Friday, July 27, 2012

Tazkirah Ramadhan



Tazkirah Ramadhan

Dari Abi Hurairah Ra, Rasulullah naik ke atas mimbar, kemudian beliau berkata : “Amin..amin. .amin..”.
Kemudian ditanyakan (para sahabat), kepada beliau : “Wahai Rasulullah, saat Engkau naik ke atas mimbar, Engkau mengatakan Amin 3 kali, apakah sebabnya?” “Jibril telah datang kepadaku dengan mengatakan : “Sesiapa yang telah datang kepadanya bulan Ramadhan, tetapi dia tidak dapat ampunan Allah, maka dia dimasukkan kedalam api neraka, dan Allah jauh dari dirinya, maka katakanlah :Amin” . Kemudian aku mengaminkannya. “Dan sesiapa yang dapat bersama orang tuanya (ketika keduanya masih hidup), atau salah satu di antara kedua orang tuanya masih hidup, padahal dia mampu berbuat baik untuk kedua atau salah satu di antara keduanya, tetapi dia TIDAK berbuat baik kepada keduanya, atau salah satu di antara keduanya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam api neraka, dan Allah sangat jauh dari dirinya, maka aku katakan : Amin” “Dan sesiapa yang namaku disebutkan di hadapannya , kemudian dia tidak berselawat untukku, maka Allah akan memasukkannya kedalam api neraka dan Allah sangat jauh dari dirinya, maka katakanlah (wahai Muhammad SAW) (amin), maka aku katakan “Amin”. (H.R Ibnu Hibban)


Tuesday, July 24, 2012

Memori Ramadhan

Kenangan..Peristiwa Ramadhan


Setiap kali tibanya Ramadhan, aku pasti akan teringatkan peristiwa yang sukar untuk aku lupakan. Peristiwa ini berlaku pada kira-kira 20 tahun yang lalu.

Tahun 1992 sekali lagi aku berkesempatan untuk menjalani ibadah puasa di perantauan. Kali ini, aku berpeluang untuk berpuasa di Shah Alam. Lokasi yang tepat adalah di Uitm Shah Alam. Kehidupan di kolej atau asrama penuh dengan warna warni. Bagai pelangi selepas hujan.

Ramadhan adalah bulan yang kami sentiasa tunggu-tunggu. Selain dapat berbuka puasa secara beramai-ramai, menu dewan makan pun agak istimewa.  Menu Nasi Tomato dan ayam masak merah adalah kegemaran aku dan rakan-rakan. Suasana di waktu malamnya pun amat berbeza. Di Surau, keadaan penuh sesak. Masing-masing merebut peluang keberkatan fadilat Solat Terawikh.

Hari itu seperti biasa,kelas berakhir pada pukul 4 petang. Dengan langkah yang lemah longlai aku berjalan kaki untuk pulang ke bilik. Jarak sekolah aku ke bilik, lebih kurang 2 kilometer. Agak jauh juga, tapi bila berjalan bersama rakan-rakan yang lain, faktor jauh tidak pernah difikirkan langsung.

Rizal, Rambo dan Mizan adalah antara rakan aku yang paling akrab. Lebih-lebih lagi dengan si Rizal. Rizal adalah anak jati Negeri Sembilan. Suka berpakaian kemas dan "up to date". Semua pakaian dia berjenama terkenal. “Polo” dan “Baleno” adalah jenama pakaian pilihannya. Mahal-mahal semuanya. Rizal memang terkenal di kalangan kami, sebagai orang yang kuat tidur. Datanglah waktu manapun ke biliknya, pasti dia sedang tidur. Rambo pula adalah anak kelahiran Selayang, Selangor. Muka seperti “chinese looks”. Mempunyai ramai teman wanita. Bergaya dan periang. Suka membuat bising di dalam kelas. Mizan pula, orang “Ganu Kite”. Juga suka buat kecoh dalam kelas dengan gelagat dan "slang" ganunya.

Hari itu, cuaca agak mendung. Rizal berjalan cepat melintasi aku.

“Kenapa zal, berjalan macam ribut ni” aku menegur Rizal.

“Hari nak hujan, tidur sedap ni” Kata Rizal sambil mempercepatkan langkahnya.

Aku, Rambo dan Mizan hanya mampu menghadiahkan senyuman kepada Rizal. Kami tahu, Rizal nak balik cepat untuk tidur. Tambahan bulan puasa, memang itulah hobi masa lapang dia.

Kelihatan bayang-bayang Rizal semakin menjauh dan meghilang. Kami hanya berdiamkan diri sahaja.
Tiba-tiba Rambo berkata “ Weii Aku ada satu rancangan” Kata Rambo bersemangat.

“Rancangan apa ni” Balas Aku dengan lemah.

Rambo membisikkan sesuatu ke telinga aku. Aku mengangguk-angguk tanda setuju. Kemudian aku pula membisikkan perkara yang sama kepada Mizan. Kami telah mencapai kata sepakat untuk menjalankan rancangan kami itu.

Sampai dibilik aku menghempaskan diri ke katil sekejap. Berpeluh dan penat mula terasa. Kemudian aku terdengar bunyi nama aku dipanggil.

“Zack,Zack..oo Zack” Suara Rambo memecah suasana.

Aku keluar dari bilik. Diikuti dengan Mizan. Aku mengambil kain selimut untuk dibuat langsir. Aku pergi ke bilik Rizal. Mizan mambantu aku menggantung selimut di tingkap bilik Rizal. Suasana dibilik Rizal sudah menjadi kelam. Cahaya mentari tidak dapat menembusi selimut tebal aku.

Jam menunjukkan pukul 5 petang.Suasana bilik Rizal gelap.

Tiba-tiba:

“AllahhuAkhbar AlluhuAkhbar” Rambo melaungkan azan.

Aku dan Mizan terus memanggil Rizal dengan tergesa-gesa.

“Zal bangun, dah Maghrib niee…Tak nak berbuka ker?”. Mizan terus menjalankan tugas seperti yang diarahkan.

Rizal bangun dengan tergopoh gapah. Dia terus terjun dari katil dan mencapai air tebu yang dibelinya tadi. Dia berkata “ Kenapa korang lambat kejutkan aku”

Aku, Rambo dan Mizan ketawa terbahak-bahak sambil melihat telatah Rizal. Rizal sudah berbuka puasa pada jam 5 petang. Dia menyangkakan azan yang dilaungkan oleh Rambo, adalah azan Maghrib.

Melihat kami semua tertawa, Rizal mula hairan. “Haarrggggh, korang kenakan aku”. Jerit Rizal dengan kuat.
"Cam mana dengan puasa aku nie" Sambil dia menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Bungkusan air tebu masih berada di tangannya.

Peristiwa Rizal berbuka awal telah menjadi topik yang paling hangat ketika itu. Cukup membuatkan kami ketawa sampai ke tengah malam. Kepada Rizal, maafkan kami. Bukan niat kami untuk mempermainkan dirimu dan Azan. Tetapi niat kami baik untuk memberitahu kepada semua (termasuk aku) bahawa Bulan Puasa bukanlah Bulan untuk TIDUR semata-mata.  Kepada Rambo dan Mizan, anda adalah pelakon terbaik.

Zamri Sarji
Kolej Jati
No Bilik 1408
Seksyen 2,Shah Alam


Tazkirah Ramadhan

Suatu kisah yang diceritakan dalam tazkirah ramadhan di Masjid Sultan Zainal Abidin Kuala Terengganu yang sangat mengharukan dan bisa menitis air mata.
Seorang lelaki melewati sebuah kawasan perkuburan di suatu malam yang kelam dan sunyi. Tiba-tiba ia terpandang suatu cahaya yang terang benderang muncul dari sebuah kubur, dan terus menjulang ke langit. Dia merasa sedikit ketakutan dan berdebar.
Terpegun dan kaku melihat kejadian itu. Dia terfikir kemungkinan kubur ini adalah kubur seseorang yang sangat istimewa. Samada ia seorang waliyullah atau ulamak atau orang soleh yang istimewa kedudukannya di sisi tuhan. Diambilnya sebatang kayu lalu dipacak di atas kuburan yang bercahaya itu.
Keesokannya lelaki itu datang lagi kekawasan perkuburan itu dengan ditemani orang kampung. Beliau ingin menyelidiki dan ingin mengetahui kubur siapakah yang sangat ajaib itu.
Apakah seorang tuan guru atau waliyullah atau alim ulamak atau orang soleh yang terkenal?. Bila bertanya kepada orang kampung, mereka kehairanan kerana apa yang mereka ketahui dan pasti ini adalah kubur seorang lelaki tua, yang pernah mendiami sebuah pondok dihujung kampung bersama istrinya. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut , lelaki itu berkunjung kerumah simati dan bertemu dengan isteri simati lalu menceritakan keajaiban yang dilihat diperkuburan suaminya.

Anihnya isteri simati terkejut dan kehairanan. Dia sangat mengenal suaminya. Suaminya bukan siapa-siapa . Suaminya seorang petani kecil. Bukan seorang kiyai, bukan seorang ahli ibadat, bukan orang soleh, apa lagi bukan imam, bukan muazzin, bukan guru quran. Malah suaminya tidak pandai membaca quran dan dia tidak pernah mendengar suaminya membaca quran. Hal ini benar-benar menimbulkan kehairan kepada lelaki tersebut dan isteri simati.
Akhirmya lelaki itu bertanya apakah perkara-perkara anih yang simati selalu lakukan dalam kehidupan sehari-harinya. Akhirnya isteri simati teringat suatu perkara yang selalu dilakukan oleh si mati, setiap kali sebelum tidur pada setiap malam. Katanya , setiap malam sebelum tidur suaminya akan mengambil wudhu, kemudian masuk di dalam suatu bilik lalu diambilnya alqur'an di atas rak, lalu dicium dan dipeluknya dengan penuh kecintaan dan kasih sayang.

Ia akan duduk dan membelek alqur'an itu sehelai demi sehelai seperti sedang membaca, sedangkan ia seorang yang buta alqur’an. Dia akan meraba-raba ayat-ayat qur’an itu dengan tangannya , seolah-olah sedang menyentuh dan mebelai sesuatu yang sangat dikasihi. Tambah isteri simati lagi, ia pernah mendengar rintihan dan esakan tangis suaminya yang sangat sedih, mendayu-dayu dengan penuh penyesalan.
“Tuhanku! ampunkanlah aku kerana aku tidak mampu membaca kalimah mu. Janganlah engkau hukum aku di atas kebodohanku ini.” “Wahai Kalam Allah, maafkan kesalahan ku. Aku tidak mampu membaca kalimah mu. Aku tidak dapat bersahabat dengan mu.
Aku tidak dapat memahami mu. Tapi aku sangat mengasihi mu. Aku sangat mencintaimu. “ “Wahai Kalamullah, jangan lah engkau mendakwa aku, jangan engkau menuduh aku dihadapanTuhan diakhirat nanti”. Cerita isteri simati lagi. Kadang-kadang suaminya tertidur di dalam bilik itu ditemani alqur’an buah hati kesayangannya.
Begitulah suaminya setiap malam sebelum tidur. Lelaki itu meminta untuk melihat alquran kesayangan suaminya itu. Benar dan sangat mengharukan apabila ia melihat naskah yang mulia itu kelihatan lusuh, helaian-helaiannya kelihatan selalu dibelek berkali-kali. Dan ada bekas-bekas airmata di kertasnya ,tanda seseorang sering menangis berjurai airmatanya tatkala membuka lembaran yang maha suci ini.

Pastinya lelaki ini sangat mulia peribadinya. Hatinya telah bersatu dengan ruh alqur’an. Dia sangat mengasihi kalimat tuhan dengan sesungguhnya. Bererti ia mengasihi tuhan dengan seluruh jiwa dan raganya.


 


Monday, June 25, 2012

Renungan

Sayyidina Umar bin Abdul Aziz, adalah seorang Khalifah Bani Umaiyah. Pada suatu malam tatkala beliau sedang tekun bekerja di bilik istananya, tiba-tiba seorang putranya masuk untuk membincangkan sesuatu hal. Sayyidina Umar bertanya. “urusan kerajaankah? Atau urusan keluarga yang hendak kamu bincangkan?” Jawab anakandanya, “urusan keluarga, ayahanda.”
Tiba-tiba Sayyidina Umar memadamkan lampu yang terletak di mejanya yang digunakan untuk menerangi bilik kerjanya itu. Putranya merasa hairan melihat sikap ayahnya itu seraya bertanya: "Kenapa ayah padamkan lampu itu?"
Maka jawab ayahnya: "Benar kata kau wahai anakku, tetapi kau harus ingat lampu yang sedang ayah gunakan untuk bekerja ini kepunyaan kerajaan. Minyak yang digunakan itu dibeli dengan menggunakan wang kerajaan, sedang perkara yang hendak anakanda perbincangkan dengan ayahanda adalah perkara keluarga." Lantas baginda meminta pembantunya membawa lampu dari bilik dalam. Kemudian baginda pun berkata kepada putranya: "Sekarang lampu yang baru kita nyalakan ini adalah kepunyaan keluarga kita, minyak pun kita beli dengan wang kita sendiri. Sila kemukakan apa masalah yang anakanda perbincangkan dengan ayahanda." Demikianlah besarnya sifat amanah dari seorang pemimpin dan selaku seorang raja yang berjiwa besar.

Renungkanlahhh…..

Renungan

Mangkuk yang Cantik, Madu dan Sehelai Rambut

Rasulullah s.a.w., dengan sahabat-sahabatnya Abakar r.a., Umar r.a., Uthman r.a., dan 'Ali r.a., bertamu ke rumah Ali r.a. Di rumah Ali r.a. isterinya Sayidatina Fathimah r.ha. puteri Rasulullah s.a.w. menghidangkan untuk mereka madu yang diletakkan di dalam sebuah mangkuk yang cantik, dan ketika semangkuk madu itu dihidangkan sehelai rambut di dalam mangkuk itu. Rasulullah s.a.w. kemudian meminta kesemua sahabatnya untuk membuat suatu perbandingan terhadap ketiga benda tersebut (Mangkuk yang cantik, madu, dan sehelai rambut).
Abubakar r.a. berkata, "Iman itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang beriman itu lebih manis dari madu, dan mempertahankan iman itu lebih susah dari meniti sehelai rambut".
Umar r.a. berkata, "Kerajaan itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, seorang raja itu lebih manis dari madu, dan memerintah dengan adil itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut".
Utsman r.a. berkata, "Ilmu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, orang yang menuntut ilmu itu lebih manis dari madu, dan beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit dari meniti sehelai rambut".
'Ali r.a. berkata, "Tamu itu lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, menjamu tamu itu lebih manis dari madu, dan membuat tamu senang sampai kembali pulang ke rumahnya adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut".
Fatimah r.ha.berkata, "Seorang wanita itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, wanita yang berpurdah itu lebih manis dari madu, dan mendapatkan seorang wanita yang tak pernah dilihat orang lain kecuali muhrimnya lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Rasulullah s.a.w. berkata, "seorang yang mendapat taufiq untuk beramal adalah lebih cantik dari mangkuk yang cantik ini, beramal dengan amal yang baik itu lebih manis dari madu, dan berbuat amal dengan ikhlas adalah lebih sulit dari meniti sehelai rambut".

Kemudian, malaikat Jibril membuat kenyataan seperti yang diminta oleh Rasullullah.

Malaikat Jibril a.s. berkata, "Menegakkan tiang-tiang agama itu lebih cantik dari sebuah mangkuk yang cantik, menyerahkan diri; harta; dan waktu untuk usaha agama lebih manis dari madu, dan mempertahankan usaha agama sampai akhir hayat lebih sulit dari meniti sehelai rambut".



Nota Kuliah: Pentadbiran Awam

Organisasi

Definisi

Organisasi dapat didefinisikan sebagai satu unit sosial yang terdiri daripada manusia yang bekerjasama dan saling bergantung antara satu dengan lain bagi mencapai matlamat individu, kumpulan, dan organisasi.

Mengikut Jennifer M George:“Organization is a collection of people who work together to achieve individual and organizational goals” (Organizational Behaviour 3rd Edition 2002)

Definisi di atas menjelaskan unsur-unsur yang perlu ada di dalam sesebuah organisasi, sebagai satu unit sosial, penyatuan usaha, dan hubungan antara seorang individu dengan individu yang lain. Penyatuan ini melambangkan kesepakatan yang jitu untuk kemajuan sesebuah organisasi.

Ciri-ciri organisasi

1. Sesebuah organisasi yang telah dibentuk akan melambangkan identitinya yang tersendiri.Misalnya, sebuah Pejabat Perbandaran Tempatan seharusnya ada perkihdmatan menyediakan perkhidmatan perbandaran untuk orang ramai. Seperti bahagian kecerian taman rekreasi, kemudahan pembayaran bil setempat dan urusan kaunter aduan. Semua jenis perkhidmatan ini perlu diselaraskan untuk memudahkan orang ramai untuk sebarang urusan. .

2. Bagi menjamin kualiti perkhidmatan yang berkesan, sesebuah organisasi itu perlu mempunyai jumlah kakitangan yang berpatutuan. Mengikut keperluan kerja dan tugas. Sebagai contoh kakitangan bawahan di bahagian Unit Kecerian Bandar contohnya, sudah tentu berbeza dengan jumlah kakitangan di bahagian pengangkutan. Tingkat bidang kuasa atau autoriti juga memainkan peranan dalam hal ini. Ketua-ketua jabatan bertindak sebagai menyelaras untuk bahagian tertentu, Mereka akan mengawal selia setiap tindak tanduk orang dibawah jagaan mereka. Dengan lain perkataan, hierarki dan jumlah tingkat autoriti seharusnya berbeza diantara saru sama lain.

3. Pembahagian tugas dan tanggungjawab perlulah ada didalam sesebuah organisasi.sebagai. Sebagai contoh, Jabatan Imigresen Malaysia mempunyai beberapa unit dan bidang tugas yang berbeza. Di bahagian pentadbiran mungkin ada unit latihan, unit cuti dan unit penguatkusaan. Dibahagian lain pula, terdapat unit untuk pengeluaran passport, visa kerja dan unit pembaharuan passport dan visa. Semua unit dan bahagian ini bekerja dan bergerak mengikut bidang tugas masing-masing.

4. Namun demikian, demi mencapai kualiti yang menyeluruh, pengawasan, penyelarasan serta perancangan perlu dititik beratkan. Semua aktiviti yang dijalankan mestilah mengikut prosedur yang ditetapkan. Kesedaran menngenai tangggungjawab ini perlu disampaikan kepada semua kakitangan.

"the limits on human collaboration in the organization setting are not limits of human nature but of management's ingenuity in discovering how how to realize the potential represented by its human resources (Douglas Mcgregor - The Human Side of Enterprise 1960)

Had ke atas kerjasama manusia dalam persekitaran organisasi bukanlah had sifat manusia tetapi kebijaksanaan pengurusan bagi menemui cara bagaimana untuk merealisasikan potensi yang diwakili oleh sumber manusia (Douglas McGregor – The Human Side of Enterprise 1960)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...