Tuesday, August 05, 2008

Kenangan di Kampung

Saat ketika di kampung adalah saat yang paling sukar dilupakan. Di kampung kami biasanya akan bermain bola di padang sekolah. Tapi pernah juga bermain di halaman rumah. Apa yang paling menyeronokkan ialah sebelum bermain bola, kami akan pergi mandi lombong. Memang bahaya. Tapi ketika itu bahaya bukan halangan utama. Mandi tetap mandi.

Selepas balik sekolah, campak beg dan terus ke lombong untuk mandi. Selepas penat mandi, kami akan bermain bola. Rakan-rakan yang lain seperti Nuar, Yid dan Nazir pasti akan turut serta. Mandi lombong memang amat merbahaya. Pernah aku terdengar orang lemas ketika waktu mandi di situ. Tapi kami buat tak tahu jer. Budak la katakan. Ketika mandi tu lah yang paling menyeronokkan. Macam-macam style di buat. Tapi orang tua-tua kampung ada cakap, keadaan lombong nie berbeza dengan air sungai biasa. Jangan mandi sampai tengah sebab lombong ni biasa ianya berbentuk seperti kuali. Tepi lombong tak dalam. Pastu pulak kat gigi air dia memang banyak selut dan lumpur.

Selepas mandi, terus ke padang main bola. Masa main memang la semua tunjuk aksi lincah. Masa itu pemain yang menjadi pujaan adalah Mokhtar Dahari, James Wong dan Hassan Sani. Pemain EPL tak masuk dalam senarai...sebab tak pernah tengok masa tu. Kalau hujan adalah saat yang paling menggembirakan. Pantang orang bawa bola..mesti nak cantas jer.

Selepas bermain dengan asyiknnya..tiba-tiba kedengaran azan mahgrib. Semua kena balik. Biasanya,memang kami akan balik ke rumah masing-masing sebelum azan maghrib lagi. Sampai dirumah, mandi dan terus bersiap-siap untuk pergi mengaji Al-Quran. Kadang-kadang tu mula mencari balik, mana beg mengaji diletakkan semalam. Standard la tu. Masa tu la mula emak bising dari dapur. Kena pergi awal, sebab nak balik awal. Kerja sekolah tak buat lagi nie.

Semasa sampai di rumah PakCik Rahman, kelihatan beberapa kanak-kanak lain telah siap sedia menunggu giliran. Macam biasa Pakcik Rahman memang tegas. Garang memanjang. Rotan sentiasa di tangan. Kalau kena rotan tu..memang terpelanting la songkok dibuatnya. Semasa menunggu giliran, mata mula semakin layu. Badan letih pastu tak makan nasi lagi nie. Dalam kepada dok ingat nasi ajer nie...

Selepas balik ke rumah, apalagi terus ke meja makan. Yong, kakak dan abang memang dah siap makan. Aku makan biasanya ditemani oleh emak. "Hari ini pindah surah tak" itulah ayat yang biasa ku dengar yang keluar dari mulut emak. Aku hanya menggangguk. Selepas makan, terus capai beg sekolah dan mula membelek-belek buku. Perrghh nasib baik tak der kerja sekolah. Semuanya dah buat semasa kat sekolah tadi.

Kakak dan abang sedang buat kerja sekolah masing-masing. Aku hanya memerhati dengan mata hampir layu. "Kalau mengantuk pergi la tido dulu..letih la tuu" kata emak kepada ku. Aku pun terus ke bilik dan menyiapkan kelambu dan terus tido.

Maka begitulah kehidupan aku sewaktu di kampung. Kini semuanyer sudah berubah. Lombong tempat kami berkubang sudah tidak boleh digunakan lagi. Semak samun. Rakan-rakan yang lain semuanya telah berhijrah ke bandar dan berkeluarga sendiri. Kadang-kadang aku tersenyum sendirian...budak kampung seperti aku boleh berjaya dan hidup dibandar-bandar besar. Kepada rakan-rakan yang lain: Nuar kini bekerja di Kem Kesihatan dan Yid bekerja sendiri - semua kenangan bersama kalian tetap dalam ingatan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...