Terutamanya ketika mereka balik dari mengaji di waktu malam. Mak Besah tahu akan cerita itu. Mak Besah sedar akan tanggungjawabnya mendidik anak terletak di bahunya seorang. Suami Mak Besah, telah meninggal sewaktu Amin berumur 6 bulan lagi. Mati akibat kemalangan jalanraya. Tapi Amin tak pernah bertanya mengenai ayahnya.

Sampai di tepi sungai, tiada sesiapa pun di situ. Amin terus duduk di sepohon pokok yang telah tumbang. Di situ tempat duduk yang biasa dia gunakan. Kemudian Amin terdengar bunyi daun-daun yang dipijak.

“Assalamualaikum”. Tanya Edah ringkas.

Edah adalah anak Pak Akob. Rumah Edah terletak di hujung kampong. Edah adalah gadis pujaan bagi kawan-kawan yang sebaya dengan Amin. Edah pandai. Rajin membuat kerja sekolah. Kalau ada kerja sekolah, buku Edah lah yang menjadi rujukan Amin dan rakan-rakan.

“Waalaikumusalam” Jawab Amin. Amin berdebar. Belum pernah dia berjumpa seorang gadis di tepi sungai tersebut.

“Kenapa awak nak jumpa saya” Kata Amin yang masih lagi keliru. Amin dapat tahu bahawa Edah ingin berjumpa dengannya selepas sekolah.

“Amin, saya minta maaf. Terima Kasih kerana sudi datang. Amin saya nak bagitau pada awak, saya akan berpindah ke Kuala Lumpur. Ikut ayah saya.” Kata Edah dengan nada sayu.

Edah masih lagi teringat ketika Amin memasukkan seekor lipas ke dalam baju dia. Edah menangis tersesak-esak ketika pulang ke rumah. Edah tahu Amin seorang yang nakal. Tapi Edah juga tahu, Amin seorang yang baik dan penyabar. Itu yang membuat Edah ingin sangat berjumpa dengan Amin berbanding dengan yang lain.

“Amin, ni hadiah dari saya. Seekor burung kertas. Saya akan simpan seekor. Amin akan simpan seekor. Kita sama-sama jaga burung kertas ini. Satu hari, semuga dua-dua burung kertas ini akan berjumpa semula. Semuga burung kertas ini hidup bahagia sentiasa.” Suara Edah agak menggeletar. Dia sedih untuk meninggalkan Amin. Dia sebenarnya ingin mendampingi Amin.

“Terima kasih Edah. Saya minta maaf kalau selama ini, sayang banyak mengusik awak. Maafkanlah saya Edah”. Kata Amin dengan lembut.

Suasana sunyi seketika. Hanya terdengar bunyi air sungai yang deras. Sesekali desiran angin menyapa pipi Amin dan Edah.

“Tak apa Amin. Saya dah maafkan awak” Edah membuat Amin berasa lega

“Amin, mahukah Amin berjanji akan menjaga burung kertas ini seperti, Amin menjaga diri Amin sendiri”. Kata Edah meminta kepastian kepada Amin.

“Edah, saya berjanji. “Jawab Amin ringkas.Amin kelu tak terkata. Dia terkejut bila menghadapi peristiwa sedemikian rupa.

“Sebenarnya Edah, saya suka pada awak. Tapi saya takut untuk berterus terang pada awak” Kata-kata Amin membuat Edah hampir menitiskan airmata.
“Amin, saya harap kita berjumpa lagi. Saya pun suka pada awak” Edah memberanikan diri. Airmata Edah tidak dapat ditahan-tahan lagi. Edah sedih kerana tak tahu bila lagi dia dapat berjumpa dengan Amin.

                                                            ***
Amin tersentak apabila dia terdengar nama dia dipanggil.

“Amin, emak panggil ni tak dengar ke?”Mak Besah berleter panjang. Mak Besah sedar akan tingkah laku Amin yang berubah serta merta. Amin kini amat berubah. Tidak lagi seperti dulu.

Amin kini hanya mengusahakan tanah arwah ayahnya dengan menanam pisang. Selepas tamat persekolahan, Amin berusaha untuk memajukan tanah tersebut. Sungguhpun keputusan SPM boleh dibanggkan, tapi Amin menolak untuk meneruskan pengajiannya. Amin nak jaga emak, itulah ayat yang sering Amin gunakan. Sesekali Mak Besah terfikir, betul jugak kata-kata Mak Bidan Leha itu dulu..

“Ni hah…Amin. Ada surat untuk Amin. Kak Munah bagi".Kata Mak Besah. Mak Besah tahu, Kak Munah adalah ibu kepada Edah. Rakan sebaya Amin sewaktu sekolah dahulu.

Selepas membaca surat tersebut, Amin terus kaku. Dia mencampakkan surat tersebut ke tanah. Amin menangis sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Amin menangis teresak-esak. Mak Besah terpinga-pinga dengan perasan ingin tahu.

“Maakkk ingat tak..Amin pernah cerita pada emak. Amin suka pada seorang perempuan. Dia ialah Edah makk..Dia dah tak ada. Dia dah meninggal emakkkk” Kata Amin dengan nada yang sayu. Mak Besah memeluk anak kesayangannya. Mak Besah turut simpati akan kehilangannya tersebut.

“Sabar nakkk…tuhan suka orang yang bersabar nakk” ayat Mak Besah ringkas.

“Tapi emak, kami pernah berjanji..untuk bertemu kembali.” Tangisan Amin memenuhi ruang laman rumah. Di tangan Amin ada seekor burung kertas milik Edah.Itu kiriman Edah kepadanya.

“Emak, kami pernah berjanji..nak jaga burung kertas ni bersama-sama. Tapi Edah dah tak ada sekarang. Tapi saya akan menjaga burung kertas nie seorang diri. Saya sayangkan Edah.” Suara Amin sayu.

Amin membaca sekali lagi surat kiriman Edah:



Amin,

Edah rasa kita mungkin tidak dapat berjumpa lagi. Tuhan telah memanggil Edah. Untuk pengetahuan Amin, doktor telah menjangkakan akan kematian Edah. Edah mengidap penyakit barah otak. Sakit sangat Aminnn…Edah tak tahan.Edah ada kirimkan surat ini beserta burung kertas milik Edah. Harap Amin menjaga burung kertas itu sebaik mungkin. Namun Amin…kita akan berjumpa lagi…mungkin disyurga…

Salam Sayang

Edah

Amin terus kaku.Dia kini punya tanggungjawab. Menjaga dua ekor burung kertas….milik dia dan Edah….



Nukilan: Zamri Sarji

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...