Sunday, November 04, 2012

Nota Kuliah: Perlembagaan Malaysia




Asas Perlembagaan Persekutuan Malaysia ialah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Berikutan kemenangan Parti Perikatan dalam Pilihanraya Persekutuan pertama pada tahun 1955, Tunku Abdul Rahman Putra telah dipilih sebagai Ketua Menteri Pertama.

Penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merupakan langkah pertama ke arah membentuk Kerajaan sendiri selepas Britain bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 1956. Untuk tugas penggubalan Perlembagaan, Kerajaan British telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada wakil Kerajaan British sendiri, penasihat Majlis Raja-Raja dan pemimpin-pemimpin parti.

Pada Januari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai rombongan ke London untuk membincangkan soal penggubalan Perlembagaan Persekutuan dan merundingkan tarikh kemerdekaan untuk negara. Pada Mac 1956 satu Suruhanjaya Perlembagaan diketuai Lord Reid telah ditubuhkan untuk merangka dan meneliti Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Suruhanjaya tersebut telah mendapatkan pandangan parti-parti politik, persatuan-persatuan bukan politik dan individu tentang bentuk negara dan bangsa bagi negara ini. Dalam proses rundingcara itu, satu memorandum daripada parti Perikatan telah mendapat keutamaan.

Memorandum berkenaan, yang disebut sebagai Pakatan Murni, iaitu persetujuan secara bertolak ansur demi kepentingan bersama serta persetujuan menghormati hak-hak orang lain, menyentuh lima perkara utama iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kerakyatan sama rata. Perlembagaan yang digubal Suruhanjaya Reid ini diiktiraf Jawatankuasa Kerja sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu mulai tarikh kemerdekaan negara iaitu pada 31 Ogos 1957.
Apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1963, beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dan nama negara ditukar kepada Malaysia.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...