Monday, June 18, 2012

Peristiwa 17/6/1987...

Setiap kali munculnya  tarikh 17/6 pada setiap tahun, hati aku menjadi berdebar-debar. Bagai ada peristiwa buruk yang akan singgah dilaman hidupku. Aku cuba melupakan tarikh tersebut. Tapi aku gagal. Kedinginan malam yang pekat ini, seolah-olah bagai tahu akan perasaan dan gelora jiwa aku ini. Berkocak dan bergetar. Kalau mungkin manusia lain dapat mendengarnya, pasti mereka akan turut serta dalam situasi begini.

17/6/1987
Jam menunjukkan pukul 430 pagi. Aku, Abang Mizi dan Kak Rehan telah terjaga dari awal. Yong kakakku yang sulong, macam biasa selalu bergerak pantas dan agresif. Kami telah bersiap sedia untuk pergi ke Hospital Besar Ipoh. Emak sudah 3 malam berada disana. Dia ditemani dengan Emak Saudaraku, Makcik Ramlah. Kami panggil dia Wan Dak. Wan Daklah yang telah menjaga emak dari emak masuk wad hinggalah ke hari ini. Wan Dak ialah kakak emak yang tinggal di Tapah. Wan Dak jugalah yang menawarkan diri untuk menjaga emak siang dan malam tanpa jemu.

Sebelum emak terlantar di hospital, emak adalah seorang yang cergas dan suka membantu ketika kenduri kendara di kampung. Emak akan keluar seawal pagi dengan membawa sebilah pisau dan sebungkus gula dan susu. Gula dan susu itu akan digunakan oleh tuan rumah kenduri untuk kegunaan seharian. Pada tengahari emak tak balik ke rumah. Sehinggalah lewat petang barulah emak balik ke rumah setelah semua kerja-kerja dirumah kenduri selesai. Baik kenduri kahwin, majlis pertunangan mahupun majlis kesyukuran emak akan datang membantu. Emak juga tidak pandai memilih orang. Dia akan pergi dengan rela hati untuk membantu sedaya yang mungkin. Tapi, semenjak emak sakit, emak hanya duduk dirumah. Pada mulanya emak hanya demam biasa. Makan ubat, lepas tu sembuhlah. Tanpa di ketahui ketumbuhan di bahagian dada emak semakin membesar. Bisul katanya lagi. Aku sering diam sahaja bila emak berkata demikian. Masa tu, kami sekeluarga bimbang dan susah hati. Emak tidak mampu bangun dan 'bisul' semakin merebak. Ayahku menghantar emak ke Hospital Tapah.

Jam menunjukkan pukul 6:45 pagi. Mentari muncul lagi menghadiahkan sinar yang kekuningan. Yong mengarahkan kami semua agar bersiap sedia. Semua sarapan telah disiapkan oleh Yong. Macam biasa Yong memang cekap dan tangkas sewaktu di dapur. Cakaplah apa sahaja, dia akan buat untuk kami. Abang Mizi yang biasanya lambat bangun tidur, kini dia berubah.Mandi dan terus berpakaian lengkap. Kami menunggu arahan seterusnya dari Yong.

Jam menghampiri pukul 7:00 pagi. Sejuk diluar masih terasa. Tiba-tiba terdengar bunyi motorsikal. Pak Uda rupanya. Pak Uda adalah abang kepada emak. Dia juga tinggal di Tapah. Pak Uda adalah seorang pesara polis. Pak Uda sering menceritakan kepada aku mengenai komunis dan kisah sewaktu dia bertugas sebagai mata-mata.Pernah dia menceritakan kepada aku, dia pernah bersama ayahku bertugas sebagai SC sewaktu perang Jepun. Dia juga menceritakan kepada aku, bahawa ayahku berminat untuk menjadi polis, tapi telah di halang oleh Opah. Bahaya katanya.

"Assalamuaikum", Jawab Pak Uda sambil menanggalkan topi kaledarnya.

"Waalaimusalam", Jawab Ayah dengan lembut. Ayah memerhatikan gerak geri Pak Uda yang serba tak kena.
"Pak Uda harap awak kena banayak bersabar. Ingat dari Dia kita datang, pada dia jugalah kita akan pergi. Pagi tadi tepat jam 430 pagi, di hadapan Wan Dak, dia telah meninggal dunia. Wan Dak seorang sahaja yang berada di situ ketika itu." Jawabnya sayu. Air mata Pak Uda tumpah di halaman rumahku. Kami terdiam seketika. Tanpa aku sedari, air mata ku juga mengalir deras tanpa dapat ditahan lagi. Yong memeluk kami adik beradik. Pak Uda memegang bahu Ayah.
"Sabar, tuhan lebih sayangkan dia dari kita. Jangan bersedih." Kata Pak Uda sambil mengeluakan sapu tangan dan mengelap mukanya.
Suasana dirumah ketika itu, sungguh memilukan.  Deraian airmata dan tangisan yang berpanjangan memecah suassana pagi itu. Aku dengan pakaian lengkap pergi ke Surau di hujung kampung untuk memukul "gendang"(Kerantong).Memukul "Gendang' adalah bertujuan untuk memberi isyarat kepada orang kampung, bahawa ada kematian ketika itu. Kayuhan basikal aku begitu laju tidak seperti selalu.

Sebelum sampai ke Surau, aku singgah sebentar ke rumah Mak Cik Kiah, untuk memberitahu akan berita yang sedih itu. Mak Cik pun turut serta menangisi dan berpesan kepada aku " Zam jangan bersedih, jangan lupakan emak kamu walau pun dia telah meninggal dunia". Aku hanya menganggukkan kepala sahaja. Tiada daya aku untuk berkata apa-apa.

Setelah pulang dari Surau, suasana di rumah telah berubah. Ramai orang kampung yang datang untuk menziarahi arwah emak. Kami sekeluarga tidak dapat menyimpan perasaan sedih masing-masing. Hanya tangisan dan deraian air mata menghiasi hari tersebut.

Kini, 17/6/2012 genaplah 25 tahun pemergian emak. Sudah 25 tahun jugalah kami tidak dapat merasai kasih-sayang seorang emak. Kami juga tidak dapat lagi merasai masakkan emak. Semuanya masih tersemat dalam sanubari. Emak semasa hidupnya seorang yang tegas. Kami adik beradik memang takut akan emak berbanding Ayah. Pernah aku dikurung di dalam bilik kerana gagal untuk mendapat tempat yang baik dalam peperiksaan. Dia tidak membenarkan aku keluar rumah. Kini aku tahu, kenapa emak begitu tegas dalam menjaga kami. Dia begitu sayang kepada kami. Seringkali dia berkata , "dengan ilmu sahaja yang dapat mengubah kehidupan kami adik beradik". Betul cakap emak.

Kalau emak masih ada, mungkin dia akan seronok melihat kami adik beradik. Bagi aku, kini aku sudah mempunyai 3 orang anak. Memang sukar dan mencabar dalam memenuhi kehendak anak-anak. Pernah juga aku terfikir, macam mana emak dan ayah memeliahara dan mengasuh kami walaupun dengan keadaan yang serba kekurangan. Aku sering juga menceritakan kepada anak-anakku perihal emak. Emak tegas tapi baik. Sungguhpun mereka tidak sempat melihat wajah Emak, tapi aku tetap menceritakan kepada mereka. Bagaimana kami adik beradik menjual kuih di kedai. Pukul 530 pagi Aku, Kak Rehan dan Yong akan menghantar kuih ke kedai. Begitu juga dengan Yong, pernah menjual kuih sewaktu di sekolah. Abang Mizi pernah menoreh getah sebelum pergi ke sekolah. Semua peristiwa masih tersemat didalam kotak kenangan. Kami sama-sama mencari rezeki untuk membantu Ayah.

Putaran roda masa bergerak dengan pantas. Pada tahun 2006 ,Yong telah meninggalkan kami adik beradik. Arwah Yong meninggalkan kami adik beradik. Keluarga aku semakin "mengecil". Kalau dulu sewaktu balik ke kampung, di rumah Yong tempat persinggahan pertama aku. Tapi kini tidak lagi.
Al-Fatihah untuk Arwah Emak, Arwah Yong, Pak Uda dan Wan Andak......moga ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh.










No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...