Friday, August 22, 2014

Puisi Untuk Seorang YB

Puisi Untuk Seorang YB


(Yang Berkhidmat)

Selamat Pagi YB
Keluar rumah seawal pagi
Tak pun sempat  berjumpa isteri
Anak-anak apatah lagi
Masih bermimpi di bilik sendiri

Hari ini YB berjalan lagi
Berjumpa orang di pasar pagi
Sambil minum kopi dengan capati
YB bercakap bagaikan menteri

Semua kedai YB kunjungi
Dari kedai besi hingga ke kedai Dobi
YB bercakap perihal ekonomi
Wajib bersyukur  nikmat yg diberi

YB makan di petang hari
Sambil berkata kepada pengundi
Cita-cita YB bukan nak jadi Perdana Menteri
Cukuplah sekadar Menteri Dalam Negeri

Waktu malam YB bermesyuarat lagi
Berbincang   atur strategi
Bagaimana hendak meraih undi
Supaya menang  besar majoriti

YB pulang waktu dinihari
Pagar rumah sentiasa  berkunci
Bukan apa kata YB
Takut rumah dimasuki pencuri.

ZamriSarji
Kuantan, Pahang

Puisi Malam Ramadan

Puisi Malam Ramadan



Puisi Malam Ramadhan

Di saat nafsu perlu diselia
Wangian syurgaMU mengharumkan dunia
Taubat dan sesalan pada dosa
Sesalan sehingga tertumpahnya airmata
Solat dan puasa mengharapkan pahala
Moga iman dan taqwa duduknya  bersama
Panji  syariat berkibar megah di angkasa
Janji keampunan adalah nyata
Ampunilah aku wahai Pencipta......

Zamri Sarji
UIAM Kuantan

Monolog untuk Seorang Guru



Monolog untuk Seorang Guru

Seorang guru yang aku tahu
Mengajar ilmu tak kira waktu
Ilmu yang ada dikongsi selalu
Guru sering berkata kepada aku
Kejayaan akan datang kepadamu
Jika kita berusaha tanpa jemu

Seorang guru yang aku tahu
Membawa bersama berbagai buku
Untuk dikongsi semua ilmu
Agar diriku tidak ditipu
Kerana dunia bukan macam dahulu
Tiada tweeter dan muka buku

Seorang guru yang aku tahu
Masuk ke kelas tepat pada waktu
Melayan kerenah murid tahun Satu
Senyum dibibir selagi mampu
Tidak pernah guru datang mengadu
Minta hadiah wang beribu
Di dalam kelas menjadi ibu
Ketika dipadang tegas selalu
Peluh keringat melekat dibaju


Berjasa Berbudi matlamat hidupmu
Moga Allah Melindungimu selalu
Kerana kau adalah seorang guru yang aku tahu....

Zamri Sarji
Kuantan, Pahang

Untuk Bekas Pelajar Sek Men Sri Kampar...

Sticker Bekas Pelajar SMSK

Bagi memenuhi permintaan ramai, hasil perbincangan dengan beberapa orang rakan maka, terhasillah sticker kereta ini. Begitupun, pada awalnya ianya hanya menjadi topik "perbincangan  kopi" tetapi ahkirnya menjadi kenyataan jua.
Kehadiran dan kemunculan sticker ini adalah untuk mengeratkan silaturrahim dan ukhwah sesama bekas pelajar. Ianya juga bukanlah untuk memisahkan kita dengan orang lain, tetapi untuk menguatkan kita sesama Islam.

Thursday, August 21, 2014

Hari Raya Aidilfitri 2014

 
SELAMAT HARI RAYA
TAHUN 2014
 
 
 
Keriangan jelas terbayang...

 
Gambar anak-anakku...yanna, aiman dan danish. Wajah gumbira sebab baru lepas dpt duit raya.

 
Diriku.....disamping isteri tersayang.

 
Aiman dengan gaya "macho"...ahakkkkk

 
Macam biasa...yanna dengan aksi selfie...hemm minah selfie...
 

Nota Kuliah: Migrasi dan Isu Perbandaran




1.0       Migrasi
Tidak seperti kelahiran atau kematian, penghijrahan atau migrasi bukanlah acara semulajadi berlaku. Salah satu daripada ciri yang boleh dikira dan diklasifikasikan walaupun ada keraguan sedikit iaitu sama ada seseorang yang bergerak  dan bergantung kepada  jarak yang yang tetap. (William Petersen, 1978).
Perubahan atau jarak sering kali dikaitkan juga dengan pendekatan migrasi. Namun demikian, migrasi mempunyai kaitan yang rapat dengan pergerakan seseorang atau jarak pergerakan seseorang (Shaw, 1975)
Dalam dunia yang moden sekarang, migrasi berlaku kebanyakannya disebabkan oleh faktor ekonomi. Terdapat “pull factors” yang menjadi pencetus fenomena ini berlaku.
Bila ditinjau pada skala yang lebih lanjut, tahap migrasi adalah lebih besar kepada pergerakan penduduk dalaman (berpindah dalam negara yang sama) berbanding bergerak antarabangsa antara negara yang berbeza. (Pieter Kok, 1999)
Para sarjana barat telah mengklasifikasikan migrasi adalah pergerakan seseorang yang merentasi sesuatu sempadan. Migrasi juga akan menjadi salah satu elemen terpenting dalam perubahan morma-norma masyarakat. Sebagai contoh, perubahan dalam pemakanan. Nasi lemak, roti canai dan kuew teaw telah diterima orang semua lapisan masyarakat di Malaysia.
 2.0       Mengapa Migrasi Berpindah?
Berlakunya proses migrasi dalam sesebuah negara, jelas menunjukkan bahawa negara tersebut sedang membangun dengan begitu pesat. Namun ia bukanlah satu hal yang dapat dibanggakan. Kemasukan pendatang asing sememangnya diperlukan oleh negara ini yang mengalami proses peralihan pergantungan ekonomi daripada sektor pertanian kepada sektor perindustrian dan perkhidmatan.
Di awal tahun 1990an, jumlah pendatang asing meningkat secara luar biasa hingga melebihi 1 juta orang, telah menyebabkan  isu ini menjadi semakin hangat dan menimbulkan kebimbangan dari pelbagai pihak, lebih-lebih lagi apabila kebanyakan mereka memasuki negara ini secara haram. Dalam konteks pembangunan negara kita, kehadiran hampir sebahagian besar tenaga buruh asing inilah yang merupakan faktor utama yang menyumbangkan tenaga buruh dan kerja ke arah pembangunan negara.
Dalam mencapai era wawasan 2020 ini, pengantungan kepada buruh asing khususnya dalam bidang pembinaan, perladangan dan perkilangan harus dibendung dengan segera. Sudah sampai masanya rakyat negara ini mencontohi warga asing ini yang rajin dan tekun bekerja walaupun bukan untuk negara sendiri. Sebenarnya banyak faktor telah memainkan peranan dalam terjadinya proses migrasi ini.
 Di antara faktor-faktor tersebut adalah:
2.1       Faktor ekonomi
Faktor ekonomi merupakan faktor utama yang menyumbang kepada berlakunya proses migrasi ini. Kedudukan ekonomi yang mantap dan kukuh menyebabkan wujudnya banyak sektor-sektor pertanian, pembinaan dan perkilangan, sekaligus membuka peluang kepada rakyat sesebuah negara termasuk juga golongan pendatang yang datang khususnya untuk mencari rezeki di negara orang.
Peluang pekerjaan juga wujud bagaikan "cendawan selepas hujan" disebabkan ramai rakyat tempatan tidak berminat lagi berkecimpung di dalam sektor perladangan dan pembinaan, maka kedatangan penghijrah dari Indonesia, Bangladesh dan lain-lain negara, in seolah-olah satu rahmat kepada para pengusaha sektor tersebut.
Kedatangan golongan pendatang ini terbatas kerana kesukaran untuk masuk secara sah ke dalam sesebuah negara. Kita ambil contoh negara kita Malaysia, walaupun berbagai kawalan ketat telah dijalankan namun sempadan dan perairan negara mudah dibolosi oleh mereka secara haram. Salah satu sebabnya ialah wujudnya tekong darat dan laut samada dari golongan mereka sendiri ataupun penduduk tempatan yang menjalankan kegiatan ini semata-mata kerana tamakkan wang ringgit.
Faktor ekonomi  adalah penyumbang kepada perlakuan migrasi dari kampung / luar bandar ke bandar kerana  perpindahan berlaku disebabkan sesuatu kawasan luar bandar atau rural area itu mundur dan daif. Oleh kerana ketidakselesaan untuk tinggal berikutan ketiadaan infrastruktur seperti bekalan elektrik, bekalan air yang bersih dan kemudahan jaringan jalanraya menyebabkan permigrasian berlaku. Tambahan pula dengan kemudahan sekolah untuk anak – anak dan perkhidmatan kesihatan yang kurang menjadikan migrasi itu berlaku. Pertambahan penduduk atau kadar populasi di luar bandar kian meningkat menyebabkan kawasan pertanian kian berkurangan dan daya produktiviti yang kian berkurangan juga antara faktor penyebab berlakunya migrasi.
Sektor pertanian adalah nadi pekerjaan bagi penduduk luar bandar oleh kerana kekerapan berlakunya masalah seperti banjir atau kemarau mendatangkan masalah kepada penduduk untuk mencari sumber pendapatan tetap.
 Oleh kerana acap kali ditimpa bencana alam seperti banjir, banyak kemusnahan kebun atau ladang seperti tanah sawah atau pun pokok getah yang mengalami kerosakan teruk.  Ini juga menjadikan penduduk luar bandar mencuba untuk bermigrasi ke bandar. Sektor pertanian tidak menarik perhatian dan kurang berdaya maju.
 Oleh kerana serba kekurangan di kawasan luar bandar, ini telah menyebabkan jumlah               pekerjaan yang terhad,peningkatan  pengangguran, dan dilingkungi oleh masalah    kemiskinan adalah penyebab masyarakat luar bandar melakukan migrasi.
2.2       Taraf ekonomi yang rendah di negara sendiri.
Bagi negara Malaysia khususnya, kemakmuran ekonomi seringkali dijadikan alasan untuk menjelaskan mengapa negara ini menarik perhatian ramai rakyat Indonesia dan Bangladesh malah termasuk juga negara-negara yang mengalami taraf ekonomi yang gawat.
Sejak berlakunya kegawatan ekonomi di rantau Asia ini yang menyebabkan jatuhnya nilai mata wang negara-negara dunia ketiga, dengan secara tidak langsung harga-harga barangan di pasaran meningkat dengan mendadak, maka ini juga merupakan salah satu faktor migrasi berlaku. Taraf kehidupan semakin tinggi jadi sebagai alternatifnya mereka terpaksa mencari rezeki untuk menampung perbelanjaan keluarga masing-masing, memandangkan taraf ekonomi negara mereka yang rendah maka wujudlah migrasi ke negara-negara yang menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada mereka.
Bilangan penduduk yang ramai dengan pertumbuhan ekonomi yang tidak seimbang di negara asal mereka, menyebabkan golongan ini terpaksa mencari alternatif lain untuk meneruskan kehidupan. Oleh itu jalan yang paling mudah ialah merebut kesempatan yang ada di negara yang menjanjikan pendapatan yang lumayan.
2.3       Faktor kestabilan politik
Kestabilan politik sesebuah negara memainkan peranan yang penting dan berkait rapat dengan ekonomi negara dan proses migrasi antarabangsa. Sebuah negara yang aman dan makmur secara tidak langsung dapat mengelakkan berlakunya migrasi penduduk negara tersebut ke negara lain, sebaliknya menyebabkan penduduk negara lain berhijrah ke negara tersebut.
Dari segi kajian yang telah dibuat menunjukkan ketidakstabilan politik sesebuah negara menyebabkan peratus migrasi yang tinggi, ini dapat dilihat pada negara-negara seperti Indonesia, Bangladesh, Filipina, Thailand dan lain-lain yang berhijrah ke Malaysia secara haram
2.4       Faktor sosiobudaya
Sebenarnya faktor sosiobudaya juga memainkan peranan utama menyebabkan pendatang Indonesia semakin bertambah dari hari ke hari ke negara kita. Bahkan boleh dikatakan faktor sosiobudaya ini memainkan peranan yang sama pentingnya dengan faktor ekonomi, mennjadi daya tarikan kepada pendatang Indonesia ini.
Faktor persamaan sosiobudaya antara kedua-dua negara akan selamanya didapati menjadi daya tarikan untuk mereka datang ke negara ini.Dengan adanya persamaan ciri-ciri ini proses untuk mereka menyesuaikan diri akan berjalan dengan lancar. Keupayaan mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan di negara ini merupakan "pasport" utama, membolehkan mereka mengekalkan dan mempertahankan kedudukan mereka di negara ini.
Hubungan kekeluargaan yang ada didapati sering dijadikan sebagai batu loncatan dikalangan pendatang baru untuk berhijrah ke negara ini. Penghijrahan kaum keluarga terdahulu seolah-olah membentuk satu rangkaian yang memudahkan kedatangan penghijrah lain.Tambahan pula terdapat sebilangan pendatang yang telah mendapat taraf penduduk tetap negara ini, membolehkan mereka ini secara tidak langsung membawa masuk kaum keluarga mereka yang lain.Hal ini dipermudahkan lagi jika pendatang Indonesia tersebut mempunyai sanak saudara yang terdiri daripada rakyat tempatan.
Persamaan cara hidup di kalangan rakyat Malaysia dan rakyat Indonesia, salah satu faktor yang dikenal pasti mengapa pendatang Indonesia lebih tertarik datang ke negara ini. Dari segi budaya, penduduk yang berbilang kaum, bahasa, makanan, dan kebebasan beragama merupakan antara ciri-ciri yang mempunyai persamaan yang erat antara penduduk kedua-dua negara. Keupayaan mereka menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat dapat mengelakkan daripada timbulnya konflik yang besar.
Persamaan bahasa yang ada memudahkan golongan pendatang ini berinteraksi dengan masyarakat tempatan. Keadaan ini membolehkan mereka berada di negara sendiri. Golongan pendatang Indonesia ini juga mudah tinggal di negara kita disebabkan warga besar mereka yang datang adalah beragama Islam.
Faktor persamaan agama juga memainkan peranan yang agak besar menjadi daya penarik kedatangan golongan ini. Atas dasar saudara di dalam Islam maka sedikit sebanyak kehadiran golongan ini dapat diterima oleh masyarakat tempatan khususnya di kalangan masyarakat melayu. Kebebasan beragama yang diamalkan di Malaysia secara harmoni dan dihormati oleh semua kaum, menguatkan lagi tarikan untuk datang ke negara ini.
Manusia yang inginkan kesenangan akan bertindak untuk berpindah ke bandar bagi menikmati kemudahan yang selesa di bandar. Kekurangan kemudahan asas  atau sosial di luar bandar menyebabkan migrasi berlaku. Ini adalah kerana di bandar atau bandaraya terdapat kemudahan pendidikan, kesihatan, hiburan dan yang lain – lain yang menarik perhatian terutama golongan muda -  mudi ke bandar.
Perkara penting untuk  mendapatkan pelajaran yang baik dan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi seperti belajar di kolej, maktab dan universiti samada Institusi Pngajian Tinggi Awam atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta menyebabkan migrasi berlaku terhadap golongan yang muda yang ingin meneruskan pengajian mereka.
Terdapat juga golongan migrasi yang berpindah kerana faktor mengikuti keluarga yang ingin mencuba penghidupan baru. Mereka ini berubah daripada  menjadi petani di luar bandar dan bekerja di kawasan perindustrian menjadi pekerja kilang atau bekerja di pejabat.
Ada juga yang melakukan migrasi disebabkan perkahwinan kerana setelah berkahwin pasangan akan menghadapi proses pembentukan institusi keluarga yang besar dan terutama persoalan mengenai kewangan. Oleh itu sumber pendapatan yang tetap diperlukan justeru itu migrasi ke bandar adalah langkah terbaik.
3.0       Faktor Peribadi/Keluarga
3.1       Faktor Diri (mengejar cita –cita)
Faktor diri atau ingin mengejar cita – cita adalah faktor dalaman yang menyebabkan migrasi oleh penduduk luar bandar ke bandar. Mereka menyedari akan kepentingan untuk berubah dari keadaan kesusahan atau kemiskinan berubah kepada keadaan yang lebih baik dan selesa.
Pemikiran positif wujud disebabkan kemahuan diri yang ingin terus maju seperti orang yang berjaya di bandar. Kepuasan diri dalam mengejar kejayaan untuk terus berjaya dan memastikan kehidupan yang selesa dan berada di dalam kesempitan wang adalah elemen penarik atau pull factors  berlaku semasa migrasi.
Cita – cita ingin menjadi orang yang berjaya dalam hidup adalah sesuatu semangat yang berani dan wajar bagi membina penghidupan yang sempurna dan bahagia bagi pemigrasi yang sentiasa dahagakan keselesaan hidup dalam arus pembangunan dan kemodenan negara. Ianya selaras dengan dasar Kerajaan Malaysia iaitu Gagasan 1 Malaysia. Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

4.   Dasar Kerajaan
Sesebuah kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab atas rakyatnya akan merancang dan melaksanakan dasar negara yang merangkumi pelbagai aspek. Dasar – dasar yang digubal oleh kerajaan adalah untuk pembangunan rakyat dan negara.
Dasar Ekonomi Baru yang pernah dilaksanakan oleh Kerajaan  Malaysia dan digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional dan dasar ekonomi seterusnya adalah dasar - dasar pembangunan untuk menjadikan negara ini maju dan makmur dalam segenap bidang.
Pembukaan kawasan baharu seperti bandar satelit antaranya  Petaling Jaya, Nusa Jaya , Wilayah Iskandar dan sebagainya adalah merupakan inisiatif kerajaan.  Kawasan perindustrian baharu seperti di Shah Alam, Kuala Lumpur, Perai, Kuantan dan pembukaan bandar – bandar baru mendorong migrasi penduduk luar bandar ke bandar.
Disebabkan pembukaan bandar dan kawasan perindustrian baharu yang memerlukan  tenaga manusia yang ramai maka migrasi penduduk berlaku. Kemajuan negara secara langsung dinikmati oleh penduduk yang berhijrah dan dengan ini dasar kerajaan menjadikan Malaysia negara maju seperti Wawasan 2020  akan dapat direalisasikan.
 5.0       Faktor-faktor yang melibatkan tempat tinggal asal penghijrah
5.1       Kekurangan Penawaran Buruh dan Usahawan
Kekurangan penawaran buruh dan keusahawanan adalah diakibatkan daripada kekurangan permintaan dalam pasaran di desa. Ini berlaku akibat daripada jumlah penduduk yang kecil. Oleh yang demikian, migrasi akan berlaku dengan kadar yang tetap dan berkala bagi memanfaatkan sumber buruh yang wujud. Di Malaysia, migrasi besar-besaan berlaku dalam konteks ini apabila pembukaan tanah rancangan Felda yang memerlukan sumber buruh yang ramai bagi membina satu konsep ekonomi baru di Malaysia.
Rancangan pembangunan tanah bagi tujuan membasmi kemiskinan dan peningkatan ekonomi Negara melalui pembangunan tanah-tanah untuk pertanian seperti UDA, Ketengah dan Kejora menyebabkan migrasi berlaku.
5.2       Bencana Alam
Bencana alam yang berlaku juga boleh mengakibatkan migrasi berlaku. Desakan kelemahan dan kekurangan di tempat tinggal asal dengan kekerapan berlaku bencana alam seperti banjir akan mengakibatkan migrasi berlaku bagi mengelakkan kerugian fizikal dan ekonomi. Dalam konteks ini, kerajaan yang memainkan peranan dengan membuka kawasan penempatan baru mengakibatkan masyaakat lebih terbuka untuk berpindah.
Banjir yang berlaku di desa dan kawasan-kawasan yang tiada pembangunan atau pendalaman seperti di Kampung Bantal, Jerantut Pahang yang sentiasa mengalami bencana banjir saban tahun tidak menyebabkan migrasi berlaku atas faktor keturunan, namun dengan penawaan kawasan baru untuk dijadikan penempatan mengakibatkan penduduk berpindah.
5.3       Bandar yang lemah
Bencana banjir yang berlaku di kawasan Bandar seperti Kota Tinggi Johor pada tahun 2006 dan 2007 mengakibatkan ramai penduduk berpindah ke Bandaraya Johor Bahru yang hanya sejauh lebih kurang 40 kilometer.
Migrasi daripada Kota Tinggi ke Johor Bahru berlaku kerana pilihan masyarakat yang lebih banyak tersedia. Faktor-faktor ekonomi dan geografi antara dua Bandar iaitu Kota Tinggi dan Johor Bahru yang hampir sama dan memberi akses yang luas terhadap peluang-peluang ekonomi di Johor Bahru membuka ruang migrasi berlaku. Apatah lagi peluang ekonomi di Kota Iskandar dan jarak di antara dua Bandar ini tidak jauh, menyebabkan pilihan migrasi menjadi keutamaan.
6.0       Kesan- Kesan Positif Migrasi.
Perpindahan penduduk meninggalkan kawasan pertanian yang luas membolehkan petani yang masih tinggal mengerjakan tanah yang ditinggalkan. Ini membolehkan petani itu mendapat hasil yang lebih tinggi dan petani juga dapat mengusahakannya dengan giat.
6.1.      Masalah pengangguran di luar bandar dapat diatasi apabila penduduk yang menganggur berpindah ke kawasan lain.
6.2.      Perpindahan keluar penduduk dari kawasan padat penduduk dapat meringankan beban kerajaan dari segi menyediakan kemudahan sasas. Dengan ini kewangan negara dapat diperuntukkan untuk pembangunan negara.
6.3.      Masalah setinggan dapat dikurangkan apabila penduduk setingan di bandar berpindah keluar
6.4.      Migran yang berhijrah ke luar negara dapat menghantar balik wang ke negara asal dan ini menguntungkan dari segi tukaran wang asing.
6.5.      Kemahiran yang dipelajari semasa di luar negara dapat diamalkan oleh migran apabila mereka balik ke negara asal. Contohnya rakyat Filipina yang bekerja di Amerika Syarikat atau rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia
6.6.      Migrasi keluar dapat menyelesaikan masalah lebihan penduduk seperti di Pulau Jawa yang melebihi penduduk optimum.

7.0       Kesan Negatif
7.1.      Migrasi keluar di kalangan profesional atau tenaga pakar menyebabkan “braid rain”. Penghijrahan keluar para profesional merugikan negara asal kerana kerajaan telah banyak memperuntukkan wang untuk pendidikan mereka.
7.2       Penghijrahan keluar golongan belia dari kawasan pertanian di luar bandar ke bandar- bandar telah menyebabkan berlakunya tanah terbiar. Ini merugikan negara dari segi pengeluaran pertanian.
7.3       Sebahagian besar daripada migran yang berhijrah ke bandar- bandar terdiri daripada kaum lelaki. Keadaan ini menyebabkan berlakunya ketidakseimbang dalam kompisisi jantina, di mana di desa- desa kaum perempuan lebih ramai daripada kaum lelaki.
7.4       Pengaruh budaya kuning mungkin tersebar apabila para migran tadi balik semula
ke kawasan asal mereka
 8.0       Kesimpulan
Migrasi dilihat sebagai agen sosialisasi yang utama di dalam masyarakat. Sungguhpun masyarakat pada umumnya mempunyai budaya dan adat yang tersendiri, namun begitu wujud juga ruang-ruang di mana perubahan berlaku. Memang tidak dapat dinafikan migrasi mempunyai kesan negatif yang begitu merunsingkan tetapi, dalam waktu yang sama migrasi juga bakal mewujudkan suatu persekitatan yang lebih maju. Tetapi kawalan dan pemantau perlulah dilakukan agar sesebuah negara dapat menikmati kemajuan dan kemodenan dengan acuan sendiri.
 9.0 Bibliografi
                1.         Kok, P. (1999). The Defination of Migration and Its Application: Making sense of                         recent South Africa census and survey data. SA Journal of Demography , 19-30.
            2.         Petersen, W. (1978). International Migration. Ann Review Sociol , 533-539.
            3.         R.P, S. (1975). Mogration theory and fact.Bibliography Series No 5. Philadelphia:             Regional  Science Research Institute.
            4.         Jabatan Perangkaan Malaysia Negara , Pasaran Dan Pemodenan Malaysia.
            Abdul Rahman Embong. Penerbit: Universiti Kebangsaan Malaysia,2000.
5.         MALAYSIA. Transformasi Dan Perubahan Sosial.
            Mohd Fauzi Yacob.Penerbit: Arah Pendidikan Sdn. Bhd. 2009.
6.         2011, Laporan Penyiasatan Migrasi Malaysia, Kuala Lumpur
            7.         Mohd Fadzil Abdul Rashid.”Migrasi dan kemiskinan Bandar : Suatu kajian                                    literature” http://epy-ktn.blogspot.com
            8.         Mohd Fadzil Abdul Rashid. “Analisis Interaksi Migrasi dan Pertumbuhan Bandar                                     di Wilayah Lembah Klang,Malaysia Menggunakan Model Komponen Berganda.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...