Monday, November 26, 2018

Ceritaku...: Menjadi lelaki dewasa..

Ceritaku...: Menjadi lelaki dewasa..: Setiap kali bermulanya cuti persekolahan, hati aku mula berdebar-debar. Aku menjadi gelisah. Peluh mula berkumpul. Fikiran aku mula terga...

Menjadi lelaki dewasa..


Setiap kali bermulanya cuti persekolahan, hati aku mula berdebar-debar. Aku menjadi gelisah. Peluh mula berkumpul. Fikiran aku mula terganggu. Peristiwa 40 tahun lampau datang kembali. Singgah di benak fikiran.

*******
Suasana rumah aku malam itu begitu bising. Suara kanak-kanak kecil yang menangis memecah kesunyian malam . Lapar agaknya. Bunyi kanak-kanak berkejaran memang jelas kedengaran. Aku masih lagi di bilik. Terbaring. Aku sedang memikirkan nasib aku. Esok adalah hari bersejarah dalam hidup aku.
“Mana budak si zam nie, dari petang tadi aku tak nampak dia” jelas kedengaran suara Pak Chu mencari aku. Aku hanya mendiamkan diri di dalam bilik.
“Zam ada di dalam bilik dia” sahut emak dari dapur. Emak memang mengetahui aku berada di bilik. Tadi emak datang ke bilik, memujuk aku untuk makan. Tapi aku menolak dengan alasan sudah kenyang. Padahal aku memang lapar ketika itu.
“Assalamualaikum” tiba-tiba aku terdengar suara orang memberi salam. Suara itu datang dari pintu bilik aku.
“Waalaikumusalam” aku menjawab sambil berjalan membuka pintu bilik. Pak Chu sedang berdiri di muka pintu dengan wajah tersenyum. Pak Chu memang jarang sekali menghadiahkan senyuman. Mukanya memang digeruni oleh kami adik-beradik. Aku pun tak tahu sebab apa!
Aku menghulurkan tangan, bersalam sambil tunduk hormat.
“Kenapa berkurung dalam bilik nie?” Pak Chu memulakan siasatan. Pak Chu adalah bapa saudara aku. Dia adalah adik kepada ayah aku. Beliau akan hadirkan diri bila ada kenduri atau majlis yang melibatkan keluarga aku.
Aku terdiam. Tertunduk seribu bahasa. Aku cuba menghulurkan senyuman. Tapi macam hambar senyuman aku.
“Semua orang lelaki akan menghadapi peristiwa ini. Tak dapat lari. Pak Chu dahulu pun macam zam juga. Lepas makan nanti, solat, selepas itu terus tidur ” Pak Chu membebel seorang diri. Aku membiarkannya sahaja.
Aku tetap seperti biasa. Diam dan menundukkan kepala.
Pada keesokkan harinya, aku dikejutkan oleh bunyi bising di halaman rumah. Suasana memang membingitkan telinga aku.
Aku diarahkan oleh emak untuk pergi ke sungai. Aku pun bergegas dengan pantas. Sampai sahaja aku di sungai, aku dapat melihat beberapa orang kanak-kanak sedang mandi. Sejuk kalau mandi ketika ini. Bisik hati aku.
Aku terus menerjunkan diri untuk mandi bersama mereka. Memang sejuk. Selepas beberapa ketika, aku terdengar suara orang memanggil. Menyuruh aku untuk menyudahkan mandian aku. Kemudian aku di minta untuk naik dibelakang badan Pak Long.
“Zam naik di belakang badan Pak Long. Pak Long akan bawa zam sampai ke rumah” kata Pak Long. Aku hanya menurutkan sahaja kata-kata Pak Long. Seronok juga naik atas belakang badan Pak Long. Badan aku akan terhoyong hayang ke kiri dan kanan, mengikut setiap langkah Pak Long. Aku mula menguntum senyuman. Kesejukkan mandi di sungai masih aku rasakan.
Sampai di rumah, Pak Long meletakkan aku di kawasan depan rumah. Aku diberikan sehelai kain pelikat oleh emak. Aku memakainya. Kemudian duduk di ruang tamu rumah. Aku memerhatikan keadaan sekeling. Mencari seseorang. Tak akan tak datang lagi! Bisik aku perlahan.
Tiba-tiba terdengar bunyi sebuah enjin motosikal jenis Vespa. Bunyi motosikal Vespa itu berjaya menarik perhatian orang di dalam dan di luar rumah.
Ah…sudah datang. Aku mengeluh sendirian.
“Assalamualaikum semua” orang yang menaikki motosikal itu member salam.
“Waalaikumusalam, jemput naik Tok”. Ayah aku mempelawa lelaki yang separuh umur itu untuk terus naik ke atas. Lelaki yang menaiki Vespa itu ialah Tok Mudim Ripin. Itulah namanya. Nama yang sering disebut-sebut oleh kanak-kanak seusia dengan aku. Tok Mudim Ripin memang telah sejak sekian lamanya, berkhidmat dengan penduduk kampong aku. Dia berbadan agak gempal. Bermisai. Hemm..memang menggerunkan aku.
Kemudian Tok Mudin Ripin duduk mengadap aku.
“Takut ke?” Tok Mudim bertanya aku. Mestilah takut. Bisik aku. Aku hanya menganggukkan kepala.
“Jangan ler takut, sekejap jer. Tak sampai 10 minit pun”. Kata Tok Mudim Ripin sambil mengasah pisau. Tak sanggup aku melihat Tok Mudim Ripin ketika itu.
“Pernah terjadi pada suatu ketika dahulu, ada seorang budak lelaki lari dan terjun dari tingkap. Disebabkan takut sangat. Tapi akhirnya, keesokkan harinya, Tok berjaya juga menyelesaikan kerja To”. Tok Mudim menceritakan kepada aku dengan penuh semangat. Dia cuba menarik perhatian aku.
Ketika itu, cerita sebegitu tidak menarik minat aku untuk mendengarnya. Apatah lagi untuk memberi ulasan atau bertanya sebarang soalan.
Tok Mudim Ripin mengambil sehelai daun sireh, dan meletakkan beberapa keping pinang. Dia melipatkan daun sireh itu dengan cermat.
“Anak nama apa? Tok Mudim Ripin bertanya kepada aku.
“Zamri” Jawab aku ringkas. Suara aku agak bergetar. Takut bercampur gelisah.
“Anak Zamri ambil satu dan kunyah perlahan lahan” Tok Mudim Ripin memberi lipatan sireh itu kepada aku. Aku makan dan mengunyah perlahan-lahan. Inilah pertama kali aku makan sireh yang ada kepingan pinang di dalamnya. Untuk mengembalikan semangat, itu kata Tok Mudim Ripin.
Selepas itu, suasan menjadi sunyi seketika. Orang ramai hanya menumpukan aktiviti di dalam rumah. Mereka bagaikan ingin mendengar setiap patah perkataan yang di keluarkan oleh Tok Mudim Ripin.
Aku melihat, terdapat sebatang pangkal pokok pisang yang diletakkan berdekatan dengan Tok Mudim Ripin.  Kemudian aku melihat Tok Mudim Ripin membetulkan kedudukan batang pokok pisang tersebut.
Beliau menepuk-nepuk sedikit batang pokok pisang tersebut. Untuk apa? Tidak aku tahu kenapa Tok Mudim berbuat begitu.
“Anak Zamri, mari duduk di sini” aku tersentak bila nama aku di sebut. Muka aku seperti tidak berdarah. Langkah kaki aku bagaikan dipaksa untuk bergerak. Perlahan sahaja aku melangkah.
“Anak Zamri sekolah darjah berapa? Tok Mudim Ripin bertanya kepada aku.
“Darjah satu” aku menjawab ringkas. Selepas itu aku tidak memperdulikan kata-kata Tok Mudim Ripin lagi. Goncangan jantung aku semakin kuat. Aku terdengar bunyi pisau, gunting dan bunyi seperti sehelai kain yang di koyak. Tiba-tiba aku teringat ketika mandi sungai seawal pagi tadi. Memang seronok mandi di waktu pagi. Kemudian aku naik di belakang badan Pak Long.
“Alhamdulilah, dah siap, bangun perlahan-perlahan. Sekarang Anak Zamri sudah menjadi lelaki dewasa”.Aku tersentak mendengar suara Tok Mudim.
“Sakit tak”. Tok Mudim Ripin bertanya kepada aku. Aku menggelengkan kepala sambil sempat memberikan senyuman.
Aku berjalan perlahan-lahan sambil memegang kawasan tengah kain. Ini adalah untuk mengelakkan supaya kain tidak terkena balutan yang di buat oleh Tok Mudim Ripin.
“Wahh bagus Anak Zamri nie, berani dan tak menangis pun. Macam itulah kalau hendak menjadi seorang lelaki”. Kata Tok Mudim Ripin.
Alhamdulilah, aku telah selamat berkhatan. Orang di kampong aku memanggilnya sebagai ‘masuk jawi’ atau bersunat. Aku pun tidak tahu, kenapa di panggil masuk jawi.

****

Peristiwa itu kadang-kadang membuatkan aku tersenyum sendirian. Seronok bila mengingatkannya kembali. Tetapi..perasaan takut memang selalu dapat dirasakan. .
Kini suasana berkhatan telah berubah. Tiada upacara mandi di sungai. Tidak ada lagi aktiviti naik di belakang orang.  Kemeriahan seperti dahulu sudah tiada. Doktor di klinik telah mengambil tempat orang seperti Tok Mudim Ripin. Zaman telah berubah. Suasana pun pasti akan turut berlaku perubahan.
AL-Fatihah kepada  Arwah Tok Mudim Ripin yang telah banyak menabur bakti dan jasa kepada orang kampung dan penduduk sekitar.

Zamri Prk
26.11.2018

*tempat “berkhatan”: Jalan Pahang, Tapah Perak

Thursday, November 22, 2018

Memburu bayang


Pada detik ini
Ketika kesunyian datang bertandang
Kedinginan menebal menumpang ruang
Sepi melekat di sisi alam
Aku tetap gigih berusaha
Bersemangat berpadu jiwa
Meneroka setiap sudut kenangan
Menyelongkar segenap lapisan pengalaman
Memburu bayang
Seorang yang bernama
Ibu, yang telah hilang dari pandangan...
Zamri Prk
16.11.2018
0200 am

Ulangtahun perkahwinan yang ke-20

Kita bersama di pelayaran ini…
(Buat isteri Norzaima Abd Rahman)

Kita bagaikan baru bermula
Pelayaran penuh gelora
Berpandu peta arah yang sama
Memegang kompas kecekalan sebagai panduan
Sambil kita bersatu dengan ketabahan
Kita berpadu dengan keluhuran
Menikmati setiap anugerah keindahan
Bersama berdayung di samudera kehidupan

Kita bagaikan baru bermula
Membuka layar rindu yang syahdu
Mengira buih di pantai kasih
Sambil bersama melihat awan kesetiaan
Kita mendakap nikmat kesabaran
Dalam redup matamu jelas terlihat
Ukiran keikhlasan indah terpahat

Kita di ajar membaca gerak angin di langit
Setiap ribut dan ombak yang menghempas
Kita cantas dengan pantas
Dalam tertib kita berdayung
Dalam sopan kita bergabung
Menuju ke sebuah pelabuhan
Kebahagiaan kehidupan…

Zamri Prk
21.11.2018

#ulangtahun perkahwinan yang ke-20

Wednesday, November 21, 2018

Bengekel Psikologi Kanak-Kanak
15.12.2018
UIAM Kuantan
9am - 4.30pm
Fasilitator: Dr Surayah Zaidon (UPSI)
Pakar Pendidikan Kanak-Kanak

Untuk pertanyaan/pendaftartan: 019-3060931(whatsaap only)

Wednesday, October 10, 2018

Sambungan..Cerita Aku (Siri 2)

 Sambungan…..
2.1.1984 (Siri 2)

Soalan-soalan itu bermain di fikiran aku ketika itu. Apa tindakan aku sekarang?
Menanti dan terus menanti. Tiada apa yang dapat aku lakukan, kata hati kecilku. Pada ketika itu, hanya aku dan Penyelia Petang sahaja yang berada di situ. Cikgu dan murid-murid yang lain telah masuk ke kelas masing-masing. Aku hanya memandang ke arah kantin. Kelihatan seorang perempuan yang berusia separuh umur dan beberapa orang pembantu, tengah sibuk menyediakan juadah untuk murid keluar rehat nanti. Tiba-tiba perut aku terasa lapar.
“Awak mari sini” ujar Penyelia Petang itu lagi.
Aku tersentak seketika. Lamunan aku terganggu.
“Macam ini.. awak pergi ke kelas ini, dan serahkan kertas ini pada Cikgu Kelas awak nanti? Penyelia Petang mengarahkan aku untuk pergi ke kelas seperti yang tertulis di kertas itu.
“Terima Kasih Cikgu” Jawap aku dengan nada lega.
Ketika itu aku hanya memikirkan kelas baharu aku. Siapa Guru Kelas Aku? Siapa rakan sekelas aku? Hah itu semua tak penting. Yang penting sekarang aku sudah ada kelas macam murid lain. Aku berkata sendirian.
Aku mengambil beg sekolah dan terus beredar pergi. Aku nak pergi ke kelas mana?
Cebisan kertas pemberian Cikgu Karim tadi ada di genggaman aku. Sambil berjalan aku pun membuka kertas tersebut. Kertas itu bertulis 1C1. Bermakna kelas Tingkatan Satu C Satu (1C1) adalah kelas aku sekarang.
Aku berjalan mencari kelas. Murid-murid yang lain sudah berada di kelas masing-masing. Dapat aku rasakan, mereka memandang ke arah aku, ketika aku berjalan di depan kelas mereka. Perasaan aku ketika itu bercampur baur. Malu sebab diperhatikan. Lega kerana sudah ada kelas, seperti murid lain.  Aku berjalan dan terus berjalan, mencari kelas Tingkatan Satu C 1.
Sampai di hujung bangunan, aku terjumpa kelas yang bertulis 1C1 di depan pintu. Aku terus mengetuk pintu dan memberi salam sebagai tanda hormat. Ketika itu seorang Cikgu Lelaki (Hashim Wahab) senang memberi penerangan.
“Yea.. awak nak cari siapa?” ujar Cikgu Hashim kepada aku. Cikgu itu membulatkan matanya ketika memandang aku. Aku berpaling ke arah murid-murid yang sedang duduk.. Tak sanggup aku melihat matannya.
Aku terus menunjukkan cebisan kertas pemberian Penyelia Petang kepada Cikgu Kelas 1C1. Semua murid di dalam kelas itu memandang ke arah aku. Aku menunduk sambil melihat kasut sekolah putih aku.
“Sila ambil tempat awak..duduklah di mana-mana pun” kata cikgu itu kepada aku.
Setelah aku duduk, aku menarik nafas lega.  Pada hari ini juga bermacam peristiwa yang berlaku  ke atas diriku. Degupan jantung aku kembali seperti sediakala. Aku tersenyum sendirian. Aku memandang rakan-rakan yang lain sambil menghulurkan senyuman. Senyuman tanda perkenalan. Senyuman tanda persahabatan.
.Aku mendapat rakan baharu ketika di kelas 1C1. Antaranya Anizam (Ketua Kelas), Karim, Alhan, Rosli (Yop), Morgan, Musalmi (Penolong Ketua Kelas), Letchumi , Norhayatie dan ramai lagi. Rakan-rakan dari Kaum Cina pun ada. Yang paling aku ingat adalah Hock Wai dan Ah Leong. Mereka berdua ini sering menjadi perhatian murid dan guru di sekolah ini. Agak nakal tetapi tidak dengan rakan-rakan sekelas.
Sesekali apabila teringatkan peristiwa zaman persekolahan, hati menjadi sayu. Bersama rakan-rakan yang lain kami bergembira, bergaduh, membuat bising di dalam kelas dan bermacam-macam lagi.  Tetapi kami tetap menghormati antara satu sama lain.
Peristiwa Tiga Puluh Empat tahun yang lalu tetap tersemat dan tersimpan kemas di album memori aku..
Moga kalian sihat sejahtera..
Zamri Sarji
Kelas 1C1
Sek Men Sri Kampar


*Siri 3 akan menyusul: sessi pembelajaran

Tuesday, October 09, 2018

2.1.1984 Cerita Aku ( Siri 1)

2.1.1984 (Siri 1)

Hari ini adalah hari pertama persekolahan untuk sessi tahun 1984. Bermakna, hari ini juga adalah hari pertama aku memasuki Alam Persekolahan Menengah. Rasa gementar tetap ada. Rasa macam pelik juga, kerana terdapat murid dari Kaum Cina yang bersekolah di sini. Satu kejutan buat aku. Semasa aku bersekolah di Sekolah Rendah, memang tiada seorang pun murid berbangsa Cina. Hari ini juga aku mendaftar sebagai murid Tingkatan Satu. Di sekolah ini, murid Tingkatan Satu akan bersekolah di sessi petang.

Semua Murid Tingkatan Satu dikehendaki berkumpul di Tapak Perhimpunan. Selepas ucapan oleh Guru Bertugas, semua murid dikehendaki mendaftar di kelas masing-masing. Keadaan ketika itu, memang gamat dan riuh rendah. Macam keadaan di pasar. Aku masih berdiri seorang diri. Aku tak tahu nak daftar di kelas mana satu? Aku hanya memerhati gelagat rakan-rakanku yang lain. Ada yang gembira, kerana mendapat kelas bersama rakan sekampung. Ada yang sedih, kerana terpaksa berpisah dengan rakan. Tetapi yang sebenarnya, kedudukan kelas telah ditentukan oleh pihak sekolah.
Masa begitu pantas berlalu. Lebih dari separuh murid telah pergi ke kelas masing-masing. Aku masih termangu-mangu di sudut kantin sekolah. Kemudian aku pergi ke meja pendaftaran kelas 1A3. Seorang Cikgu Perempuan (Cikgu Salamiah) di kelas itu bertanya kepada aku.
“Hah awak kelas 1A3 ke?” Tanya cikgu dengan suara yang agak nyaring.
“Sayaaa…tak tahu kelas mana”. Jawap saya dengan nada cemas.
“Heh, macam mana boleh tak tahu..siapa nama awak?” Tanya cikgu tu lagi.
“Nama saya Zamri” Jawap aku ringkas.
Kemudian Cikgu Perempuan itu menyemak senarai nama Kelas 1A3.
“Nama awak tiada dalam senarai..pergi semak ke kelas lain” Jawap cikgu tu dengan nada tegas.
Aku menggangguk kepala tanda setuju. Nasib baik dia bukan cikgu kelas aku, bisik hati aku. Jumlah murid Tingkatan Satu yang tinggal di situ semakin berkurangan. Aku pun pergi ke meja pendaftaran kelas 1B2 (Cikgu Rosli). Cikgu yang bertugas pun membuat semakkan.
“Nama awak tiada dalam senarai kelas ini, pergi cari nama awak ke kelas lain?” Cikgu Lelaki itu berkata kepada aku. Aku tertunduk diam. Kemudian aku pergi ke meja pendaftaran ke kelas lain.

Kelas 1A2..tiada juga nama aku. Kelas 1B1…pun tiada nama aku.
Peluh mula membasahi baju aku. Perasaan cemas mula menghantui aku. Ketika itu, hanya  3 orang murid sahaja yang tinggal. 2 orang perempuan dan aku seorang lelaki. Kedua-dua murid perempuan itu berbangsa Cina. Mereka senasib dengan aku. Tiada kedudukan kelas dan tiada nama dalam senarai kelas. Penyelia Petang (Cikgu Karim) dan beberapa orang guru sedang berbincang sesuatu. Kemudian Penyelia Petang telah memanggil kedua-dua murid Cina tersebut dan memberikan kepada mereka sehelai kertas.
“Awak pergi ke kelas yang ada tertulis di kertas itu dan berikan pada Cikgu Kelas awak” Kata Cikgu Karim dengan nada yang tegas.
Kedua-dua murid Cina itu pun beredar ke kelas seperti yang diarahkan. Tidaklah pulak aku mengetahui mereka pergi ke kelas mana. Itu bukan urusan aku, bisik hati aku.
“Hah, tinggal awak seorang sahaja lagi” Kata Cikgu Karim.
Aku tersentak bila mendengar suara Penyelia Petang  yang agak menggerunkan aku. Tetapi aku beranikan diri dengan berdiri tegak seperti seorang askar sedang berkawad. Menunggu sebarang arahan.
“ Dulu sekolah mana?” Tanya Cikgu Karim dengan  ayat yang mudah.
“Sekolah Kebangsaan Sungai Lesong” Aku menjawab ringkas.
“Kenapa nama awak tiada dalam senarai murid ini, saya dah semak dalam senarai nama” Cikgu Karim berkata kepada aku.
Hati aku risau. Degup jantung aku bertambah laju. Pandangan aku seperti diselubungi kabus.
Adakah Cikgu Karim akan suruh aku balik rumah?

Disebabkan nama tiada dalam senarai, mungkinkah aku akan dipindahkan ke sekolah lain?


Wednesday, October 03, 2018

Pemasaran Politik: “Realiti vs Ilusi”
Beberapa hari sahaja lagi negara kita akan menghadapi Pilihan Raya Umum yang kali ke-14 (PRU 14). Proses ini adalah untuk memilih di kalangan calon-calon parti politik yang bertanding, 
dan seterusnya adalah untuk membentuk sebuah kerajaan yang sah. Pilihan Raya juga adalah salah satu elemen terpenting dalam sesebuah Negara Demokrasi Raja Berperlembagaan seperti Negara kita.
Bila kita bercakap mengenai pemasaran politik, kita memang tidak dapat lari bercakap 
mengenai perniagaan,pelanggan, barangan dan penyelidikan pasaran. 
Seorang sarjana barat pernah berkata "Pemasaran adalah jangkaan dan pengenalan keperluan dan
keperluan pengguna untuk memenuhi keperluan ini, dan untuk membuat keuntungan."
 (David Needham, 1996)
Pemasaran Politik  adalah bahagian terpenting dalam menentukan kesinambungan daya politik sesuatu
 kumpulan. Ahli politik yang matang akan menggunakan kelebihan kuasa pemasaran politik untuk
 mencapai visi dan misi politik mereka. Dalam konteks pilihan raya, memenangi kerusi yang ditandingi 
adalah matlamat utama ke semua calon bertanding. 
Penyelidikan pasaran digunakan, apabila membuat keputusan mengenai dasar  dan reka bentuk
 manifesto,untuk menepati kehendak masyarakat terbanyak. Dengan kata mudah, untuk  “mencuri”  
undi daripada pengundi. Latar belakang pengundi mesti di ambil kira. Profil pekerjaan, gender
dan faktor umur menjadi asas penyelidikan pemasaran politik. Begitu juga juga taraf pendidikan, 
pekerjaan dan lain-lain berkaitan dengan pengundi. Profil pengundi akan dapat membantu  untuk 
memahami dan mencipta segmen baru atau strategi dalam setiap tindakan.
Pada peringkat seterusnya adalah strategi penjenamaan dan pengurusan untuk menyediakan 
“kertas cadangan” untuk memenuhi kehendak masyarakat setempat. Ianya mestilah diyakini, 
dipercayai dan bersifat komprehensif. Susun atur program dan penumpuan golongan sasar 
 adalah antara yang perlu di beri perhatian khusus. Bagi golongan suri rumah, mereka lebih senang 
untuk bercerita mengenai tugas harian di rumah berbanding isu ekonomi atau isu antarabangsa.
Sebagai contoh, keperluan masyarakat di Tanjung Lumpur di Kuantan, adalah amat 
berbeza dengan keperluan masyarakat di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
 Ilmu pemasaran politik menjadi isu utama dalam usaha untuk mendapatkan undi terbanyak. 
Setiap parti politik akan membariskan calon-calon mereka untuk di pilih oleh pengundi. 
Faktor pemilihan calon seperti anak tempatan, keturunan , pengalaman calon sebelum ini turut
 menjadi perhatian pengundi. Masyarakat di kawasan pendalaman, pastinya akan memilih 
calon yang mereka selalu lihat atau  sering bertemu. Kelebihan kepada calon juga seandainya mereka
 boleh bertutur atau berbahasa dialek setempat. 
Bagi masyarakat moden, pengundi akan lebih tertumpu kepada nilai akademik calon, gaya berpidato, 
idea calon dan sumbangan calon kepada masyarakat setempat dan global. 
Golongan yang celik kepada media sosial dan mahir berkomunikasi secara moden mempunyai peluang cerah untuk menembusi ruang udara pengundi. Namun demikian, pertempuran sengit pasti berlaku, 
seandainya kedua-dua belah pihak membuat strategi dan percaturan yang serupa.
Perlu di ingatkan juga, manifesto atau kertas cadangan parti-parti yang bertanding juga
 adalah salah satu “marketing tools” yang terpenting juga. Idea seperti penambahbaikan atau idea baru, perlu disebarkan kepada masyarakat terbanyak. Masyarakat biasanya ingin tahu status
 atau jalan penyelesaian kepada sesuatu isu. Isu ini mungkin merangkumi  isu setempat atau  nasional. 
Bagi pihak parti yang bertanding manifesto yang menyeluruh mestilah di hidangkan untuk 
dinikmati oleh semua golongan. Jangan ada golongan yang tercicir.
Akhirnya, penyertaan politik dengan berkempen secara sihat dan matang akan
 memperlihatkan kematangan dan kualiti calon bertanding. Isu setempat menjadi agenda utama
 untuk diselesaikan. Kaedah penyelesaian dan cara mengatasi sesuatu masalah mestilah di tampilkan dengan cermat. Pada peringkat dasar juga, isu nasional dan global akan menjadi nilai tambah untuk
 membentuk arus atau gelombang  kemenanangan kepada seseorang calon
Namun demikian, pola perubahan bila-bila masa boleh berlaku bila tingkah laku individu 
terbabit dipengaruhi oleh elemen-elemen asas dan utama seperti faktor agama, gender, ekonomi, 
budaya, sosial dan lain-lain. Ini yang amat sering dirisaukan oleh semua calon bertanding.
 Perubahan yang di luar kawalan menjadi titik tolak kejayaan mereka.

“Kita Raikan Pesta Demokrasi..Jom Turun Mengudi”
Zamri Prk
Kuantan, Pahang

*telah disiarkan di akhbar Sinar Harian bertarikh 6.5.2018

Tuesday, October 02, 2018



24.12.2017
Program Lepak Santai
SPM 1988
SM Sri Kampar

Memang susah nak kumpulkan member-member sekolah. Ini jer yang berjaya dikumpulkan. Maklumlah masing-masing sudah ada tanggungjawab dan tugas masing-masing.

Malam
Saat meniti malamku
 Begitu sarat di ratah kesunyian
Bulan sembunyi malu
Tanpa cahaya yang datang membantu
Tompokan bintang berselerak
Kerdipannya  jauh di angkasa
Kerdipannya semakin layu

Saat menikmati malamku
Kesejukan datang bertamu
Datang membawa seribu kenangan
Cerita kita dalam perjalanan
Kisah  cinta terselit kerinduan
Hilang terkandas di bawa arus deras

 Di sungai  sebuah kehidupan…

Zamri Prk
Kuantan
Kursus ini bertujuan memberi pendedahan tentang psikologi kanak-kanak kepada sesiapa sahaja yang berminat dengan dunia kanak-kanak. Penerangan akan diberikan mengenai keseluruhan psikologi kanak-kanak yang meliputi proses dan prinsip pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak yang berumur 0 hingga 6 tahun. Teori-teori berkaitan juga akan dibincangkan bagi memahami implikasinya ke atas proses pembelajaran kanak-kanak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...