Thursday, August 21, 2014

Nota Kuliah : Institusi Keluarga



1.0       Definasi Institusi Keluarga.
Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, keluarga adalah hubungan seseorang ahli dengan keluarga tersebut yang terhasil daripada perkahwinan. Ianya juga berdasarkan atau mengikut sistem atau pola perkahwinan masyarakat yang menetapkan bahawa ahli keluarga untuk tinggal bersama ahli keluarga yang lain. Pada kebiasaanya, institusi keluarga ini mempunyai ahli keluarga yang dikenali sebagai ayah, ibu dan anak. Sistem institusi keluarga ini mempunyai peranan dan fungsi yang tersendiri. Sebagai contoh, bapa akan mencari nafkah atau rezeki untuk keluarga. Manakala ibu akan menjaga anak-anak di rumah. Sistem yang berbentuk konvensional ini, masih lagi di amalkan di negara kita. Anak pula sering dianggap sebagai penyambung zuriat kepada hasil perkahwinan. Di dalam agama Islam, peranan seorang bapa lebih berbentuk kepada sifat seorang pemimpin. Tetapi di dalam artikel ini, saya tidak akan menyentuh institusi keluarga dari sudut pandang keagamaan. Artikel ini akan lebih tertumpu kepada elemen sosiologi.
Bila kita menyebut perkataan keluarga, ianya adalah terhasil dari proses perkahwinan.  Sudah menjadi norma masyarakat bahawa perkahwinan atau keluarga akan menghasilkan anak dan zuriat. Namun demikian, terdapat juga perkahwinan yang tidak menghasilkan zuriat. Tetapi institusi keluarga masih tetap wujud.

 2.0       Peranan dan Tanggungjawab
Bagi memastikan kejayaan dan kelancaran sesebuah institusi kekeluargaan, kedua-dua pihak, iaitu ibu dan bapa perlu memainkan peranan yang sama pentingnya. Bapa perlu bertindak dan berperanan sebagai pemimpin, peneraju dan penggerak segala urusan keluarga. Sebagai seorang suami dan bapa juga, tanggungjawab asasnya ialah menyediakan keperluan asas buat keluarganya seperti makanan tempat tinggal dan pakaian. Bukan itu sahaja, sebagai seorang bapa  yang bertanggungjawab, beliau juga harus memberikan pendidikan akademik yang penting untuk perkembangan minda dan juga pendidikan agama untuk kesejahteraan rohani dan fizikal supaya tidak tersimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Pendidikan yang formal mahupun tidak formal juga kadang kala berjaya bertindak sebagai sistem kawalan sosial yang berkesan.
Bagi seorang ibu dan isteri pula, tanggungjawab utamanya ialah memastikan keharmonian dan kelancaran dalam sistem rumah tangga. Secara ringkasnya, suami isteri atau  ibu bapa, mereka perlu memastikan institusi kekeluargaan yang dibina disulami dengan perasaan kasih sayang dan hormat menghormati. Elemen ini juga menjadi begitu penting di tengah-tengah kerancakan dunia dengan arus sains dan teknologi .
 Dalam menyentuh mengenai hubungan kekeluarga ini, kita memang tidak dapat lari dari memperkatakan pengaruh luar yang mampu untuk merubah pola institusi keluarga ini.
Keluarga dan rakan-rakan kumpulan dua ejen penting dalam sosialisasi. Remaja yang cenderung untuk menghabiskan lebih banyak masa dengan rakan-rakan daripada ahli keluarga. Dengan perubahan ini, mereka lebih mudah terdedah kepada pengaruh rakan sebaya daripada cadangan dan pengaruh ibu bapa mereka (Berndt,1979) Memang tidak dapat dinafikan anak-anak terutamanya remaja, meluangkan masa yang banyak bersama rakan sebaya mereka berbanding dengan ahli keluarga yang lain. Ini adalah sifat semulajadi para remaja. Mereka juga membuat interaksi sosial yang lebih akrab dengan rakan sebaya.  Berkomunikasi menerusi laman sosial sudah menjadi begitu sinonim dengan remaja. Berbanding dengan remaja zaman tahun 70-an dan 80-an. Kalau dahulu, remaja banyak menghabiskan masa terluang di rumah bersama ahli keluarga. Mereka akan bermain dan berkomunikasi sesama ahli keluarga yang lain. Tapi kini jauh berbeza. Kini mereka terdedah dengan “serangan” yang terhasil dari kemajuan sains dan teknologi. Penggunaan ruang “facebook” contohnya, dikatakan bahawa remaja lebih tertumpu kepada aktiviti seharian yang kadang-kadang menjurus mereka kepada perbuatan yang di luar norma-norma masyarakat. Mereka sanggup menghabiskan masa berjam-jam untuk berkomunikasi menerusi laman sosial ini. 
Pengaruh rakan-rakan sebaya telah dibuktikan antara salah satu pengaruh yang berkesan untuk menjadikan seseorang remaja itu untuk melakukan sati tindakan sosial yang tidak mengikut norma masyarakat. (Elliot, Huisinga & Ageton 1985) Para sarjana dalam bidang psikologi dan isu kekeluargaan telah membuat kajian mengenai isu fungsi keluarga. Namun demikian, antara penyumbang utama dalam kegagalan institusi keluarga ialah pengaruh rakan sebaya anak-anak terutamanya anak remaja. Ini begitu membimbangkan. Remaja dikatakan begitu terdedah dengan sikap dan tingkah laku rakan sebaya. Perasaan ingin mencuba sesuatu yang baharu begitu tinggi di kalangan mereka. Jika remaja tidak mempunyai asas jati diri yang kukuh, mereka mudah terjebak ke pentas gejala kurang sihat. Ini merupakan tugas ahli keluarga dalam memastikan proses ini berjalan lancar. Sifat ambil tahu dan nasihat menasihati secara berhemah perlu dilaksanakan.
 Teori sistem keluarga, ahli keluarga sebagai subsistem interaktif memberi kesan kepada sikap, emosi dan tingkah laku satu sama lain dan memberi kesan sepanjang kehidupan berkeluarga (Hayden,MDickson,  1998) Dalam waktu yang sama juga, faktor “role model”  juga jangan kita pinggirkan sahaja. Institusi keluarga perlu menjadi contoh terbaik kepada ahli keluarga. Seorang bapa perlu menunjukan sikap dan tingkah laku yang baik sewaktu berkomunikasi dengan anak-anak. Sifat kasih sayang perlu ditunjukan kepada anak-anak. Timbul persoalan, sejauh mana keberkesanan pengaruh ahli keluarga yang melakukan devian terhadap ahli keluarga yang lain? Banyak faktor yang turut menyumbang peningkatan kes-kes devian yang dilakukan oleh ahli keluarga.
 3.0     Kawalan Sosial
 Secara ringkasnya, kawalan sosial ialah satu aspek di dalam masyarakat yang bertujuan untuk melindungi aturan normal. Ini penting untuk kita melihat norma-norma masyarakat tidak di langgar dengan sewenang-wenangnya. Set peraturan yang ingin diperkenalkan mestilah selari dengan aturan agama dan norma masyarakat.  Sebagai contoh, remaja perempuan dikehendaki untuk berada di rumah ketika waktu malam. Sudah menjadi kebiasaan masyarakat melayu tradisional, remaja perempuan sentiasa berada di rumah ketika waktu malam. Namun demikian, sekatan seperti itu sudah menjadi longgar apabila ibu bapa sendiri tiada di rumah ketika waktu malam. Ini mungkin sebabkan beban tugas atau kerja, perniagaan dan sebagainya.
Perlu diingatkan bahawa semua gejala yang berlaku ketika ini adalah disebabkan oleh perubahan-perubahan yang berlaku dalam masyarakat. Sosialisasi berlaku tanpa disedari oleh masyarakat. Sekali lagi kita melihat peranan ibu bapa begitu penting dalam soal ini.
Ibu bapa perlu bijak dalam menentukan cara mana untuk mengetahui kegiatan anak-anak mereka.
Namun demikian pendidikan anak-anak dan pembentukan asas-asas perkembangan diri seseorang anak perlulah dilakukan dengan serius. Ibu bapalah yang dapat membantu anak-anak memperolehi pendidikan yang cemerlang dan bermutu. Oleh itu, mereka bertanggungjawab membentuk sikap yang positif di dalam diri anak-anak seperti ingin belajar, rajin membaca, ingin tahu, suka bergaul dengan orang lain, sentiasa aktif dan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti sekolah. Ibu bapa juga harus menunjukkan contoh dan sikap ini kepada anak-anak dan membimbing kelakuan mereka. Ibu bapa juga bertanggungjawab meletakkan asas-asas nilai murni dan pembentukan konsep diri yang positif di kalangan anak-anak (Zaleha Sulaiman 1995).
Ramai yang berpendapat bahawa melalui pendididikan dapat mengawal dan membantu untuk menyediakan satu set aturan kehidupan yang lengkap kepada anak-anak. Adakah semua anak-anak yang pandai dalam pelajaran tidak melakukan devian? Itulah persoalannya sekarang.
Menurut Mohamad Ali Hassan (2004), ibu bapa memainkan peranan yang cukup penting dalam pendidikan anak-anak dengan cara menghayati fitrah anak yang suci, mendisiplinkan anak-anak sejak peringkat awal. Memang kita tidak dapat nafikan proses pembelajaran dan mendisiplinkan anak-anak adalah menjadi tugas dan tanggungjawab ibu bapa. Dalam masa yang sama juga, terdapat banyak faktor-faktor lain yang juga turut menyumbang.  Antaranya ialah peranan rakan sebaya, media massa, faktor urbanisasi dan sebagainya.
4.0 Tujuan Kawalan Sosial
Menurut (Amla Salleh,Zahara Aziz,Zuria Mahmud, 2010 ) suami dan bapa dianggap sebagai ketua keluarga yang diletakkan tanggunggungjawab memberi nafkah, menjamin keselamatan dan kesejahteraan ahli keluarganya serta membimbing keluarga, iaitu isteri dan anak-anak supaya menjalani kehidupan berlandaskan prinsip Islam.  Dalam konteks ini, Islam menjadi tembok untuk membendung arus kemodenan. Ia juga bertindak sebagai alat untuk mendisiplinkan ahli keluarga. Semua sudah mengetahui, bahawa hampir semua agama mempunyai kepercayaan atau peraturan yang menyuruh kita berbuat kebaikan.  Larangan berjudi dan berbuat baik kepada manusia lain adalah contoh ajaran bagi agama Islam, Buddha dan agama lain.

Romera Monivas (2007) telah membuat kajian mengenai teori Emile Durkheim mengenai kaitan agama dan sains sosial. Beliau mendapati bahawa agama juga penting dalam kegiatan sosial manusia. Kawalan sosial dalam waktu yang sama dapat menyemai elemen pendidikan. Atas dasar ini jugalah, Kementerian Pelajaran Malaysia mula memperkenalkan mata pelajaran Moral untuk pelajar sekolah rendah bermula pada tahun 2000. Antara subjek atau pengisian yang terpenting ialah nilai-nilai agama dan keluarga dijadikan topic utama. Hormat menghormati sesama ahli keluarga juga turut diperkenalkan.  Para sekolah ini diharap dapat mengusai Moral untuk melahirkan generasi yang seimbang dari sudut emosi, sahsiah dan sosial.
 5.0       Cadangan Kawalan Sosial
Institusi keluarga seperti yang telah dibincangkan mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar ke arah mewujudkan persekitaran sosial yang sihat.  Usaha dan niat ini begitu mencabar apabila kita melihat perubahan ketara yang berlaku dalam masyarakat moden kini. Kalau dahulunya, keluarga begitu mudah untuk berjumpa ahli keluarga yang lain tetapi kini, ianya mungkin sukar kerana sibuk dengan tugas masing-masing. Bagi anak-anak pula, mereka mungkin akan “hilang” untuk pergi  mengikuti kelas tambahan, kelas muzik atau kelas bahasa.  Bagi para remaja pula, mereka lebih suka menyendiri di dalam bilik sambil bermain video game , komputer ataupun “facebook”. Perubahan ini adalah cabaran kepada semua ibu bapa.  Proses sosialisasi ini terjadi dengan pantas tanpa kita sedari. Ianya juga turut merubah norma-norma masyarakat itu sendiri.  Sebagai contoh, sebuah masjid akan menuar-uarkan aktiviti dan kegiatan dengan menggunakan “facebook”. Ianya tidak pernah kita fikirkan mengenainya sebelum ini. Cara membuat pengumuman untuk sebarang aktiviti dengan menggunakan pembesar suara sudah tentu dianggap ketinggalan dan kuno. Ia perubahan besar yang berlaku.
Namun demikian, kita tidak boleh mendiamkan diri dan hanya berpeluk tubuh sahaja memerhatikan perubahan ini. Sebagai ahli keluarga kita mempunyai tugas dan tanggungjawab yang perlu dibereskan.
Memahami watak dan kerenah anak-anak merupakan tanggungjawab pendidikan yang sangat mustahak bagi kedua ibu bapa. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, berminat atau tidak berminat,
ibu bapa tidak dapat mengelak dari terlibat dengan tanggungjawab ini. Oleh yang demikian, ibu bapa hendaklah mempunyai panduan dan pengetahuan pendidikan yang sewajarnya, supaya kanak-kanak di bawah asuhan dan jagaan mereka mendapat bimbingan dan pendidikan yang selayaknya (Mahyuddin Shaari 2009)
            i.          “Role Model”
                        Kaedah ini perlu dijadikan amalan kepada semua ahli keluarga. Mereka perlu bertindak sebagai contoh kepada ahli keluarga yang lain. Sebagai contoh, seorang bapa perlu menjadi ikon kepada anak-anak mereka sendiri. Bapa perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Jika ini dapat dilakukan secara tak langsung akan turut juga merubah masyarakat sekeliling. Proses ini mungkin mengambil masa yang agak lama tetapi impak yang diterima juga berkesan.  Aktiviti solat berjemaah dirumah adalah salah satu contoh. Di samping kita menunaikan solat yang menjadi tuntutan agama, ianya juga adalah salah satu cara hubungan interaksi yang berkesan di antara ahli keluarga. Walaupun sekolah merupakan satu lagi ejen sosialisasi yang kuat mempengaruhi kanak-kanak tetapi pengaruh ibu bapa mungkin lebih kuat kerana jumlah jam kanak-kanak berada di rumah adalah lebih panjang dari jumlah jam kanak-kanak berada di sekolah (Johari Talib 2007).
           
ii.         Komunikasi
            Komunikasi di kalangan ahli keluarga adalah penting dalam usaha untuk mewujudkan suasana rumah yang aman,tenteram dan seronok untuk didiami.  Memang tidak dapat dinafikan komunikasi juga mempunyai halangan-halangan yang tersendiri. Antara halangan terbesar ialah kekangan waktu dan masa. Perubahan atau sosialisasi yang terbentuk di dalam masyarakat moden menjadi perhubungan menjadi begitu penting. Perlu diingatkan juga, penggunaan alat komunikasi yang serba canggih adalah hasil dari arus kemodenan dunia juga mempunyai “pro and kons ”yang tersendiri. Ibu bapa perlu bijak menggunakan sebarang “gadget” ini untuk berkomunikasi antara ahli keluarga. Namun demikian, komunikasi ketika makan adalah sesuatu yang tidak boleh di pandang remeh. Banyak masyarakat telah mengamalkan aktiviti makan bersama ini sebagai sesuatu yang terpenting. Contohnya, bagi masyarakat Eropah yang beragama Kristian mengganggap makan di malam Hari Krismas adalah penting. Begitu juga bagi masyarakat Cina, makan malam sempena Tahun Baru Cina adalah suatu kemestian. Semua aktiviti ini bertujuan untuk mengeratkan ikatan persaudaraan di antara keluarga. Sambil menikmati makanan, mereka akan berkomunikasi di antara mereka.
            iii.        Kualiti Masa Bersama
                        Bagi ibu bapa yang bekerja mereka perlu mengambil kesempatan untuk mencari masa di mana mereka dapat bersama ahli keluarga yang lain. Cuti bersama ahli keluarga adalah contoh kualiti masa bersama ahli keluarga.  Mereka juga boleh merancang mereka sendiri dengan menetapkan setiap hujung tahun adalah waktu yang sesuai untuk menziarahi keluarga di kampung atau sanak saudara yang lain. Perancangan sebegini akan membuatkan setiap ahli keluarga yang terlibat akan merasai diri mereka dihargai oleh keluarga. Bagi mereka yang terlalu sibuk dan mempunyai masa lapang yang agak terhad, mereka juga boleh memperuntukkan cuti hujung minggu untuk bersama anak-anak mereka.
           
iv.        Undang-undang di rumah
            Sebagai langkah untuk mendisiplinkan semua ahli keluarga, undang-undang kecil dirumah mestilah diperkenalkan. Ini bagi memastikan rumah atau kediaman sentiasa dipantau. Undang-undang seperti tidak boleh keluarga rumah selepas waktu magrib adalah satu contoh undang-undang kecil di rumah. Perkara ini nampak kecil, tetapi impak dan kesannya begitu mendalam sekali. Bagi masyarakat melayu tradisional, amalan ini sudah lama diamalkan. Ianya menjadi undang-undang kecil yang wajib dipatuhi. Namun demikan sekali lagi, sosialisasi dan urbanisasi menjadi penyumbang kepada luputnya undang-undang tersebut.
            v          Sokongan Emosi
                        Setiap ahli keluarga mestilah mempunyai sikap ingin membantu satu sama lain. Bantuan yang dihulurkan tidaklah terbatas kepada wang ringgit dan harta benda sahaja. Sokongan berbentuk moral dan emosi juga adalah penting. Contoh, jika ada antara ahli keluarga kita di landa kesedihan, jika hendaklah turut simpati dengannya.  Sememangnya bagi anak-anak remaja, teman untuk meluahkan perasaan adalah suatu kemestian. Mereka tercari-cari “pendengar” yang setia untuk berkongsi masalah.

6.0      Kesimpulan
Perubahan sosial yang berlaku kini telah mengakibatkan norma-norma masyarakat juga turut berubah. Institusi keluarga menjadi elemen terpenting dalam isu pembentukkan rumah tangga yang harmoni, aman dan tenteram. Suasana ini penting supaya semua ahli keluarga dapat merasakan keselamatan dan keperluan mereka terjamin. Peranan keluarga juga begitu besar dalam usaha untuk mewejudkan sebuah negara yang maju. Tidak guna kita melaungkan atau bercita-cita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, tetap dalam waktu yang sama keluarga kita pinggirkan.

 7.0          Bibliografi
Amla Salleh, Z. A. (2010). Perana Bapa dalam Pembangunan Sahsiah remaja dan Implikasinya terhadap nilai kekeluargaan. Jurnal Pendidikan Malaysia , 9-17.
Hassan, M. A. (2004). Masalah disiplin & janayah di kalangan pelajar-pelajar sekolah di Malaysia. Forum Seminar Kebangsaan Pencegahan Jenayah Juvana Mengikut Perspektif Islam (pp. 10-11). Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM): Jabatan Kebajikan Masyarakat malaysia.
Monivas, R. (2007). Science and Religion in the Sociology of Emile Durkheim .
S.S, E. D. (1985). Explaining delinquency and drug use. Beverly Hills: Sage Publictions.
Schiller.MDickson, H. L. (1998). Levels of Family assesment: Family marital and parent child interaction. Jaournal of Family , 7-22.
Shaari, M. (2009). Memahami IlmuPerkembangan & Pertumbuhan Kanak-kanak bagi Pendidikan berkesan. Jurnal Pendidikan Islam .
Sulaiman, Z. (1995). Pengurusan Pencapaian Akademik Pelajar Sekolah.
Talib, J. (2007). Pengaruh gaya keibubapaan terhadap pencapaian kanak-kanak . Wacana Pengajian Umum (pp. 77-94). Bangi : UKM.
TJ, B. (1979). Development changes inconformity to peers and parents.Development Psychology 15 606-616 doi 10.37/0012-1649 15.6.608.
Yunjiao Gao, Y. Y. (2013). A Study on the Moderating Effect of Family Functioning on the Relationship between Deviant Peer Affiliation and Delinquency among Chinese Adolescents , 178-185.

Thursday, July 25, 2013

Cahaya Ramadhan


Cahaya Ramadhan

Suasana di Bazar Ramadhan ketika itu agak sibuk. Para pengunjung sibuk membeli juadah masing-masing. Cuaca hari itu redup, tapi bukan bererti hendak hujan . Bagi para penjual, Bulan ramadhan adalah peluang bagi mereka untuk menambah pendapatan.

Seperti biasa Mak Limah akan berjalan seorang diri. Semenjak kehilangan suaminya 10 tahun lalu, begitulah rutin Mak Limah. Berjalan keseorangan. Baik ke pasar mahupun ke masjid, Mak Limah akan berjalan keseorangan. Anak Mak Limah hanya seorang. Telah berkahwin dan bekerja di bandar. Anak Mak LImah kerap kali mengajaknya untuk tinggal bersama mereka. Tetapi bermacam alasan Mak Limah berikan untuk menolak pelawaan anaknya. Sebenarnya, Mak Limah sayang nak tinggal rumah peninggalan arwah suaminya. Banyak kenangan suka dan duka tersimpan di rumah itu. Yang paling manisnya, di situlah tempat Mak Limah berjumpa arwah suaminya untuk pertama kalinya pada 30 tahun yang lalu. Ketika itu Pak Akob berkerja sebagai seorang buruh ladang getah. Pertemuan yang pertama itu telah membuahkan bibit-bibit kasih sayang yang sungguh erat. Senyum seketika bila mengenangkan saat-saat indah bersama Pak Akob. Pernah sekali, Mak Limah dikejutkan oleh orang kampung yang mengatakan Pak Akob telah meninggal dunia kerana dibaham oleh seekor harimau. Tetapi Mak Limah hanya tenang sahaja bila mendengar berita tersebut. Pada petang itu selepas solat Asar, Pak Akob balik ke rumah sengan keadaan sihat walafiat.

Mak Limah bertanya kepada Pak Akob “ Kenapa lambat balik, orang kampung cakap yang awak tu telah di makan harimau”.

“Kan saya dah cakap semalam, selepas kerja saya nak masuk hutan nak cari buluh lemang. Lupa ler tu” Kata Pak Akob ringkas. Begitu lah Pak Akob, tak banyak cakap. Cakap berdasarkan keperluan sahaja. Mak Limah arif sangat mengenai perangai arwah suaminya itu.

“Mak Limah nak beli karipap berapa ringgit hari ini?”. Kata Wan Teh mengejutkan Mak Limah. Mak Limah tersentak sekejap.

“Hari ini bagi Lima Ringgit Karipap dan Lima Ringgit Kuih Seri Muka. Malam tadi ramai budak-budak kat masjid tu tak dapat makan kuih. “ Jawab Mak Limah. Sudah menjadi kebiasaan Mak Limah akan memperuntukkan sejumlah wang untuk Mak LImah membeli juadah untuk disedekahkan di masjid. Begitu rutin kehidupan Mak Limah sepanjang bulan Ramadhan. Bagi Mak Limah , Bulan Ramadhan adalah peluang baginya untuk menambah pahalanya. Dia sedar masa hidup inilah kita perlu buat amal kebaikan. Esok bila dah mati, baru menyesal. Bisik hati kecil Mak Limah. Kehidupan Mak Limah bukan senang sangat pun. Perbelanjaan cukup untuk dia seorang sahaja. Hasil Pendapatan penjualan besi buruk, kertas dan kotak-kotak cukup untuk Mak Limah seorang. Mak Limah bekerja mengutip kotak-kotak di pasar raya. Dia berbasikal ke sana sini mencari kotak-kotak untuk dijual. Tetapi kini Mak Limah tidak segagah seperti dahulu. Dia tidak mampu lagi untuk mengayuh basikal.

Selepas menunaikan solat maghrib, semua jemaah turun ke dewan makan. Makanan telah terhidang. Menu hari itu adalah nasi tomato dan ayam masak merah menjadi hidangan utama.

“Alhamdulilah, dah empat belas hari kita berpuasa. Cepat masa berlalu” Kata Lebai Man sambil menyenduk nasi.

“Lebai Man, sudah 2 hari tak nampak Mak Limah. Kuih karipap dia pun saya tak nampak” kata Usop memecah suasana.

“ Saya pun terlintas juga nak bertanya soalan yang sama. Kalau begitu selepas terawikh nanti kita pergi ziarah dia”. Lebai Man memberi cadangan.

Lebai Man bertugas sebagai imam di kampung Seberang Paya. Dia adalah salah seorang penduduk terawal di kampong itu. Beliau bersama-sama beberapa orang pemuda termasuk Pak Akop membuka kampong tersebut. Beliau juga adalah salah seorang amil yang bertugas bagi pihak Majlis Agama Negeri. Seingat Lebai Man, Mak Limah belum pernah sekali pun menerima bantuan zakat sungguhpun nama Mak Limah ada dalam senarai.

“Berilah kepada mereka yang lebih memerlukan”. Jawab Mak Limah ringkas.

Selepas terawikh Lebai Man, Usop dan beberapa orang wakil muslimat telah pergi ke rumah Mak Limah.

“Asslamualaikum” Sahut Lebai Man.

Selepas dua tiga kali salam tidak berjawab, Lebai Man mengambil keputusan untuk terus masuk ke rumah Mak Limah. Tingkap dia bahagian depan rumah terbuka luas. Pintu rumah dalam keadaan tidak berkunci.

Setelah pintu dibuka , Lebai Man memasang lampu di ruang tamu rumah. Alangkah terkejutnya mereka, apabila kelihatan Mak Limah terbaring di atas sejadah. Telekung masih lagi di pakai Mak Limah. Alangkah terkejutnya mereka, Mak Limah telah meninggal dunia. Suasana sayu seketika. Kaum wanita memperbetulkan kedudukan Mak Limah.

“Usop, awak pergi ke balai polis dan buat laporan. Esah, awak panggil beberapa orang perempuan untuk bantu urusan jenazah”. Arahan Lebai Man kepada semua yang hadir.

“Saya nak pergi jumpa Haji Deris untuk urusan di tanah perkuburan”. Kata Lebai Man dalam keadaan sayu.

Ketika Lebai Man berjalan ke muka pintu, Lebai Man sempat menoleh kearah wajah Mak Limah yang kelihatan sedang “tersenyum”.

“Mak LImah engkau telah terima balasan dari Allah”. Bisik hati kecil Lebai Man.

Nota: Kisah benar ini berlaku 2 tahun lepas. Ketika itu umat islam baru 14 hari berpuasa. Moga Mak Limah ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman.

Zamri Sarji

Kuantan, Pahang DM



Friday, July 05, 2013

Tazkirah Jumaat


Dari Abu Hurairah RA, Rasullullah bersabda:
"Barangsiapa yang menghadiri jenazah sampai disolatkan maka ia mendapat pahala satu qirath, dan barangsiapa yang menghadirinya sampai jenazah itu dikebumikan(dikuburkan) maka ia mendapat pahala dua qirath" Ada seorang bertanya:"Apakah dua qirath itu?" Baginda menjawab: "Sebesar dua gunung yang besar"
 (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Thursday, July 04, 2013

Tips Pemakanan Sihat di bulan Ramadhan

 
 
Berpuasa biasanya akan mengubah diet harian kita. Seseorang biasanya akan merasa ketidakselesaan perut sepanjang berpuasa. Walau bagai manapun, kesihatan kita masih dapat dikekalkan dengan pengambilan diet yang seimbang dan mencukupi semasa sahur dan berbuka. Pastikan kelima-lima kumpulan makanan iaitu kumpulan nasi, mi, roti, bijirin dan ubi-ubian, kumpulan sayur-sayuran dan buah-buahan, kumpulan ikan, ayam, daging, dan kekacang, kumpulan susu dan produk tenusu serta kumpulan lemak, minyak, gula dan garam diambil mengikut keperluan walau pun semasa dalam bulan ramadhan.
Beberapa tips pemakanan sihat semasa berpuasa adalah seperti :
  1. Elakkan mengambil makanan berlebihan ketika berbuka. Ini akan membuat perut anda akan mengalami ketidakselesaan. Jika ini berlaku fokus anda untuk beribadat tentunya akan berkurangan. 
  2. Mengutamakan makanan yang tinggi serat dengan meningkatkan pengambilan bijirin seperti beras perang, roti mil penuh dan kekacang. Selain itu, sayur-sayuran dan buah-buahan juga merupakan sumber makanan yang sangat kaya dengan serat. Pengambilan serat yang tinggi semasa sahur dapat mengekalkan rasa kenyang yang lebih lama di siang hari dan memberi tenaga agar aktiviti harian dapat dilakukan seperti biasa berbanding bulan-bulan yang lain. Manakala pengambilan serat yang mencukupi semasa berbuka dapat memberi tenaga segera, meneutralkan rembesan asid berlebihan di dalam perut sekaligus dapat mengawal glukosa darah khususnya kepada penghidap diabetes.
  3. Minum air dengan banyak sekitar 8 hingga 12 gelas di antara waktu berbuka hingga waktu sahur terutamanya air kosong. Ini bagi memastikan tubuh mendapat cukup air untuk berfungsi di siang hari. Tetapi perlu diingatkan juga jangan penuh air terlalu banyak ketika berbuka.
  4. Amalan sunnah dengan pengambilan 3 biji kurma beserta segelas air/jus setiap kali waktu berbuka dapat memberi keseimbangan kandungan gula dalam darah (mengelak kejadian hipoglisemia) serta memberi tenaga segera kepada tubuh untuk menjalankan ibadah wajib dan sunat khususnya solat sunat tarawih.
  5. Pilih kaedah masakan yang lebih sihat seperti memanggang, stim dan sup berbanding menggoreng, menyediakan menu berasaskan santan atau terlalu berempah / terlalu pedas. Kurangkan penggunaan minyak atau santan ketika memasak dan buang lemak/kulit pada ayam dan daging sebelum memasak.
  6. Makan dan kunyah dengan perlahan-lahan ketika berbuka kerana kita cenderung untuk makan berlebihan ketika perut lapar. Otak kita mengambil masa selama 20 minit untuk mengesan bahawa perut kita telah pun kenyang.
  7. Teruskan aktiviti fizikal atau senaman ringan di sebelah malam bagi mengekalkan kecergasan tubuh dan minda kita. Selain solat tarawih, anda juga boleh menjalankan aktiviti senaman lain sperti berjalan kaki ke masjid dan sebagainya. Bagi individu yang makan banyak semasa berbuka, biasanya perlu mengambil masa yang lebih lama untuk memulakan aktiviti kerana jantung mengepam darah lebih banyak ke sistem pencernaan berbanding ke otot.
 

Wednesday, July 03, 2013

Nota Kuliah: Sistem Pemerintahan Britain




Negara Britain  sebagai “Mother of Parliaments” telah banyak memberikan sumbangan kepada peradaban dunia, khususnya sumbangan terhadap pembangunan demokrasi. Namun demikian, bentuk pemerintahannya kurang jelas didefinisikan dan agak sulit untuk dimengerti.
 Perlu diingatkan.Perlembagaan negara Britain tidak bertulis. Ianya diwarisi zaman berzaman.

Beberapa ciri penting dari Pemerintahan Britain adalah sebagai berikut.

1.Negara Kesatuan biasanya dengan sebutan United Kingdom.

2.Konstitusinya adalah hukum dasar yang memberikan dan membatasi kekuasaan untuk memerintah dan tidak tertulis.

3.Kekuasaan tidak dipisahkan, tetapi bercampur.

4.Parlimen adalah terdiri dari House of Commons atau Majlis Rendah dan House of Lords atau Majlis Tinggi. Parliament Sovereingnity, merupakan salah satu prinsip fundamental dari konstitusi.

5.Kabinet, adalah kelompok yang mengandungi menteri-menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri.

6.Her Majesty’s Opposition, adalah prinsip fundamental kedua dari konstitusi yang tak tertulis.

7. Pemerintah (Ratu)  bukanlah kekuasaan politik. Ia merupakan simbol keagungan, kedaulatan, dan kesatuan nasional, sama seperti bendera dengan lambang Union Jack; tetapi menteri-menterilah yang sebenarnya memerintah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...